Browsing Category

Istimewa Panggilan Baitullah

ketibaan jemaah haji terakhir
Istimewa Panggilan Baitullah,

Kumpulan terakhir jemaah haji selamat tiba, berikut 3 tanda haji mabrur yang anda wajib tahu

SERAMAI 284 jemaah haji Malaysia yang menjadi kumpulan terakhir selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan pesawat MH8391 pada jam 1:15 petang semalam (1 Ogos 2023).

Kumpulan jemaah haji yang berlepas pada Isnin, jam 10:50 malam (waktu Arab Saudi) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Putra Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah telah disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Haji Mohd Na’im Mokhtar.

Tahun ini, seramai 31,600 jemaah Malaysia menunaikan haji membabitkan 98 penerbangan pergi bermula 21 Mei sehingga 21 Jun lalu.

284 jemaah haji terakhir telah disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Haji Mohd Na’im Mokhtar.

Ini tanda haji mabrur

Ungkapan ‘Semoga memperoleh haji mabrur’ adalah ungkapan yang sering kali diucapkan kepada para jemaah yang akan berangkat ke tanah suci. Namun, sejauh manakah status mabrurnya haji atau umrah seseorang?

Menerusi portal tzkrh.my, terdapat beberapa pendapat para ulama tentang haji yang diterima oleh ALLAH SWT.

1. Haji yang tidak bercampur dengan dosa dan kemaksiatan

Ulama yang lainnya mengatakan, “Haji mabrur adalah haji yang tidak tercampur dengan dosa.” Pendapat ini dipilih oleh Imam an-Nawawi.

Ilmuan fiqh mengatakan bahawa haji mabrur bermaksud haji yang tidak dikotori dengan kemaksiatan ketika menunaikan manasik haji.

Artikel Berkaitan 

2. Tidak ada keinginan untuk menunaikan maksiat apabila pulang daripada menunaikan haji

Al Qurthubi rahimahullah menyimpulkan, “Haji mabrur adalah haji yang tidak dikotori oleh maksiat saat melaksanakan manasik dan tidak lagi gemar bermaksiat setelah pulang haji.”

Al-Faro’ pula berpendapat bahawa haji yang mabrur adalah apabila jemaah pulang daripada menunaikan haji, tidak ada lagi keinginannya untuk melakukan maksiat. Dua pendapat ini juga ada disebutkan oleh Ibnul ‘Arabi.

3. Menjadi zuhud dengan dunia dan rindu kepada akhirat

Sedangkan Al-Hasan Al Basri rahimahullah mengatakan, “Haji mabrur adalah jika sepulang haji, seseorang itu menjadi orang yang zuhud dengan dunia dan rindu kepada akhirat.”

ILMUAN fiqh mengatakan bahawa haji mabrur bermaksud haji yang tidak dikotori dengan kemaksiatan ketika menunaikan manasik haji. 

Pendapat paling rajih (kuat) tentang haji mabrur

Imam An-Nawawi rahimahullah berkata, “Pendapat yang paling kuat dan yang paling terkenal, haji mabrur adalah haji yang tidak ternodai oleh dosa, diambil dari kata-kata birr yang bermakna ketaatan.

Ada juga yang berpendapat bahawa haji mabrur adalah haji yang diterima. Di antara tanda diterimanya haji seseorang adalah adanya perubahan menuju yang lebih baik setelah pulang dari pergi haji dan tidak membiasakan diri melakukan berbagai maksiat.

Turut Disyorkan Selepas dapat ‘title’ haji dan hajah, apa para hujjaj patut buat setelah balik haji?

Ada pula yang mengatakan bahwa haji mabrur adalah haji yang tidak bercampur dengan unsur riyak. Ulama yang lain berpendapat bahwa haji mabrur adalah jika sepulang haji tidak lagi bermaksiat. Dua pendapat yang terakhir telah terangkum dalam pendapat-pendapat sebelumnya.” (Sahih Muslim)

Haji yang sah tidak semestinya haji yang mabrur. Ia barangkali sah dari sisi syariat namun seseorang itu mungkin masih melakukan perkara-perkara yang dilarang yang dapat mencacatkan pahala ibadah hajinya.

Namun dari segi hukum, telah hilang kewajipan baginya kerana telah selesai menunaikan rukun Islam yang kelima.

DOA Selamat Pulang Menunaikan Umrah/Haji
Istimewa Panggilan Baitullah,

Kenangan terindah di Baitillah terpahat selamanya, baca doa ini sebaik sahaja selamat pulang dari menunaikan haji

Baca doa ini sebaik sahaja selamat pulang dari menunaikan haji…

SEMALAM, media tempatan telah melaporkan kumpulan pertama 284 jemaah Malaysia yang telah selesai menunaikan ibadah haji akan berlepas pulang ke tanah air dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz Jeddah pada 7.15 pagi waktu tempatan (12.15 tengah hari waktu Malaysia), hari ini (Rabu).

Kesemua mereka akan berlepas menggunakan pesawat MH8261 dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 9.45 malam Rabu.

Baca Juga Tawaf pun hendak buat ‘live’, jauhi perbuatan kongsi ibadat di media sosial

Turut Disyorkan Rehlah haji terjemahkan makna syukur dan sabar yang paling maksimum

Sudah tentunya, bagi jemaah haji yang baru pulang mengerjakan haji pada tahun ini akan memberikan kesan positif dan kenangan indah ketika menjadi tetamu ALLAH SWT di bumi yang penuh berkah itu.

Tanggungjawab sebagai Muslim bagi memenuhi rukun Islam yang kelima telah sempurna dan dinantikan kepulangan oleh sanak saudara di Malaysia.

Segala pengorbanan yang diberikan pada jalan ALLAH dalam usaha melaksanakan ibadah haji telah dibuktikan sebagai tanda kecintaan kepada Pencipta.

Setiap insan yang bergelar haji atau hajah perlu meneruskan perjuangan menghidupkan syiar Islam setelah pulang mengerjakan haji.

 TANAH Suci Mekah mempunyai kelebihan berbanding tempat lain. Ini kerana terdapat banyak kenangan sejarah Rasulullah SAW dan kebangkitan Islam di Madinah dan kota Mekah. -Foto: Shauqi Hasan

Bagi mengekalkan istiqamah dalam diri agar menjadi insan yang semakin dekat dengan-NYA, berikut merupakan doa selamat yang dianjurkan untuk dibaca ketika telah selamat pulang ke tanah air seperti dikongsi laman mywilayah.com.

Doa pulang menunaikan haji atau umrah

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيْمِ

الْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، حَمْدًا حَامِدِينَ حَمْدًا شَاكِرينَ حَمْدًا نَاعِمِينَ حَمْدًا يُوَافِى نِعَمَهُ وَيُكَافِىءُ مَزِيدَهُ،يَا رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ كَمَا يَنْبَغِى لِجَلاَلِ وَجْهِكَ الْكَرِيمِ وَعَظِيمِ سُلْطَانِكَ، اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِّ الأُمِّيِّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ.

