Browsing Category

Dalam Negara

Untitled design - 2022-08-17T175354.272
Berita Semasa, Dalam Negara,

Crackhouse Comedy Club, akhirnya diarah tutup selamanya

KETELUSAN kerajaan Malaysia menjaga kesucian agama Islam wajar dipuji. Ini dibuktikan apabila kelab Crackhouse yang pernah tular menghina Islam akhirnya diarah tutup untuk selama-lamanya.

Tindakan tegas yang dilakukan oleh pihak berwajib diharapkan menjadi iktibar kepada masyarakat Malaysia agar tidak akan ada lagi yang berani memperlekehkan agama Islam.

Firman ALLAH SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 57 bermaksud, “Sesungguhnya (terhadap) orang-orang yang menyakiti ALLAH dan Rasul-NYA, ALLAH akan melaknatnya di dunia dan di akhirat, dan menyediakan azab yang menghinakan bagi mereka.”

Menerusi laporan Bernama, pemilik Crackhouse Comedy Club disenarai hitam seumur hidup daripada mendaftarkan lesen perniagaan di mana-mana premis di ibu negara ini.

Baca juga Hati-hati dengan ‘content’ persenda agama, akidah boleh runtuh kerananya

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, Jawatankuasa Pelesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermesyuarat pada 29 Julai lalu dan bersetuju membatalkan lesen perniagaan kelab komedi berkenaan berkuat kuasa 30 Julai lalu.

INSIDEN simbahan cat kelab komedi yang dilaporkan pada 21 Julai 2022.

“Malah, kita juga mengambil keputusan menyenaraihitamkan pemilik kelab ini untuk mendaftarkan lesen perniagaan di Kuala Lumpur buat selama-lamanya.

Ini bermakna pemilik kelab itu tidak boleh mendaftarkan sebarang aktiviti perniagaan di Kuala Lumpur walaupun menggunakan nama dan syarikat berlainan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai Operasi Bersepadu di Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Baca juga Jangan pandang remeh perbuatan hina agama

Jalaluddin berkata, pihaknya juga sedang memantau beberapa kelab yang disyaki terbabit dengan aktiviti seumpama itu di sekitar ibu negara.

“Sebarang lesen hiburan yang kita kemuka dan keluarkan kepada setiap premis mesti mengikut peraturan ditetapkan.

“Bagi pihak yang melanggar syarat pelesenan, maka mereka tidak akan terlepas daripada tindakan tegas.

“Pada masa sama, tindakan, pemantauan serta pemeriksaan akan dilakukan secara berkala oleh DBKL kerana kita tidak mahu ada yang terlepas daripada tindakan kami,” katanya.

Komedi tanpa batas

Pada 13 Julai lalu, media melaporkan Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), yang digantung sementara operasi oleh DBKL pada 10 Julai lalu didapati tidak mempunyai lesen hiburan sejak 2014 hingga 2017.

SEBELUM ini tular video seorang wanita yang bertudung dan memakai baju kurung mendakwa dirinya telah menghafaz 15 juzuk Al-Quran sebelum menanggalkan pakaian yang menutup aurat itu dan hanya meninggalkan pakaian yang menjolok mata.

Jalaluddin dipetik berkata, pemilik premis itu hanya diberikan lesen restoran dan minuman keras tetapi tiada lesen hiburan.

Sebelum ini, pengasas dan pemilik bersama Crackhouse Comedy Club, Rizal Van Geyzel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan memuat naik video di tiga platform media sosialnya yang menyentuh isu sensitiviti perkauman pada 22 Julai lalu.

Baca juga Desak tutup Crackhouse Comedy TTDI secara mutlak, bukan sementara

Rizal menjadi tumpuan kontroversi selepas video yang tersebar di media sosial menyebabkan pihak tertentu tidak berpuas hati dengan persembahan komedinya.

Terdahulu, Siti Nuramira Abdullah, 26, tular selepas menanggalkan baju kurung dan tudungnya di kelab komedi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni menggunakan agama dalam kalangan sesama Islam di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Julai lalu.

Malah, teman lelakinya yang juga penulis bebas, Alexander Navin Vijayachandran turut didakwa di mahkamah berasingan atas tuduhan memuat naik kandungan jelik di media sosial pada hari sama.

Berita Semasa, Dalam Negara, Isu,

Ikhlas jaga agama, hindari bala ALLAH

UMAT Islam di Malaysia wajar peka dan ikhlas menjaga sensitiviti agama agar tidak mengundang bala dari YANG MAHA ESA.

Sebagaimana firman ALLAH dalam surah al-Anfal, ayat 25 yang bermaksud, “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa ALLAH Maha Berat azab seksa-NYA.”

Pihak kerajaan wajar mengambil serius setiap perbuatan yang menyentuh sensitiviti agama khususnya, demi menjaga keharmonian negara. Budaya kita bukan seperti budaya liberal Barat memandang enteng kesucian agama.

Oleh itu, prinsip kebebasan ala Barat tidak sepatutnya menjadi rujukan dalam menentukan pendekatan keharmonian kaum dan kesejahteraan beragama dalam negara.

Tindakan proaktif perlu diambil bagi menghalangnya berleluasa. Demikian juga proses pendidikan dan kesedaran awam amat penting bagi memastikan masyarakat saling menghormati sensitiviti agama.

 

Tumpuan kepada Falsafah Iqra’

Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman berkata, falsafah Iqra’ sepatutnya dijadikan panduan pendidikan kerana asas Islam ialah agama ilmu.

DR SUKKI OTHMAN

“Ayat pertama yang diturunkan ialah ‘Iqra’, dan ini menunjukkan betapa kuatnya  Islam meletakkan asasnya dengan ilmu.

“Justeru, ilmu amat diperlukan kalau ingin mengetahui apa itu Islam. Barulah penilaian dapat dibuat dengan adil.

Pembinaan sahsiah dan mentaliti generasi muda Muslim pada hari ini jelasnya, perlu difokuskan kepada pengukuhan ilmu aqidah.

“Mereka perlu diperkukuhkan dengan ilmu mengenal ALLAH dan tujuan beribadah. Silibus ini patut ditekankan sejak sekolah rendah lagi. Apabila memiliki kefahaman teguh, seseorang itu akan memiliki rasa kehambaan, seterusnya melaksanakan ibadah dengan penuh kefahaman dan penghayatan. Di mana sahaja berada, dia akan merasa dirinya bertuhan,”

Pada masa yang sama media massa juga wajar memainkan peranan dakwah. Jelas Dr Sukki, pihak berwajib boleh menggunakan saluran media rasmi kerajaan untuk memperuntukkan waktu, khususnya waktu perdana bagi menerangkan tentang Islam, prinsip-prinsip Islam dan berusaha memperjelaskan isu-isu kontroversi yang sering diperkatakan di dalam Islam seperti poligami, hudud dan sebagainya kepada khalayak.

“Usaha dakwah ini perlu digerakkan secara bersepadu dan berterusan agar segala salah faham tentang agama suci Islam dapat diperbetulkan. Kita negara Islam, semestinya tiada masalah untuk menggunakan fasiliti rasmi yang ada. Jangan biar rakyat mencari informasi yang banyak berkecamuk dan belum pasti kesahihannya di media sosial,” tegas beliau lagi mengakhiri bicara.

 

KEBEBASAN ATAU HAK ASASI BUKAN ALASAN HINA AGAMA

DALAM konteks Malaysia, memang Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan memberikan kebebasan bersuara kepada rakyat Malaysia, namun ia tertakluk kepada batas ditentukan undang-undang bagi menjamin ketenteraman awam, moral dan kepentingan umum.

Bebas bersuara bukan bermakna berhak bercakap apa sahaja yang disukai. Orang bersuara mungkin menimbulkan kesan ke atas orang lain dari sudut maruah, kehormatan dan harga diri.

Undang-undang melarang penghinaan agama penting bagi mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.

Perbuatan menghina agama tertakluk kepada beberapa kawalan undang-undang di Malaysia. Pertama, Seksyen 298 Kanun Keseksaan, iaitu bagi kesalahan menyebut perkataan atau melakukan perbuatan melukakan perasaan agama seseorang tertakluk hukuman penjara setahun dan denda.

Hukuman lebih berat di bawah Kanun Keseksaan adalah di bawah Seksyen 298A, iaitu bagi perbuatan menghina yang boleh mendatang kebencian, menjejaskan keharmonian dan kemudaratan. Ia membawa hukuman penjara dua hingga lima tahun dan denda.

Selain itu, bagi kesalahan dilakukan menggunakan media sosial dan internet, pendakwaan juga boleh dilakukan melalui Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan dalam kalangan orang Islam pula, terdapat undang-undang di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 dan Enakmen Negeri memperuntukkan hukuman tidak lebih tiga tahun penjara dan denda RM5,000.

baca juga: Jangan pandang remeh perbuatan hina agama

Untitled design - 2022-08-09T171937.521
Berita Semasa, Dalam Negara,

Gula-gula gelatin babi, apakah hukumnya jika sudah lama makan?

BEBERAPA tahun lepas, status halal satu produk yang amat digemari ramai iaitu gula-gula White Rabbit menjadi perbualan netizen setempat dan perkara itu telah menerima keputusan yang muktamad daripada pihak kementerian.

Menerusi laporan TV Al- Hijrah pada 2019, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama pada waktu itu, mengesahkan gula-gula tersebut mengandungi gelatin yang tidak halal.

Menurut beliau, status halal gula-gula White Rabbit itu dibuktikan menerusi beberapa siri ujian makmal yang dijalankan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Saya telah pun mendapat maklum balas daripada pihak JAKIM. Ujian mendapati terdapat gelatin dari sumber haiwan babi bo-vign dan gelatin dari sumber lembu yang tidak boleh disahkan halal,” katanya.

Jelas beliau lagi, dia menasihatkan pengguna khususnya beragama Islam memastikan tanda halal sebelum membeli apa jua produk.

SEBAGAI pengguna Muslim perlu bijak dalam membuat penelitian terhadap bahan-bahan yang dibeli sama ada bebas daripada unsur haram mahupun sebaliknya

“Ini tanggungjawab pengguna, bagi pihak JAKIM pula saya telah meminta mereka menulis surat kepada beberapa kementerian untuk siasatan lanjut kerana produk ini tidak menulis gelatin jenis apa. Kandungan yang tidak jelas ini mengelirukan pengguna,” katanya.

Sudah tentu ramai yang ‘menikmati’ gula ini sejak dahulu, hanya tahun 2019 ia disahkan tidak halal dan mempunyai DNA babi.

Sebelum itu juga, Kementerian Hal Ehwal Agama Brunei (MoRA) telah mengesahkan gula-gula susu White Rabbit merupakan salah satu produk yang tidak halal selepas laporan ujian makmal mendapati terdapat kandungan protein khinzir dalam ramuannya.

Berikutan pengumuman berkenaan, beberapa pembuat ais krim di Brunei telah menghentikan pengeluaran ais krim berperisa White Rabbit di cawangan-cawangan mereka.