اللَّهُمَّ يَا اَللهُ

Kami memuji ke hadrat-Mu dengan pujian yang tidak terkira dan bersyukur ke hadrat-Mu dengan kesyukuran yang tidak terhingga kerana telah mengurniakan pertolongan, bantuan dan penjagaan kepada (…) bersama keluarga serta para rombongan jemaahnya sehingga selamat sampai ke tanah air yang dicintai ini.

اللَّهُمَّ يَا رَحْمَـٰنُ يَا رَحِيْمُ

Ya ALLAH, anugerahkanlah kepada beliau/mereka umrah/haji yang mabrur, sa’ie yang disyukuri, dosa-dosa yang telah diampunkan, amal ibadah dan doa-doa yang telah diterima. Mudah-mudahan dengan sempurnanya amalan ibadah umrah/haji dan segala amalan-amalan yang dilakukan di Mekah, Madinah dan lain-lainnya akan mendapat keredaan dan kesempurnaan dan bersihlah mereka dari dosa-dosa sepertimana anak-anak yang baru dilahirkan.

اللَّهُمَّ يَا حَنَّانُ يَا مَنَّانُ يَا بَديعَ السَّمَـٰوَاتِ وَاْلأَرْضِ يَا ذَا الْجَلاَلِ وَاْلإِكْرَامِ

Ya ALLAH, wahai Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kehidupan yang bahagia di dunia dan di akhirat, umur yang panjang lagi berkat, keimanan dan ketakwaan, kebaikan dan kebajikan serta dimurahkan rezeki kami supaya dapat menunaikan ibadah umrah atau haji beberapa kali lagi dengan bertaubat, beribadah, mengucap syukur dan puji-pujian kepada-Mu Ya ALLAH.

اللَّهُمَّ اجْعَلْ جَمْعَنَا هَذَا جَمْعًا مَرْحُوْمًا وَتَفَرُّقَنَا مِنْ بَعْدِهِ تَفَرُّقًا مَعْصُوْمًا وَلاَ تَجْعَلْ فِيْنَا وَلاَ مَعَنَا شَقِيًّا وَلاَ مَطْرُوْدًا وَلاَ مَحْرُوْمًا، رَبَّنَا ءَاتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى اْلآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله ُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ، وَالْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ.

 

 

kongsi ibadat media sosial
Ibadah, Istimewa Panggilan Baitullah,

Tawaf pun hendak buat ‘live’, jauhi perbuatan kongsi ibadat di media sosial

Tawaf pun hendak buat ‘live’, jauhi perbuatan kongsi ibadat di media sosial

BUKAN semua orang berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci menunaikan ibadah haji atau umrah. Maka, bersyukurlah andai kita dikurniakan kesihatan yang baik serta sumber kewangan mencukupi untuk bergelar tetamu ALLAH.

Tambahan pula, umrah dan haji bukan sekadar amalan dituntut agama, bahkan ibadah tersebut mampu melatih umat Islam untuk menjadi lebih merendah diri, berdisiplin serta berakhlak baik.

Baca juga LIMA amalan yang nilainya seperti menunaikan haji

Namun, sejak kebelakangan ini, ramai yang gemar berkongsi tentang ibadah yang dilakukan di media sosial terutama sekali ketika melakukan tawaf.

Malah baru-baru ini tular rakaman video seorang wanita sedang menari di Makkah untuk membuat ‘content’ media sosial.

Situasi semasa ini bukan sekadar merosakkan imej Islam malah turut ‘mencemarkan’ kesucian tanah haram yang menjadi kiblat Muslimin seluruh dunia.

Turut disyorkan Ketahui kelebihan amalan tawaf di hadapan Baitullah ketika musim umrah atau haji

kongsi ibadat media sosial

Tunaikan tawaf sambil ‘live’

Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pernah menerangkan hukum menunaikan tawaf sambil melakukan ‘live’ Facebook atau Instagram.

Memetik kenyataan dalam portal itu, mereka berpendapat melakukan aksi sedemikian adalah dibolehkan tetapi sebaiknya ditinggalkan.

Malah, pihak Mufti menegaskan bahawa setiap jemaah harus menjaga adab dan tatasusila ketika melakukan tawaf atau sa’ie kerana ia termasuk dalam ibadat penting yang ditunaikan di Tanah Suci.

Sabda Rasulullah SAW: “Tawaf mengelilingi Kaabah seperti solat, hanya saja kamu (boleh) bercakap dalam tawaf. Barangsiapa berkata tatkala tawaf hendaklah mengucapkan ucapan yang baik.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Hal ini diperkukuhkan lagi oleh pendapat kebanyakan ahli ilmu, antaranya:

Kata Imam al-Tirmizi: “Dan yang beramal atas perkara ini di sisi kebanyakan ulama. Justeru mereka berpendapat bahawa sunat seseorang yang sedang melakukan tawaf supaya tidak bercakap kecuali kerana keperluan atau kerana zikir kepada ALLAH atau kerana ilmu.” (RujukSunan al-Tirmizi, 2/285)

Justeru, bagi jemaah yang berada di Tanah Suci, sebaik-baiknya elakkanlah daripada melakukan perkara tidak bermanfaat sepanjang beribadah.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Foto: 123RF

Tawaf pun hendak buat ‘live’, jauhi perbuatan kongsi ibadat di media sosial

Mina
Istimewa Panggilan Baitullah,

Rehlah haji terjemahkan makna syukur dan sabar yang paling maksimum

Rehlah haji terjemahkan makna syukur dan sabar yang paling maksimum…

APA istimewanya bumi yang hanya luasnya 8.6km persegi ini? Adakah Mina diingat sebagai tempat jemaah diuji dengan kesusahan?

Ya, ada benarnya bagi setiap orang, Mina merupakan medan tarbiah yang paling mencabar dalam menguji keimanan dan kesabaran.

Hakikat sebenar mengenai kisah di Mina ini dikongsi sendiri oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi, seorang figura yang tidak asing lagi namanya dalam dunia penulisan dakwah.

Kongsinya di awal kalam, apa yang kau belajar di Mina wahai diri? Tanpa ragu aku menjawab, aku belajar syukur.

“Mungkin ada yang kurang setuju. Bukankah kita belajar sabar di sana? Ya, Mina memang tempat yang paling menguji. Mencabar sabar semaksimumnya.

“Di sini, kesesakan sudah menjadi satu budaya. Panas membahang adalah perkara yang perlu dibiasakan. Semuanya gara-gara penghawa dingin yang kerap semput ditambah panahan cahaya matahari yang sangat terik.

Baca Juga Kembali ke Rahmatullah di Mina ketika sampaikan tazkirah, sebuah kematian yang menghidupkan jiwa Mukmin 

“Keadaan tambah menguji apabila berlaku kesesakan dalam khemah penginapan. Juga kemudahan tandas yang begitu terhad. Sedangkan penggunanya terlalu ramai.