Demikian perincian artikel yang dikongsi oleh syariahscreener apabila Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) mengesahkan gula-gula white Rabbit adalah tidak halal.

MENJADI satu tanggungjawab (taklifan) bagi pengusaha Muslim untuk menyediakan produk yang halal lagi suci kepada masyarakat Islam.

Namun, bagaimana pula jika sudah termakan gula-gula ini?

Dr. Zaharuddin Abd Rahman, penasihat kewangan syariah di halaman Facebooknya menjelaskan bagi mereka yang sudah lama memakan gula ini, tidak perlu menyamak mulut dan perut. Cukup untuk beristighfar terhadap ALLAH SWT dan boleh juga meghilangkan rasa bersalah dengan bersedekah.

Baca juga Sunnah tutup makanan dan minuman walaupun dengan sebatang kayu, ini sebab-sebabnya

Bagimanapun, tidak berdosa bagi mereka yang memakannya dahulu tanpa sedar ia tidak halal.

Ini berdasarkan firman ALLAH SWT “Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu TERSALAH (TANPA SENGAJA) padanya, tetapi (yang ada dosanya) apa yang DISENGAJAKAN oleh hatimu. Dan adalah ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Surah Al-Ahzab ayat 5)

Maka, yang berbahaya dan dosa adalah apabila sudah tahu sesuatu perkara itu haram, tetapi masih disengajakan, seperti minum arak, merokok, berjudi, sertai pelaburan riba dan sebagainya.

Dalam Islam setiap perkara yang halal mahupun haram telah ditetapkan dalam nas-nas syarak.

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: “Mencari yang halal adalah fardu (wajib) bagi setiap orang Islam.” (Hadis Riwayat Dailami).

Hal ini telah dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir bahawa Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya perkara yang halal itu sudah dijelaskan dan perkara yang haram itu pun jelas (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Memetik artikel Mufti Wilayah di dalam Irsyad Al-Fatwa siri ke- 441 mengenai produk Muslim yang tiada status halal, Jika ada yang telah makan makanan tersebut maka hukumnya adalah dimaafkan.

Perkara ini berlandaskan dalil-dalil syarak yang memberikan hukum berdasarkan kepada keadaan asalnya iaitu halal sehingga terdapat bukti yang mengubahnya dan memberikan keuzuran dan keringanan dalam perkara yang tidak disengajakan dengan syarat penelitian melalui logo halal pada paket pembungkus sudah dilakukan terlebih dahulu.

Mom's Coffee Talk
Dalam Negara,

Mom’s Coffee Talk 2.0 angkat isu keibuan, jangan lupa tonton malam ini

MOM’S Coffee Talk 2.0, program Majlis Ibu  di bawah kempen #SavingFamilies dan Masuk Syurga Sekeluarga kembali lagi.

Kali ini, program anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu bakal menemui penonton menerusi platform QuranHour dan TickTalk TV pada setiap Jumaat bermula hari ini (5 Ogos 2022), jam 9 malam.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, program tersebut yang diperkenalkan pada 2019, menyasarkan golongan ayah sebagai pemimpin, ibu sebagai pendamping, anak sebagai pejuang dan datuk serta nenek sebagai model masuk syurga sekeluarga.

MARHAINI

“Moms’ Coffee Talk memberi kupasan ciri-ciri ibu sebagai pendamping sebagaimana disebut dalam buku Masuk Syurga Sekeluarga serta memahami cabaran yang dihadapi ibu dalam mengurus rumah tangga.

“Ia memfokuskan cabaran yang dihadapi para ibu dalam menguruskan rumah tangga secara menyeluruh dalam mencapai matlamat ibu sebagai pendamping masuk syurga sekeluarga.

“Panduan surah as-Sajdah dan surah-surah yang lain boleh menjadi resolusi kepada masalah yang dibincangkan. Lokasi penggambaran Moms’ Coffee Talk 2.0 diadakan di kafe pilihan di Lembah Klang ,” katanya.

Baca juga Begitu Besarnya Jihad Ibu Hamil, ALLAH Janjikan Imbalan Yang Bukan Calang-Calang

Antara tetamu jemputan ialah Pemaju Perniagaan Kanan Quantum Metal, Rukhaidah Abd Karim; Pengasas K’Hermosa, Dzuriasikim Dzulkefli; Pengasas Akademi Dr Har, Dr Harlina Haliza Siraj; Ketua Pegawai Eksekutif Raudhatussakinah, Rosmawati Zainal; Irma Hasmie, pengacara TV; Datuk Nurul Zahid, ahli politik dan Datin Lisa Surihani, selebriti.

Moms’ Coffee Talk dikemudikan oleh pengacara terkenal Diana Amir.

Cetus kesedaran

Antara tajuk yang diketengahkan adalah Keperluan Seksual: Antara Hak dan Tanggungjawab; Anak Bermasalah: Di mana salahnya?; Komunikasi: Untuk faham atau untuk hukum?; Masalah pihak ketiga; Berkeluarga Hanya Suka-Suka? dan Masuk Syurga Sekeluarga.

Lokasi termasuk Red Card Cafe, Bangi; KrayZ Kitchen, Bandar Tasik Permaisuri; NZ Coffee,Sungai Choh, Rawang; Little Bourke, TTDI; Cafe 83, Bukit Jelutong; Scottage Cafe, Wangsa Melawati; dan Kedai Kopi Kebun, Plaza Shah Alam.