“Justeru, Mina ialah medan sabar bukan syukur. Kata setengah pihak. Pendapat ini ada benarnya juga. Malah sangat benar. Sifat sabar perlu bila tubuh badan membahang bagai disalai. Ada ketikanya panas seperti mandi wap (sauna).

“Bagi yang tidak biasa rasa panas keterlaluan, Mina memang meresahkan. Tidur tidak boleh, bahkan membaca juga tidak boleh hanya mulut sahaja yang terkumat-kamit berselawat dan berzikir,” tulisnya.

DENGAN ribuan manusia dari setiap pelusuk dunia, Mina tempat yang paling menguji. Mencabar sabar semaksimumnya. -Foto: Ustaz Pahrol

Apa hikmah di sebalik semua ini wahai sahabat?

Kongsi Ustaz Pahrol lagi, marilah kita ungkapkan rasa syukur. Di sini, sabar dan syukur bercampur begitu sebati, sehingga sukar dipastikan lagi sama ada syukur dan sabar itu bersatu atau terpisah?

“Mina mengajar erti syukur bagi hamba ALLAH yang melihat ke bawah. Lihatlah orang lain yang kurang memiliki nilai material dan fizikalnya.

“Kau susah, ada orang lebih susah. Kau panas, ada orang yang lebih panas. Sebaliknya, jika melihat ke atas kau tidak akan puas. kau kata, ada yang lebih kaya. Kau selesa? Ada yang lebih selesa.

Baca Juga Mengapa hari ke-8 Zulhijjah dinamakan Hari Tarwiyah dan apa kelebihan di sebalik hari ini?

“Di sini, sebungkus mee segera dan teh O dalam cawan kertas, sudah mampu membuat dirimu menikmatinya penuh rasa syukur sambil tersenyum bersama teman baru mu, para tetamu ALLAH yang lain.

“Sedangkan, di tanah air dulu, belum tentu sekeping steak wagyu dan segelas kappuccino yang berharga ratusan ringgit mampu memberi kegembiraan dan rasa syukur yang sama, seperti yang sedang nikmatinya kini.

“Rupa-rupanya, kita disusahkan agar kita belajar erti syukur dengan nikmat yang sedikit. Mungkin kerana selama ini kita lupa untuk bersyukur dengan nikmat yang banyak.

DALAM kesusahan bukan sahaja ada sabar tetapi ada syukur. Inilah syukur bila ditimpa ujian. -Foto: Faceboook Shauqi Hasan

“Sesungguhnya, rasa syukur anugerah ALLAH di daerah sempit, panas dan menyesakkan ini lebih mahal daripada harta sesetengah kita yang bertimbun-timbun itu.

“Rasa syukur inilah akan menjemput datangnya barakah kepada rezeki kita. Sehingga dengan itu, jika rezeki itu sedikit ia mencukupi. Jika banyak kita boleh memberi.

“Tanpa syukur, lunturlah barakah. Sedikit tidak cukup, banyak tidak puas. Kita meneguk dunia semacam menegur air laut, semakin diminum semakin tidak puas!

ARTIKEL BERKAITAN 

“Di sini, kita diajar rasa kaya dalam kemiskinan. Untuk kita keluar dari belenggu miskin dalam kekayaan.

“Aneh benar tarbiah ALLAH ini, dalam kesusahan bukan sahaja ada sabar tetapi ada syukur. Inilah syukur bila ditimpa ujian.

“Sesungguhnya, kehilangan sementara mendidik hati kita agar mensyukuri apa yang sudah kita miliki selama ini.

“Bila pulang ke tanah air nanti, Insya-ALLAH, kita akan lihat rumah akan menjadi semakin luas, makanan akan jadi lebih enak, ahli keluarga akan lebih kita sayangi, syukur. Itulah hadiah ALLAH di Mina.

“Teman, maka nikmat ALLAH yang mana lagi hendak kita dustakan?,” titipnya.

 

Sumber: Ustaz Pahrol

Jemaah Yala
Istimewa Panggilan Baitullah,

Kembali ke Rahmatullah di Mina ketika sampaikan tazkirah, sebuah kematian yang menghidupkan jiwa Mukmin

Kembali ke Rahmatullah di Mina ketika sampaikan tazkirah, sebuah kematian yang menghidupkan jiwa Mukmin..

SETIAP yang hidup di muka bumi ini pasti menyedari bahawa kehidupan akan diakhiri dengan sebuah kematian.

Bagi orang Islam, kita perlu beriman bahawa selepas berakhirnya nafas di muka bumi ini, maka bermulalah perjalanan kehidupan yang kekal abadi di akhirat.

Apabila ALLAH SWT telah menetapkan ajal maut seseorang itu, maka tiada satu kuasa pun yang mampu menghalangnya mahupun melengahkan ketetapan tersebut.

Baru-baru ini, tular sebuah video memaparkan seorang jemaah dari Yala, Thailand meninggal dunia semasa sedang memberikan tazkirah kepada jemaah lain di khemah di Mina.

Baca Juga Jom pakat baca Doa ini pada Hari Arafah, tidak semestinya tunggu jemaah haji wukuf

Menerusi perkongsian rakaman berdurasi 31 saat oleh @rmixbyhakim itu, kelihatan arwah sedang memberikan tazkirah dalam satu majlis ilmu agama.

Apa yang membuatkan ramai sebak dan tersentuh adalah apabila dia tiba-tiba kelihatan seperti pening kepala dan ingin rebah.

Namun, sebaik saja dua orang jemaah lagi datang kepadanya, dia terus jatuh dan difahamkan sudah meninggal dunia di tempat kejadian.

APABILA ALLAH SWT telah menetapkan ajal maut seseorang itu, maka tiada satu kuasa pun yang mampu menghalangnya mahupun melengahkan ketetapan tersebut.

Susulan tularnya video tersebut yang kini sudah meraih 737.6K tontonan di TikTok, rata-rata netizen turut mengucapkan takziah dan mendoakan agar arwah ditempatkan bersama para orang beriman.

Keistimewaan meninggal dunia di Tanah Suci Mekah?

Tidak dinafikan Tanah Suci Mekah mempunyai kelebihan berbanding tempat lain. Ini kerana terdapat banyak kenangan sejarah Rasulullah SAW dan kebangkitan Islam di Madinah dan kota Mekah.

Ketua Jaringan Industeri dan Komuniti Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim menjelaskan terdapat banyak kelebihan bagi mereka yang meninggal di sana.

“Ia berikutan terdapat riwayat menunjukkan Nabi SAW memuji mereka yang meninggal di Tanah Suci. Nabi SAW bersabda “Sekiranya terdapat dalam kalangan kamu yang terpilih meninggal dunia di Madinah (Tanah Suci), maka bergembiralah. Sesungguhnya sesiapa yang terpilih (oleh ALLAH) untuk mati di Madinah, Aku akan menjadi saksi dan syafaat untuknya pada hari kiamat kelak.” (Hadis Riwayat al-Tabrani)

UMAT Islam dibenarkan untuk sentiasa berdoa agar mati di Tanah Suci, sama ada ketika mengerjakan umrah atau ibadah haji. – Foto: 123RF

“Hadis ini secara jelas menunjukkan memang terdapat kelebihan kepada mereka yang meninggal dunia di Tanah Suci seperti Madinah dan Mekah. Namun, galakan seperti ini jangan disalah tafsir sehingga ada pula nanti yang sanggup membunuh diri hanya semata-mata ingin mati di sana.

“Menurut al-Tabrani, mati yang dimaksudkan oleh Nabi SAW itu adalah mati yang tidak dirancang atau disengajakan, tetapi ia lebih kepada mati disebabkan sakit, musibah kemalangan dan seumpamanya,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN 

Tambah beliau lagi, mungkin akan ada yang bertanya, bolehkah kita sentiasa berdoa agar pengakhiran hidup kita di satu daripada dua Tanah Suci ini? Jawapannya, boleh. Umat Islam dibenarkan untuk sentiasa berdoa agar mati di Tanah Suci, sama ada ketika mengerjakan umrah atau ibadah haji.

“Pernah suatu ketika, Umar bin al-Khattab berdoa yang bermaksud: “Ya ALLAH, kurniakanlah kepadaku syahid ketika di jalan-MU dan biarlah kematianku itu di Negeri Rasul MU SAW.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

“Daripada doa Umar ini, Imam Nawawi berpendapat, memohon doa supaya dimatikan di tempat mulia adalah digalakkan dan ia termasuk dalam sunah Khulafa al-Rasyidin,” jelasnya.

Tunai umrah
Istimewa Panggilan Baitullah,

Terlalu ghairah beribadah ketika haji hingga abaikan peraturan, ini pandangan Islam

Terlalu ghairah beribadah ketika haji hingga abaikan peraturan, ini pandangan Islam

KETIKA ini, jemaah haji yang menunaikan Rukun Islam kelima di Tanah Suci berada pada kemuncak ibadah berkenaan.

Sepanjang empat hari Tasyrik iaitu bermula pada Hari Raya Aidiladha iaitu 10 Zulhijah dan 11, 12 serta 13 Zulhijah, umat Islam yang mengerjakan haji menyempurnakan amalan-amalan seperti melontar jamrah, bertahalul, tawaf dan sai.

Bagaimanapun, ada cerita kurang enak apabila terdapat jemaah yang terlalu ghairah beribadah ketika haji hingga mengabaikan aspek lain. Tidak salah berbuat demikian.

Namun, apa yang menjadi isunya adalah apabila ada dalam kalangan mereka yang melanggar peraturan oleh pemerintah pada musim haji.

Ia agak menyedihkan kerana Tanah Suci Makkah dan Madinah merupakan tempat idaman setiap umat Islam untuk beribadah di sana. Malangnya, ada yang mencemarinya dengan melanggar peraturan ditetapkan gara-gara kurangnya adab dalam beribadah dan salah faham memahami ilmu agama.

Dalam laporan jurnal diterbitkan oleh Malaysian Research & Education Foundation (MyREF), kebanyakan jemaah terbabit hanya memfokuskan kepada syarat sah dan wajib haji, tetapi mengabaikan adab semasa melaksanakan ibadah.

Ia disebabkan tiada dam haji dikenakan bagi mereka yang melanggar peraturan dan etika yang ditetapkan pemerintah.

Ghairah beribadah ketika haji

ADA segelintir jemaah yang terlalu ghairah beribadah ketika haji hingga sanggup berhelah semata-mata mahu meraih imbalan yang banyak. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

“Sebagai contoh, keghairahan dalam beribadah menyebabkan sebahagian jemaah haji sanggup berhelah untuk memasuki kawasan mataf (dataran Kaabah) bagi melaksanakan tawaf di Masjidil Haram atau ketika memasuki kawasan Raudhah di Masjid Nabawi.

“Perkara ini menjadi persoalan tentang sejauh mana Islam membenarkan seseorang berhelah dan sejauh mana pula hal seseorang Muslim untuk mengerjakan Ibadah,” kata laporan berkenaan.

Dalam laporan penyelidikan bertajuk Fiqh Haji: Kewajipan Mentaati Ulil Amri dan Larangan Mengambil Hak Orang Lain Semasa Pelaksanaan Haji, MyREF mengenal pasti empat isu berkaitan haji yang sering dibangkitkan dan dibincangkan oleh para jemaah.

Penyelidikan itu dijalankan oleh anggota MyREF yang berwibawa iaitu Khadijah Ismail, Zaid Husaini, Mastura Md Salleh, Faiz Rahim dan Nurul Huda Abdullah.

Berikut perinciannya:

i. Larangan melaksanakan tawaf di mataf (dataran Kaabah) bagi mereka yang tidak berihram.

Kerajaan Arab Saudi melarang mereka yang bukan dalam ihram untuk bertawaf di mataf di Masjidil Haram pada masa-masa tertentu.

Namun, ia menjadi pertikaian para jemaah yang berpegang pada hadis menceritakan tentang kelebihan Masjid al-Haram sebagai motivasi untuk memasukinya dan bertawaf dekat dengan Kaabah.

Umpamanya, Hadis Riwayat Imam Ahmad yang memerihalkan kelebihan solat di Masjid Nabawi lebih baik daripada 1,000 solat di tempat lain melainkan Masjidil Haram yang mana ia lebih baik daripada 100,000 solat di tempat lain.

Ghairah beribadah ketika haji

SOLAT di Masjid Nabawi, Madinah lebih baik daripada 1,000 solat di tempat lain.

Baca juga Jenis-jenis masjid yang perlu diketahui

Disebabkan itu, ada jemaah yang berhelah dengan memakai pakaian ihram walaupun bukan dalam keadaan sedemikian gara-gara ingin mendapatkan ganjaran tersebut.

Ketahuilah bahawa para jemaah perlu memahami bahawa keperluan mentaati dan menghormati keputusan pemerintah yang didasari maslahah dalam kes ini adalah lebih utama.

Ini bagi menjaga hak para jemaah yang lain berdasarkan petunjuk sunnah Nabi Muhammad SAW yang melarang menyakiti Muslim lain semasa bersesak mencium hajarulaswad.

Baca juga Hajar Aswad tidak kelihatan Hitam dari Dekat

Perkara itu boleh dilihat dalam satu riwayat yang mana Rasulullah SAW pernah memberi nasihat kepada Saidina Umar RA untuk tidak bersesak semasa hendak mendekati hajarulaswad.