Sementara itu, Rozieta Shaary atau lebih dikenali Ibu Rose, Family & Love Guru menjadi Pengarah Projek Majlis Ibu, Penasihat Mom’s Coffee Talk dan Ibu Pendamping kepada kru TickTalk TV.

ROZIETA

Penerima anugerah Ikon Memperkasakan Keluarga dan Women Icon Malaysia ini berpengalaman dalam bidang Pembangunan Modal Insan dan pendidikan melebihi 33 tahun. Pelbagai program dalam pembentukan kecemerlangan diri bagi korporat dan program keibubapaan.

Menurut beliau, Moms’ Coffee Talk merupakan program di bawah Majlis Ibu untuk mencetuskan kesedaran kepada wanita mengenai pelbagai isu yang sering dihadapi mereka. Contohnya, penderaan dan masalah seksual. Program tersebut memberi panduan berdasarkan al-Quran dan Hadis.

Baca juga Siapa Yang Wajib Jaga Ibu? Ini Penjelasannya

“Panelis jemputan memberi pengisian bernilai tinggi sebagai solusi. Sebahagian daripada mereka yang pernah mengalami sendiri cabaran tersebut dan berjaya menghadapinya. Ini secara langsung memberi inspirasi dan harapan kepada para ibu.

“Moms’ Coffee Talk merupakan program yang santai tetapi pengisiannya padat. Kita harap perjuangan ini dapat mengembangkan mesej kepada semua ibu dan bakal ibu sebagai pendamping masuk syurga sekeluarga,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari FB TickTalk TV.

***Artikel ditulis oleh Fouziah Amir daripada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas

Untitled design (74)
Berita Semasa, Dalam Negara,

Pertahan Islam daripada kebiadaban Muslim jahil

KEBIADABAN sesetengah manusia yang mengaku Islam terhadap agama suci ini semakin membimbangkan.

Tidak terjangkau dek akal ia akan berlaku, bila seorang demi seorang dengan megah tampil mempermainkan syariat Islam, mencerca ALLAH SWT, mencaci Nabi Muhammad SAW lalu menjadikan perkara keji itu sebagai material lawak dan ‘content’ jahil di media sosial.

Namun, natijah menanti bila segala tindakan hina itu terus disambut oleh pencinta Islam. Tidak sedikit kecaman, kutukan bahkan ugutan balas yang diterima oleh pembenci Islam itu. Ada yang diheret ke balai polis, didakwa di mahkamah dan terbaru, terus dibelasah di rumahnya sendiri gara-gara mulut celuparnya mencaci ALLAH.

TULAR baru-baru ini apabila seorang lelaki yang beragama Islam sendiri, menghina dan mencaci agama. Perkara tersebut amat biadap kerana menjejaskan kesucian Islam.

Menerusi perkongsian daripada Dr. Ahmad Sanusi Azmi, Pensyarah Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia di laman Facebooknya, kebelakangan ini telah terzahir satu fenomena yang tidak sihat di mana anggota Muslim itu sendiri menghina agama sendiri. Ditambah pula cercaan seorang lelaki yang menyifatkan ALLAH dan Rasul dengan sifat-sifat yang tidak layak baginya.

Baca juga Desak tutup Crackhouse Comedy TTDI secara mutlak, bukan sementara

Pada hakikatnya, sifat mempersenda ALLAH SWT dan Rasul ini lahir dari benak kumpulan munafik yang memusuhi Islam pada zaman Rasulullah. Dalam Perang Tabuk, ALLAH mendedahkan sikap mereka yang mempersenda perjuangan Rasulullah.

Di dalam al-Quran, ALLAH berfirman “dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab, Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah: “Patutkah nama ALLAH dan ayat-ayatNYA serta RasulNYA kamu memperolok-olok dan mengejeknya?” (Surah al-Taubah: 65)

Menurut al-Imam al-Baghawi, sekumpulan orang munafik mengejek-ejek perjuangan Rasulullah yang berusaha menyebarkan dakwah hingga ke sempadan wilayah Rom. Mereka mempersenda usaha dakwah Baginda dan menakut-nakut para mujahidin bahawa mereka akan kalah bertempur dengan kerajaan Rom nanti. ALLAH mendedahkan sikap buruk mereka ini sehingga dinukilkan di dalam al-Quran.

ALLAH SWT berfirman dengan tegas di dalam kitabnya “patutkah nama ALLAH dan ayat-ayat-NYA serta Rasul-NYA memperolok-olok dan mengejeknya”.

Hari ini kita melihat bukan sahaja wilayah Rom tersebut menerima Islam bahkan segenap pelusuk muka bumi ini disinari dengan risalah dakwah. ALLAH menghina sikap munafik yang mempersenda Islam dan RasulNya.

Tambahan pula, muncul golongan yang sama bermain-main dengan sentimen agama. ALLAH memerintahkan kita agar menjauhkan diri dari golongan sebegini. Mereka tidak layak untuk diberikan perhatian sebaliknya mereka hanya menjemput azab ALLAH.

Firman ALLAH “dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji). (Surah Al-An’aam ayat 70)

YB Senator Datuk Ustaz Haji Idris Ahmad, Menteri agama di dalam satu kenyataan mengenai isu ini berkata pihak berwajib perlu menjalankan penguatkuasaan dan hukuman yang lebih tegas dalam isu ini. Agama bukan sesuatu yang boleh dibuat sebagai ‘mainan’.

“Siapa yang permainkan, menghina ajaran Islam dan hina Nabi SAW, WAJIB kita mengambil tindakan mengikut undang-undang. Insya-Allah mereka yang biadab dengan Islam, kita tidak boleh biarkan kumpulan ini membiak subur. Alhamdulillah majoriti umat Islam di negara ini begitu sensitif soal akidah.”