Ini kerana beliau merupakan seorang individu yang kuat dan boleh menyakiti serta mencederakan orang lain.

Jika diteliti, situasi itu mempunyai persamaan illah dalam konteks pemerintah melarang mereka yang tidak berihram untuk tawaf kerana maslahah untuk mengelak kemudaratan kepada golongan lemah seperti wanita, orang tua dan mereka yang kurang berkemampuan seperti cacat.

ii. Syarat untuk memasuki Raudhah.

Sebelum ini, jemaah perlu mendaftar melalui aplikasi Nusuk untuk masuk ke Raudhah. Ia bertujuan untuk mengelak kesesakan dan mengawal jumlah jemaah yang memasuki kawasan berkenaan bagi menziarahi Nabi Muhammad SAW.

Baca juga Enam tiang, enam kisah di Raudhah

Pada tahun ini pula, penggunaan aplikasi tersebut sudah dimansuhkan dan diganti dengan permit dikeluarkan oleh Kerajaan Arab Saudi kepada pengelola jemaah seperti Tabung Haji atau syarikat pengendali berdaftar.

Benar, ramai yang mahu berpusu-pusu memasukinya kerana dalam sebuah hadis riwayat Abdullah bin Zaid al-Mazini bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tempat yang terletak di antara rumahku dan mimbarku adalah salah satu di atas taman-taman syurga.”

Lantaran itu, tidak hairanlah mengapa ramai berlumba-lumba menempatkan diri di dalamnya kerana memahami betapa besarnya pahala berada di Raudhah.

Ghairah beribadah ketika haji

RAMAI yang berlumba-lumba ke Raudah ketika menunaikan ibadah di Tanah Suci. -Gambar hiasan

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain), maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya ALLAH melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya ALLAH meninggalkan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) – beberapa darjat dan (ingatlah), ALLAH MAHA MENDALAM PENGETAHUANNYA tentang apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 11)

Melihat dalil berkenaan, mengertilah bahawa arahan pemerintah berbuat demikian (permit masuk ke Raudhah) ada asas dan mempunyai maslahatnya.

Ia bagi memberikan peluang untuk jemaah lain menziarahi Nabi Muhammad SAW dan peraturan itu perlu dipatuhi semua orang kerana pahala melapangkan tempat ini juga menjadi suatu tuntutan daripada ALLAH SWT.

iii. Penutupan kawasan tertentu dalam Masjidil Haram sebelum masuk waktu solat.

Terdapat jemaah yang menggunakan dalil tentang mengutamakan orang lain dalam perkara ibadah adalah makruh. Ia akhirnya membawa pertengkaran kepada pihak berkuasa kerana keinginan yang membuak-buak untuk masuk ke dalam Masjidil Haram.

Baca juga Imam di Masjidil Haram, makmum ikut dari bilik hotel, sah atau tidak solatnya?

Namun, perlu difahami dengan baik maksud dalil berkenaan. Para ulama fiqh menyebut bahawa perbuatan mengutamakan orang lain (ithar) yang terpuji adalah berkaitan dengan hal keduniaan seperti harta benda, makanan, minuman dan lain-lain. Begitupun, ithar dalam perkara ibadah adalah makruh dan bukannya sunat.

Bagaimanapun, terdapat beberapa hadis lain yang tidak boleh diabaikan dan perlu diperhatikan dengan baik.

Antaranya Nabi Muhammad SAW bersabda: “Siapa yang membebaskan seseorang daripada kesusahan dunia, maka ALLAH akan melepaskannya daripada kesusahan hari kiamat. Siapa yang mudahkan orang yang dalam kesusahan, maka ALLAH akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Siapa yang menutup aib saudaranya yang Islam, maka ALLAH akan menutup aibnya di dunia dan di akhirat…” (Hadis Riwayat Muslim)

Hadis berkenaan mengingatkan agar orang beriman sentiasa memudahkan urusan orang lain, selain tidak menyebarkan aib dan saling membantu saudara seagamanya.

Dalam riwayat lain, Rasulullah SAW memberi amaran bahawa orang yang menyusahkan orang lain, maka ALLAH akan menyusahkan dirinya kelak.

Berbalik kepada maslahah yang mana pemerintah menutup kawasan tertentu dalam Masjidil Haram sebelum waktu solat, ia bertujuan mengelakkan mudarat akibat kesesakan melampau.

Mengertilah bahawa itu lebih utama daripada meraih ganjaran bagi diri sendiri dalam melaksanakan ibadah tersebut.

iv. Tidak mengikut waktu melontar yang ditetapkan ulil amri (pemerintah).

Tidak dinafikan terdapat jemaah yang enggan mengikut masa yang ditetapkan untuk melontar gara-gara ingin mendapatkan waktu afdal berbuat demikian.

Seharusnya menghormati waktu melontar jamrah dan mengikut ketetapan tersebut menjadi kewajipan kepada setiap jemaah. Ini kerana ia merupakan maslahah besar bagi mengelak mudarat daripada kesesakan melampau.

Ghairah beribadah ketika haji

JANGAN terlalu ghairah beribadah ketika haji hingga memilih masa di luar waktu melontar yang ditetapkan oleh pengendali ibadah berkenaan.

Ingatlah, mereka yang tidak mematuhi peraturan semata-mata bagi mengejar waktu afdal (maslahat sunat), tetapi telah meninggalkan maslahat yang wajib (mengelakkan mudarat bersesak-sesak sehingga kehilangan nyawa).

Demikianlah antara perkara yang kerap kali menjadi isu ketika musim haji.

Meskipun ramai yang menganggap remeh tentang perkara pertama dan kedua, tetapi MyREF menegaskan, ia tetap melibatkan hak pelanggaran hak sesama manusia.

Walaupun ia tidaklah sebesar pelanggaran hak berkaitan harta, kelayakan, pelunasan hutang, diyah (hutang darah) dan sebagainya, tetapi mengabaikannya membawa kepada pelanggaran yang lebih besar iaitu melanggar hukum yang ditetapkan oleh ALLAH SWT kerana keterkaitan di antara hak ALLAH dan hak makhluk.

“Sekiranya hak ini digunakan secara salah seperti berhelah dan menipu, lantas menyebabkan terhalangnya jemaah yang sepatutnya berada dalam kelompok dinyatakan, maka ia adalah suatu kezaliman kerana haknya untuk berada di dalam kawasan khusus tersebut dinafikan.

“Ia juga membawa kepada pelanggaran amanah yang telah ditegaskan larangannya yang mana dalam al-Quran, ada dinyatakan bahawa jangan mengkhianati amanah,” katanya.

Justeru, MyREF mengingatkan agar para jemaah haji perlu berusaha memperoleh haji mabrur dengan melakukan ibadah berkenaan bersungguh-sungguh, di samping mematuhi setiap arahan ditetapkan ulil amri.

Baca juga Ingin haji mabrur, amal 7 adab saranan al-Ghazali

“Ia supaya tidak berlaku pencerobohan hak jemaah haji lain yang pasti akan menjejaskan pahala dan ganjaran ibadah haji yang dilakukan.

“Para jemaah haji perlu mengambil berat dan membezakan perkara yang sunat dan hal yang terdapat keluasan dari sudut pelaksanaan hukum dalam ibadah haji berbanding dengan perkara wajib dan yang lebih utama perlu dilaksanakan.

“Usahlah kerana mengejar pahala sunat, jemaah meninggalkan perkara wajib dan asas dalam agama iaitu menjaga hak manusia lain dan kepentingan menjauhi darurat,” titip laporan berkenaan.

***Foto: Canva

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

Hari Tarwiyah
Istimewa Panggilan Baitullah,

Mengapa hari ke-8 Zulhijjah dinamakan Hari Tarwiyah dan apa kelebihan di sebalik hari ini?

Mengapa hari ke-8 Zulhijjah dinamakan Hari Tarwiyah dan apa kelebihan di sebalik hari ini?

KITA masih berada dalam 10 hari terawal bulan Zulhijjah. Sebagaimana yang diketahui umum, waktu ini merupakan adalah antara hari-hari yang paling disukai serta dicintai oleh ALLAH SWT bagi orang yang beramal soleh.

Daripada Ibnu Abbas RA bahawa Nabi SAW bersabda:

Tidak ada hari yang mana amal soleh dilakukan padanya lebih dicintai oleh Allah daripada sepuluh hari ini (awal Zulhijjah).” Mereka berkata: Wahai Rasulullah! Tidak juga berjihad di jalan ALLAH ? Baginda SAW berkata: “Tidak juga berjihad di jalan ALLAH melainkan seseorang itu keluar dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak kembali (syahid) dengan membawa sesuatu pun.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Tambahan pula, hari ini merupakan hari yang kelapan di dalam bulan tersebut dan ia juga dinamakan sebagai hari Tarwiyah.

Tetapi, mengapa ia digelar Hari Tarwiyah? Apakah kelebihan yang ada pada hari tersebut?

Baca juga Bila nak puasa Arafah, kalau Aidiladha di Malaysia lewat sehari dari Mekah?

Turut disyorkan Dua jenis takbir ketika Aidiladha

Hari Tarwiyah

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Imam Ibnu Qudamah di dalam kitabnya, ada menyebutkan dua sebab mengapa hari tersebut digelarkan Tarwiyah.

Dua sebab di sebalik penamaan Hari Tarwiyah.
1. Bekalan air bagi jemaah haji sebelum menuju ke Arafah.
Pertama, nama Hari Tarwiyah dikatakan merujuk kepada hari di mana para jemaah hai mempersiapkan bekalan air sebelum menuju ke Arafah.

Jelas portal itu, sebelum menuju ke Arafah, para jemaah haji akan pergi ke Mina terlebih dahulu dalam keadaan berihram. Ketika di Mina, mereka juga akan mempersiapkan air sebagai bekalan untuk dibawa ketika berwukuf di Arafah.

Perbuatan mempersiapkan air itu diistilahkan dengan Yatarowwaun (يتروون). Maka, hari kelapan Zulhijjah dikenali sebagai Hari Tarwiyah.

ARTIKEL BERKAITAN:

2. Mimpi Nabi Ibrahim.
Selain itu, dinamakan juga dengan “Tarwiyah” adalah disebabkan pada malam tersebut, Nabi Ibrahim AS telah bermimpi buat kali yang pertama daripada ALLAH SWT agar menyembelih anaknya Nabi Ismail AS.

Setelah mimpi itu, seharian baginda AS berfikir dan tertanya-tanya kepada dirinya, apakah perintah itu datangnya daripada ALLAH atau daripada syaitan. Tertanya-tanya itu juga diistilahkan dengan Yurowwi (يروي) dan itu adalah di antara sebab 8 Zul al-Hijjah dinamakan dengan hari Tarwiyyah. (Rujuk al-Mughni, 3/249)

Hari Tarwiyah

SEBELUM bergerak ke Arafah untuk berwukuf,, jemaah haji perlu bermalam di Mina terlebih dahulu. Foto: Arab News

Baca juga Ramai salah faham waktu mustajab doa pada Hari Arafah

Turut disyorkan Doa Arafah ini berbeza kerana meliputi semua doa-doa yang masyhur

Kelebihan Hari Tarwiyah
Dari sudut kelebihan, portal tersebut menjelaskan, sebenarnya tidak ada hadis sahih yang menyentuh tentang amalan tertentu yang boleh dilakukan pada Hari Tarwiyah melainkan hadis umum yang menceritakan kelebihan melakukan amal soleh pada 10 hari terawal bulan Zulhijjah.

Memandangkan berpuasa dan ibadat-ibadat yang lain merupakan salah satu daripada bentuk amal soleh, maka atas sebab itu umat Islam disunatkan berpuasa pada Hari Tarwiyah.

ARTIKEL BERKAITAN:

Hadis daif tentang puasa Hari Tarwiyah
Pihak mufti turut menyentuh tentang satu hadis yang mendakwa bahawa berpuasa pada hari itu akan menghapuskan dosa selama setahun. Manakala berpuasa pada hari Arafah pula akan menghapuskan dosa selama dua tahun.

Dikatakan bahawa Rasululah SAW telah bersabda,

Maksudnya: “Puasa pada hari Tarwiyah akan menghapuskan (dosa) selama setahun dan puasa pada hari Arafah pula akan menghapuskan (dosa) selama dua tahun.”

Hadis tersebut diriwayatkan oleh Imam al-Dailami di dalam kitabnya Musnad al-Firdaus [2/248].

Pihak mufti bagaimanapun memberitahu, para fuqaha berbeza pandangan dalam menilai hadith berkenaan.

AMBILLAH peluang berdoa pada Hari Arafah yang merupakan salah satu waktu paling mustajab doa. Foto: 123RF

Baca juga Lima hadis popular ini rupanya hadis palsu

Sebahagian ulama seperti Imam al-Suyuthi dan Imam al-Busiri menilai status hadis tersebut sebagai dhaif (lemah) kerana terdapat perawi di dalam sanad hadis yang dianggap pendusta dan majhul (tidak dikenali).

Pun begitu, ulas laman web tersebut, meskipun dinilai hadis dhaif, terdapat sebahagian ulama yang menggunakannya sebagai dalil terhadap kelebihan berpuasa pada hari Tarwiyah.

Hal itu kerana sebahagian ulama membenarkan seseorang untuk beramal dengan hadith yang dhaif (lemah) di dalam bab fadhail al-A’mal selagimana ia tidak berkaitan dengan permasalahan aqidah atau hukum.

Kesimpulannya, hari Tarwiyah merupakan hari yang kelapan di dalam bulan Zulhijjah dan tidak ada dinyatakan kelebihan yang khusus atau amalan yang khusus untuk dilakukan pada hari tersebut berdasarkan kepada hadis yang sahih.