ISU ini semakin berleluasa dan tindakan tegas WAJIB diambil serta-merta kepada individu yang bersalah.

Kenyataan ini perlu diselitkan dengan pelaksanaan undang-undang yang lebih tegas sebagai iktibar kepada masyarakat di luar sana. Selagi mana tiada tindakan tegas yang dibuat, selagi itulah akan ada yang berani memperlekeh agama Islam di luar sana.

Baca juga Wajib jaga aib orang, aib sendiri apatah lagi

Adakalanya ketegasan undang-undang perlu dilaksanakan bagi mendidik masyarakat tentang batasan-batasan yang perlu mereka fahami dalam menyuarakan pandangan.

Dalam menangani isu ini, tidak salah untuk luahkan rasa kecewa terhadap penghinaan yang dilakukan ke atas ALLAH dan Rasul-NYA. Jangan pula kita bertindak sesuka-hati. Sebagai Muslim, seseorang seharusnya melakukan laporan polis dan menyerahkan tindakan biadap ini kepada pihak berkuasa.

Sebagai Muslim dan cegahlah fenomena menghina ALLAH dan Nabi Muhammad SAW ini, agar ianya tidak berleluasa kepada generasi milenia seterusnya.

Untitled design (70)
Berita Semasa, Dalam Negara,

Desak tutup Crackhouse Comedy TTDI secara mutlak, bukan sementara

CRACKHOUSE Comedy yang terletak di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) baru-baru ini tular susulan kes menghina Islam di mana seorang wanita yang menanggalkan pakaian dan tudung setelah mengaku mengafaz Al-Quran di atas pentas persembahan komediri (stand-up comedy).

Haji Aminuddin Yahya selaku pengerusi Pembela Islam melalui laman Facebooknya menggesa agar kelab komedi tersebut ditutup secara mutlak dan bukan sementara. Rentetan isu ini, penutupan sementara itu adalah tidak setimpal memandangkan pengasas sendiri sudah banyak melampaui batas seolah-olah sebagai sokongan kepada sesiapa sahaja yang ingin berbuat perkara yang sama di atas platformnya itu.

Ujar beliau ““Ini bukan kali pertama penghinaan berlaku. Sudah banyak video rakaman yang tersebar. Termasuk persembahan-persembahan dari pemiliknya sendiri. Sangat memalukan jika ada tolak ansur lagi dan berharap agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak berkompromi dan tawarkan apa-apa ruang untuk berunding kepada ‘kelab komedi’ tersebut”.

PENGASAS kelab komedi tersebut iaitu Ryzal van Geyzel beberapa video yang menunjukkan beliau jadikan agama dan bangsa sebagai bahan lawak. 

Hasil selidik pelbagai pihak, telah tersebar pula video-video persembahan komediri dan kenyataan-kenyataan media sosial pengasas kelab tersebut, iaitu individu bernama Rizal Van Geyzel yang banyak membuat lawak mengenai Islam, Melayu dan Bumiputera.

Perkara ini termasuk juga tangkap layar hantaran seorang wanita Muslim bertudung dimalukan ketika disuruh membuka minuman keras oleh seorang ‘performer’ di atas pentas.

Baca juga Zahirkan kebenaran Islam dari pelbagai dimensi, solusi ampuh tangani isu hina Rasulullah SAW dan agama

DBKL melalui Timbalan Menteri Wilayah memaklumkan bahawa premis ini beroperasi tanpa lesen yang sepatutnya. Maka, ini sudah jadi penguat juga kepada sebab lesen perniagaan ditarik secara mutlak.

Bagi pihak Afdlin Shauki, dia menjelaskan bahawa tidak ada sedikitpun mahu membela perempuan pelawak sampah tersebut. Dia hanya mahu mempertahankan Crackhouse (Kelab Komidi) tersebut yang baginya adalah tempat untuk orang baru mengasah bakat untuk menjadi stand-up comidian.

HAJI Aminuddin Yahaya, selaku pengerusi pembela Islam menentang sekeras-kerasnya isu ini kerana ia melibatkan sentimen umat Islam.

Namun jelas semua itu adalah sebelum Afdlin mengetahui bukan hanya ada satu video yang menghina agama berlaku dalam kelab tersebut. Setelah mengetahui ada banyak persembahan sebegitu, dia tidak setuju dan meminta pihak berkuasa untuk ambil tidakan kepada pelawak yang menjadikan agama, bangsa dan perkara perkara sensitif sebagai bahan lawak.

Yusuf Azmi, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (PPSM), turut menggesa penutupan ‘crackhouse’ kelab komedi hina islam. Menurutnya “Ingat, bukan semua perkara boleh dijadikan bahan komedi terutamanya membabitkan bangsa dan agama,”

Turut hadir bersama ketika laporan polis besar-besaran dibuat di IPD Brickfields adalah Ayahanda Che Ton, Syamsul Yusof, Shahrol Shiro, dan rakan-rakan NGO lain bagi menyuarakan kekesalan atas insiden penghinaan yang tercetus.

Pengarah filem terkenal Syamsul Yusof, bersetuju langkah tegas termasuk penutupan operasi diambil terhadap Kelab Komedi Crackhouse.

Baca juga Hina Nabi Muhammad cetus kemarahan umat Islam

Ujar Syamsul “saya datang di sini atas dasar bukan mana-mana kepentingan politik ataupun apa-apa sahaja, saya hadir di sini dasar seorang Islam. Apa yang saudara Azmi katakan itu, saya boleh kata amat bersetuju dan saya rasa perkara ini sudah serius dan harus disuarakan dah, isu ni harus teliti sebenarnya berbalik kepada pemimpin balik dan harus memandang serius”.