Walaupun demikian, kita digalakkan beramal soleh seperti berpuasa memandangkan ia termasuk antara 10 hari terawal Zulhijjah.

Sumber: Portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: 123RF

Robot Mekah
Istimewa Panggilan Baitullah,

Kad pintar, robot AI dan 2.2 juta botol air Zamzam, antara kemudahan untuk jemaah haji

Kad pintar, robot AI dan 2.2 juta botol air Zamzam, antara kemudahan untuk jemaah haji…

BARU-BARU ini, Presiden Penguasa Data dan Kepintaran Buatan Saudi, Abdullah bin Sharaf Al-Ghamdi telah mengeluarkan kenyataan mengenai penggunaan teknologi termaju kerajaan termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi ibadah haji tahun ini.

Kad pintar, robot dan kecerdasan buatan (AI) merupakan antara transformasi yang digunakan Arab Saudi bagi memudahkan lebih tiga juta jemaah pada musim Haji 1444H/2023M kali ini.

Perkembangan itu turut dikongsikan Menteri Hal Ehwal Agama Arab Saudi, Sheikh Abdullatif al-Asheikh, yang turut menyatakan, musim Haji mengalami perubahan setiap tahun sejak zaman Rasulullah sehingga kini.

Baca Juga Ada kemusykilan ketika tunaikan umrah, robot di Masjidil Haram boleh jawab soalan para jemaah dalam 11 bahasa

Tambah beliau, pada tahun ini misalnya, terdapat robot yang menggantikan manusia untuk menjawab semua persoalan agama daripada jemaah Haji.

Pada masa sama, 200 talian telefon disediakan dalam lebih 70 bahasa.

“Kami mempunyai pelbagai kaedah. Kami berusaha dalam semua segi, sama ada sumber manusia atau teknologi. Melalui penggunaan komputer dan peranti pintar, kami membantu prosedur dan membuatkannya jadi lebih mudah“.

Robot jawab kemusykilan ibadah umrah

 TERDAPAT juga robot yang menggantikan manusia untuk menjawab semua persoalan agama daripada jemaah Haji. 

“Terdapat juga robot yang menjawab soalan-soalan jemaah haji mengenai agama,” kata Abdullatif.

Robot pintar agih 2.2 juta botol air Zamzam

Sementara itu, Saudi Press Agency (SPA) turut melaporkan, kerajaan Arab Saudi bersedia menyediakan lebih 2.2 juta botol air Zamzam pada musim Haji tahun ini, seiring dengan peningkatan permintaan.

ARTIKEL BERKAITAN 

Ketua Presiden Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi Syeikh Dr Abdulrahman Al-Sudais menggesa agar kapasiti pengeluaran maksimum air Zamzam yang dilaksanakan di bawah Projek Zamzam Raja Abdullah bin Abdulaziz digandakan bagi mencapai 200,000 botol sehari.

Dr Al-Sudais berkata perkhidmatan itu bertujuan menyediakan air Zamzam kepada jemaah haji dengan cara mudah dan efisien, menggunakan mekanisme automatik terkini merentasi peringkat penulenan air dari telaga sehingga sampai ke kilang.

Air kemudiannya dibotolkan secara automatik tanpa campur tangan manusia bagi memelihara kualiti air zamzam kepada jemaah Haji dan akan diagihkan oleh robot pintar.

Robot edarkan air zamzam

ROBOT pintar itu mampu mengedarkan 30 botol pada setiap pusingan, dengan setiap kitaran tersebut berlangsung selama 10 minit.

Timbalan Ketua Jabatan Pengairan Zamzam untuk Perkhidmatan dan Hal Ehwal Lapangan, Badr Al-Luqmani, sebelum ini menyatakan, teknologi robot itu akan membolehkan mereka mengedar botol air Zamzam tanpa sentuhan tangan manusia, selain antara cara mematuhi langkah berjaga-jaga Covid-19.

Jelas al-Luqmani lagi, robot itu dapat mengagihkan 30 botol setiap pusingan, dengan setiap pusingan berlangsung selama 10 minit, dan ia akan dapat berfungsi selama lapan jam pada satu masa.

Baca Juga Tiada Lagi Sentuhan Manusia, Robot Pintar Ambil Alih Tugas Edarkan Air Zamzam di Masjidil Haram

Beliau seterusnya mengatakan bahawa ia tidak akan bertembung atau menghalang orang, dan ia telah memperoleh beberapa pensijilan, termasuk sijil CS Eropah.

“Kerja-kerja sedang dijalankan bagi mengendalikan robot secara meluas di dalam Masjidil Haram untuk turut mengendalikan beg dan silinder mudah alih. Kami berusaha menyediakan tahap keselamatan dan kualiti tertinggi untuk pengunjung Masjidil Haram,” katanya.

Hari Arafah
Istimewa Panggilan Baitullah,

Khutbah Arafah 2023 diterjemah ke 20 bahasa dunia

KHUTBAH Arafah berbahasa Arab bagi musim haji 1444H/2023M akan disiarkan secara langsung dalam 20 bahasa termasuk Bahasa Melayu.

Setiausaha Bahagian Agensi Bahasa-Bahasa dan Terjemahan di Jabatan Hal Ehwal al-Haramain, Ahmad bin Abdul Aziz al-Humaidi berkata, pada tahun ini ada enam bahasa baharu iaitu Sepanyol, Portugal, Jerman, Filipina, Itali dan Bosnia ditampilkan, sebagai tambahan bahasa untuk terjemahan khutbah Arafah.

“Lebih dari 274 juta orang di seluruh dunia telah mendapat akses kepada khutbah Arafah pada musim haji tahun 1443H/2022M yang lepas hasil tranformasi digital dalam bidang teknologi maklumat,” katanya.

Baca Juga Arab Saudi umum hari wukuf jemaah haji 27 Jun ini

Beliau berkata demikian kepada petugas media daripada agensi dan organisasi pelbagai negara yang menyertai program Media Partnerships For Hajj Season 2023 anjuran Kementerian Media Arab Saudi, pada Sabtu.

Ahmad berkata, bagi musim haji 1444H/2023M ini pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 300 juta pendengar dapat mengikuti khutbah Arafah di seluruh dunia.

“Kami telah mengesan bahawa penduduk di Amerika Selatan tidak mendapat akses untuk mendengar khutbah Arafah pada musim haji tahun lepas“.

MUSIM haji 1444H/2023M ini pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 300 juta pendengar dapat mengikuti khutbah Arafah di seluruh dunia.

“Justeru, kami permudahkan akses dengan menyediakan perisian yang boleh dimuat turun dari laman web agensi ini dan di semua platform media sosial,” katanya.

Terdapat lebih 40 penterjemah terlatih dan berpengalaman di agensi itu, dan bagi menjaga ketepatan maksud khutbah, kesemua mereka terdiri daripada golongan yang mempunyai kelayakan akademik doktor falsafah (PhD), ijazah sarjana (MA), ijazah sarjana muda (BA) dalam bidang bahasa selain latar belakang pengajian Islam di institusi pengajian tinggi.

ARTIKEL BERKAITAN

Antara bahasa utama untuk terjemahan ialah Inggeris, Perancis, Mandarin, Benggali, Rusia, Melayu, Urdu, Parsi, Hausa dan Turkiye.

Bagi umat Islam Malaysia yang tidak menguasai dan memahami Bahasa Arab, terjemahan khutbah ke Bahasa Melayu boleh diikuti menerusi portal https://manaratalharamain.gov.sa. 

Dua pemuda Malaysia, Muhammad Mujahid Zaharudin dan Dr Ahmad Wifaq Mokhtar bersama-sama dua rakan penterjemah dari Indonesia bertanggungjawab untuk melakukan penterjemahan bahan-bahan seperti khutbah Jumaat, Hari Raya, Hari Arafah dan solat istimewa seperti gerhana matahari serta bulan.

RAKYAT Malaysia boleh mendengar secara langsung terjemahan khutbah itu dalam bahasa Melayu menerusi portal manaratalharamain.gov.sa yang antaranya diterjemah seorang pemuda Malaysia, Muhammad Mujahid Zaharudin. 

“Kami bergabung dengan penterjemah dari Indonesia disebabkan persamaan dan kedekatan bahasa kita (Melayu) dengan mereka. Kami akan bergilir. Khutbah Arafah tahun ini giliran saudara kami dari Indonesia“.

Baca Juga Demi ibadah haji sanggup berjalan kaki ke Mekah, 2 kisah ini wajar dijadikan inspirasi

“Khutbah Raya pada esok harinya giliran saya, ia akan dibaca dalam bahasa Melayu. Khutbah Jumaat minggu ini oleh Dr (Ahmad) Wifaq, juga Bahasa Melayu,” kata Muhammad Mujahid ketika ditemui.

Muhammad Mujahid, 26, dari Johor Bahru merupakan satu-satunya mewakili rakyat Malaysia bertugas sebagai penterjemah di Masjidil Haram sejak Oktober 2022 dengan menterjemah khutbah Jumaat, khutbah Hari Arafah, syarahan dan papan-papan tanda di masjid berkenaan.

Berjalan Kaki ke Mekah
Istimewa Panggilan Baitullah,

Demi ibadah haji sanggup berjalan kaki ke Mekah, 2 kisah ini wajar dijadikan inspirasi

SETIAP yang bergelar Muslim pasti mengimpikan untuk mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci.

Akan tetapi, seringkali kos yang agak tinggi menjadi halangan buat mereka yang tidak mampu untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu dalam waktu terdekat.

Namun, dengan tekad dan usaha seseorang, ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk mencapai impian tersebut walaupun dengan hanya berjalan kaki.

Seperti kisah dua pemuda Muslim ini, mereka telah berjaya membuktikan kepada dunia, demi ibadah haji perjalanan mereka yang penuh liku berjaya jua ditempuhi.

KISAH PERTAMA: Berjalan kaki dari Kerala ke Mekah

SHIHAB Chottur memaklumkan yang dia telah memulakan perjalanannya pada 2 Jun 2002 dan tiba di Mekah pada 7 Jun lalu.

Kisah pertama tular di media sosial kini, apabila seorang duyufurrahman dari India telah memenuhi impian seumur hidupnya untuk berjalan kaki dari kampung halamannya di daerah Malappuram, Kerala ke Mekah untuk menunaikan Haji.

Selepas berjalan lebih 8,640 kilometer, akhirnya impiannya tercapai.

Dalam wawancara eksklusif bersama portal berita Arab News, Shihabudeen Sayid Alawi, 31, atau lebih dikenali sebagai Shihab Chottur memaklumkan yang dia telah memulakan perjalanannya pada 2 Jun 2002 dan tiba di Mekah pada 7 Jun lalu.

Sepanjang kembaranya itu, Shihab Chottur telah merentasi 5 negara iaitu India, Pakistan, Iran, Iraq dan Kuwait dengan perjalanan keseluruhan mengambil masa selama setahun 17 hari.

“Saya tiba di sempadan Kuwait-Arab Saudi pukul 5:17 pagi di bulan Ramadan. (Sebaik tiba) saya berlutut dan memegang pasir Arab Saudi,” kata Alawi.

ARTIKEL BERKAITAN 

“Saya merasakan seperti sudah menamatkan perjalanan sebaik saya mengunjungi Masjid Nabawi. Saya juga menziarahi Raudah dan saya amat yakin akan berkunjung ke Mekah pula untuk melaksanakan ibadah haji.”

Sebaik menjejakkan kaki ke Mekah pula, dia seperti sudah melupakan cabaran dan kesukaran yang dilaluinya sepanjang setahun perjalanan spiritual itu.

Kesyukuran tidak henti-henti dipanjatkan Shihab Chottur dan dia juga menghabiskan beberapa jam mendoakan semua pihak yang menghulurkan sokongan bagi membolehkan dia mencapai matlamat mengerjakan rukun Islam kelima itu selain memenuhi impian mereka yang memintanya berdoa di hadapan Kaabah.

KISAH KEDUA: 11 bulan berjalan kaki ke Mekah

ADAM yang menetap di Britain telah memulakan perjalanannya pada 1 Ogos 2021 bersama troli tiga roda untuk membawa barangan peribadinya.

Satu lagi kisah inspirasi yang menjadi perhatian warga maya tahun lalu (2022), apabila impian Adam Muhammad, 52, untuk menjejakkan kaki ke Mekah walaupun memakan masa berbulan-bulan dengan hanya berjalan kaki berjaya dicapai.

Adam yang menetap di Britain selama kira-kira 25 tahun, mempunyai impian untuk melakukan perjalanan ibadah ke Mekah bagi menunaikan haji.

Adam memulakan perjalanannya dari Britain pada 1 Ogos 2021 bersama troli tiga roda untuk membawa barangan peribadinya.

Baca Juga Virtual haji, beri pengalaman tunai rukun Islam kelima

Dia berkata, persiapannya untuk menunaikan haji hanya mengambil masa dua bulan, dan sebuah pertubuhan British ada menghulurkan bantuan kepadanya.

Berkongsi kisah yang sukar itu, Adam berkata, dia tidak menghadapi sebarang halangan besar sepanjang perjalanan ke Mekah.

“Tiada kesukaran besar kecuali penahanan pihak berkuasa polis di beberapa negara untuk bertanyakan mengenai keberadaan saya tetapi mereka terkejut apabila mengetahui misi unik saya.

“Ramai orang membantu saya dalam perjalanan, tetapi saya tidak pernah meminta bantuan daripada sesiapa,” katanya.