TUTUP terus kelab komedi yang menghina Islam dan Melayu agar tidak merebak kepada generasi seterusnya.

Aminuddin mengajak seluruh rakyat Malaysia agar menyokong dan menyebarkan petisyen ini supaya Kelab Crackhouse Comedy ini ditutup terus dan sebagai iktibar kepada mana-mana premis hiburan sebegini agar menjaga batas-batas yang berteraskan nilai-nilai dalam Perlembagaan Persekutuan di mana Islam, Melayu dan Bumiputera adalah asas penting.

Menurut Aminuddin di sidang media pada 18 Julai 2022 mengenai isu penutupan kelab Crackhouse Comedy, sehingga kini, lebih 30,000 petisyen telah ditandatangani oleh rakyat Malaysia dan menggesa pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera.

Tanda tangan di sini:

https://bit.ly/TutupCrackhouseComedy

hina islam
Berita Semasa, Dalam Negara,

Hati-hati, berdosa mendedahkan aib sendiri

HATI-HATI, hukumnya berdosa bagi sesiapa yang mendedahkan aib sendiri.

Kebiasaanya apabila melakukan kesalahan, seboleh-bolehnya kita ingin menyembunyikan perkara itu kerana sememangnya fitrah manusia memiliki perasaan malu.

Namun, entah apa yang berlaku pada generasi kini apabila muncul segelintir golongan yang bukan sahaja tidak kisah menzahirkan dosa yang dilakukan, malah begitu berbangga dengan perbuatan tersebut.

Lebih parah, platform media sosial digunakan untuk menayangkan kepada khalayak ramai pekung di dada yang sudah habis terbuka.

Baca juga Tiga benda yang kita tidak boleh tunjuk di media sosial

Baru-baru ini, tular di alam maya isu seorang wanita Islam yang dikatakan menghina agama Islam melalui persembahan komediri (stand-up comedy) di sebuah kelab komedi bertempat di ibu kota.

Dalam sebuah video berdurasi 54 saat, pelawak wanita berkenaan yang pada mulanya tampil lengkap berbaju kurung dan tudung bertindak menanggalkan pakaian di atas pentas selepas mengaku menghafal 15 juzuk al-Quran.

Tindakan wanita tersebut bukan sahaja menerima kecaman daripada warganet, bahkan termasuk komuniti pelawak tempatan yang mengatakan bahawa persembahan terbabit tidak peka dengan sensitiviti umat Islam.

hina islam

KEMUDAHAN internet yang ada kini menyebabkan senang berlakunya fitnah apabila perkara yang tidak sepatutnya dikongsikan bersama orang luar.

Sebagai Muslim, kita sering diingatkan supaya tidak memperlihatkan aib diri dan orang lain kerana dikhuatiri boleh membawa kepada fitnah yang akhirnya mencela diri sendiri.

Ketahuilah ALLAH sudah pun membantu menutupkan aib hamba-hamba-NYA, jadi di mana letaknya akal dan kewarasan bagi mereka yang sebaliknya berbangga menghebohkan pula perbuatan keji tersebut.

Baca juga Wajib jaga aib orang, aib sendiri apatah lagi

Rasulullah SAW bersabda: “Semua umatku akan ditutupi segala kesalahannya kecuali orang-orang yang berbuat maksiat dengan terang-terangan.

Masuk dalam kategori berbuat maksiat terang-terangan adalah apabila seorang berbuat dosa pada malam hari kemudian, ALLAH SWT telah menutupi dosanya, lalu, dia berkata (kepada temannya): Hai Fulan! Tadi malam aku telah berbuat ini dan itu.

ALLAH SWT telah menutupi dosanya ketika di malam hari sehingga dia bermalam dalam keadaan ditutupi dosanya, kemudian, di pagi hari ia sendiri menyingkap tirai penutup ALLAH SWT dari dirinya.” (Riwayat Muslim)

Baca juga Amalkan 5 cara ini untuk hindari fitnah akhir zaman

hina islam

USTAZ WADI ANNUAR

Mengulas tentang isu ini, pendakwah bebas, Ustaz Mohamad Wadi Annuar berkata, antara golongan yang sukar mendapatkan pengampunan dan rahmat ALLAH SWT termasuk mujahir, iaitu mereka yang melakukan maksiat kepada Tuhan lalu dedahkan kepada orang ramai tentang perbuatan dosa tersebut.

“Kamu sudah melakukan dosa besar dan ALLAH telah menutup aib itu, tetapi kamu pula mengumumkan di hadapan ratusan ribu orang serta dikongsi jutaan manusia yang melihatnya.

“Kamu nak cabar siapa? Kamu nak mempermainkan siapa? Apakah kamu hendak beritahu bahawa walaupun bergelumang maksiat dan dosa, tetapi hidup penuh nikmat serta kebahagiaan?” katanya.

hina islam

BERTAUBATLAH kepada ALLAH bagi mereka yang sudah terjebak dengan perbuatan keji membuka keaiban diri dan orang lain.

Bak kata pepatah Melayu, “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya”, wanita terbabit menerima padah gara-gara perbuatannya apabila dia didakwa oleh mahkamah di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Mengikut seksyen berkenaan, seseorang individu boleh didakwa jika cuba menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, kebencian permusuhan, niat jahat, atau menjejaskan keharmonian atau perpaduan, atas alasan agama.

Baca juga Hati-hati dengan ‘content’ persenda agama, akidah boleh runtuh kerananya

Sekiranya disabitkan atas kesalahan tersebut, mereka boleh dikenakan hukuman penjara minimum dua tahun, tetapi tidak melebihi lima tahun.

Oleh itu, berhati-hatilah dan gunakan akal yang waras disertai keimanan sebelum berbicara dan melakukan sesuatu.

Sumber: Astro Awani & Kosmo

Foto: Pexels & I Love Borneo

zamzam
Berita Semasa, Dalam Negara,

Jangan beli air zamzam secara runcit, mungkin tidak tulen

ORANG ramai dinasihatkan supaya tidak membeli air zamzam yang dijual secara runcit di negara ini kerana tidak dapat dipastikan ketulenannya.

Seperti yang dilaporkan Sinar Harian, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan mana-mana individu membawa keluar air zamzam dalam kuantiti yang banyak kecuali melibatkan agensi umrah dan haji.

zamzam

DATUK AHMAD MARZUK SHAARY

“Memang jemaah tidak boleh membawa pulang air zamzam melalui bagasi tetapi ada agensi yang mengendalikannya dan TH akan menguruskan bagi pihak jemaah.

“Jemaah akan mendapatkan air zamzam tersebut sebaik tiba di tanah air. Jadi, tidak timbul isu mengenai perkara ini (tidak dibenar bawa pulang),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 11 mangsa ribut dan kebakaran di Mukim Siti Manis, Kijang semalam.

Baca juga 10 awal Zulhijjah, hari yang lebih baik daripada jihad

Dalam masa sama, beliau mengingatkan orang ramai agar berhati-hati dengan penjualan air zamzam secara runcit di Malaysia.

“Logiknya, orang perseorangan pun tak dibenarkan bawa balik sendiri dan yang berniaga ini tiada kepastian dari segi ketulenan dan sebagainya.

Kerajaan menasihatkan supaya tidak membeli air zamzam yang dijual secara runcit di Malaysia,” ujarnya.

Memetik laporan Bernama, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) pula memaklumkan, tiada pengedar atau syarikat di Malaysia yang telah mendapat lesen bagi pengimportan dan penjualan air zamzam.

zamzam

IKLAN yang dikeluarkan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, KKM melarang penjualan air zamzam di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, “Justeru itu, air zamzam yang diiklan atau dijual di pasaran diragui ketulenannya,” katanya.

Menurut beliau, hasil daripada aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan sejak 2012 sehingga kini, nilai rampasan ke atas air zamzam di pasaran adalah berjumlah RM83,618.20.

Melalui pemantauan BKMM terhadap platform atas talian pula pada 2021 dan 2022, sebanyak 23 dan 40 iklan air zamzam masing-masing telah dipadam daripada media sosial.

Baca juga Saintis Jepun Temui Rahsia dan Akui Keajaiban Air Zamzam

Di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, mana-mana individu yang disabitkan kesalahan air minuman berbungkus dan air mineral semula jadi yang tidak berlesen boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara melebihi dua tahun.

Kata Dr Noor Hisham lagi, “KKM menasihati orang ramai agar tidak membeli air zamzam dari mana-mana kedai atau platform dalam talian terutamanya pada musim haji ini kerana dikhuatiri ia air zamzam tiruan.

Orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang maklumat berkaitan penjualan air zamzam di kedai atau platform dalam talian ke Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat, atau melalui laman sesawang aduan awam KKM di http://moh.spab.gov.my; atau Facebook BKKM di https://www.facebook.com/BKKMHQ.

Sumber: Sinar Harian & Bernama

Foto: Facebook

Arafah #QuranHour
Dalam Negara,

Jom imarahkan program Arafah #QuranHour pada 8 Julai ini

YAYASAN Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengajak seluruh umat Islam untuk menyertai Arafah #QuranHour bertema ‘Haji Membina Umat’ pada 9 Zulhijah 1443H bersamaan 8 Julai 2022.

Program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal kali ini mengangkat Surah as-Sajdah ayat 15 dan Surah al-Hajj ayat 18 dan 77.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, Arafah #QuranHour mengambil momentum perhimpunan terbesar umat Islam menyelusuri Surah as-Sajdah, Surah al-Hajj dan ayat-ayat pilihan daripada al-Quran dalam membina karakter hamba ALLAH yang bersujud dan patuh.

MARHAINI

Baca juga Rumah Ngaji Malaysia sasar bina legasi perjuangan al-Quran di seluruh negara

Arafah #QuranHour pertama kali diadakan adakan pada 2016, diiikuti pada 2017 dan 2018 dengan menggerakkan aktiviti berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal di padang Arafah, 9 Zulhijah. Kemudian ia terhenti berikutan berlaku pandemik Covid-19 pada 2020 dan 2021.

“Bertitik tolak dari sini, lahirnya nilai-nilai pembinaan sebuah tamadun bangsa God centered kesan daripada haji yang mabrur yang diformulasikan daripada al-Quran. Golongan sasaran ialah tetamu haji, alumni haji dan bakal haji dari seluruh dunia.

“Kita hendak menghayati semangat perjumpaan terbesar di dunia dengan harapan untuk membawa semangat haji dalam membina umat yang bertakwa. Mereka yang ada pengalaman dan latihan dalam melaksanakan ibadah haji diharapkan menjadi ejen perubahan masyarakat selepas kembali ke tanah air.

“Mereka boleh menyertai Rumah Ngaji untuk meneruskan pengajian al-Quran atau membuka Rumah Ngaji dengan mendaftar di https://quranhour.org/rumahngaji/.

“Sebenarnya kita mahu membina dan memfokuskan momentum sejam pada Arafah #QuranHour dengan merefleksi ayat dan surah pilihan tersebut untuk menjadi hamba ALLAH yang bersujud dan memecah kesombongan,” katanya.

Arafah #QuranHour

Istimewanya pada tahun ini, kata beliau, pihak WUIF bekerjasama dengan pelbagai wakil agensi haji termasuk Tabung Haji.

“Pengisian berkaitan ibadah haji menjadi topik utama program enam episod Road to Arafah #QuranHour. Ia disiarkan di Facebook QuranHour dan Sinar Islam Plus pada hari Selasa dan Khamis pada 6 petang hinga 6.45 petang, bermula 21 Jun lalu,” ujarnya.

Baca juga Banyakkan Berdoa Pada Hari Arafah Ini, Antara Waktu Terbaik Doa Dimakbulkan

Antara tetamu jemputan bagi pengisian Road To Arafah #QuranHour ialah Datuk Mohd Zawawi Yusoh, Pengarah Urusah Eiman Travel & Tours Sdn Bhd; Sharul Azam, Ketua Pembangunan Sahsiah, Tabung Haji; Zuhdi Zakaria, MKM Ticketing Travel & Tours Sdn Bhd; Ahmad Nazmie Omar, Eksekutif Bimbingan Haji & Umrah, Felda Travel Sdn Bhd; Datuk Md Daud Che Ngah, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tour Sdn Bhd; Habib Syed Naqjamuddin Syed Othman Al-Khered, Wira Saujana Travels & Tours Sdn Bhd.

Orang ramai dijemput menyertai Arafah #QuranHour dengan mendaftar di https://bit.ly/ArafahQH. Mereka boleh mengadakan aktiviti baca dan tadabbur al-Quran selepas Subuh di lokasi masing-masing. Untuk perincian pengisian program sila klik pautan https://bit.ly/Arafah2022.

Sementara itu Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd dengan kerjasama WUIF menganjurkan Arafah #Quranhour 1443H di Studio F, Kumpulan Karangkraf, Shah Alam, pada pukul 10 hingga 11 pagi, 8 Julai ini.

***Artikel ditulis oleh Fouziah Amir daripada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas

 

tempahan ibadah korban meningkat
Berita Semasa, Dalam Negara,

Tempahan ibadah korban meningkat, waspada pakej palsu

TERBAHARU, lima negeri iaitu Johor, Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah membenarkan pelaksanaan ibadah korban bagi sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini dilakukan di masjid dan surau.

Pihak Exco Negeri bagaimanapun mengingatkan bahawa pelaksanaan aktiviti itu tetap tertakluk kepada beberapa peraturan tertentu yang perlu dipatuhi oleh semua pihak.

Kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) berkenaan dilihat memberi kesan kepada permintaan lembu dan kambing bagi ibadah korban.

Seorang penternak lembu dan kambing di Kapar, Klang, Muhammad Fathullah Jamal berkata, jumlah tempahan kedua-dua haiwan tersebut meningkat sebanyak 20 peratus berbanding tahun-tahun sebelum ini, seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian.

“Tahun ini (tempahan lembu dan kambing korban) meningkat sebanyak 20 peratus dan tempahan mula diterima selepasa Hari Raya Aidilfitri tempoh hari.

(Tahun ini) kita dah boleh hantar ke masjid-masjid, kalau tahun sebelum ini kita perlu bungkus sendiri dan tidak boleh berkumpul beramai-ramai (kerana kekangan SOP,” ujarnya.

tempahan ibadah korban meningkat

BAGI masjid dan surau yang ketiadaan ruang atau kelengkapan sesuai untuk pelaksanaan korban, maka ia hanya dibenarkan aktiviti melapah, membungkus dan edaran daging sahaja.

Lain pula pendapat Pengasas Bersama Dr. Daging, Rabiatul Adawiyyah Mohmad yang mengatakan kenaikan harga lembu memberi kesan kepada jumlah tempahan yang diterima pada tahun ini.

“Jumlah lembu dan kambing yang ada turut berkurang ketika Hari Raya Aidilfitri yang disambut secara mengejut, jadi permintaan daging yang tinggi ketika itu mengganggu bekalan lembu untuk Aidiladha.

Walaupun permintaan tahun ini agak rendah, tapi saya harap akan ada peningkatan pada tahun depan,” katanya.

Baca juga Antara korban satu bahagian lembu dengan seekor kambing, mana lebih afdal?

Berikutan itu, orang ramai disaran berwaspada dengan pakej ibadah korban palsu yang diiklankan dengan harga terlalu murah.

Harian Metro melaporkan, Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Nur Asyikin Aminuddin berkata orang ramai perlu menyemak sama ada syarikat yang menawarkan pakej berkenaan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Selain itu, maklumat bank atau nombor telefon pihak pengeluar pakej juga boleh disemak melalui laman web semakmule.rmp.gov.my untuk transaksi secara dalam talian.

“Jika keluar tanda amaran, maka orang awam perlu menjauhkan diri daripada pihak itu dan laporkan kepada pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) supaya iklannya dapat disekat untuk mengelakkan orang ramai terpedaya dengan iklan tersebut,” katanya.

Tempahan Ibadah korban meningkat

HARGA lembu yang meningkat pada tahun ini tidak menghalang umat Islam menunaikan ibadah korban sempena Hari Aidiladha.

Dalam masa sama, Duta Yayasan Maghfirah dan komposer Mohammad Hafiz Hamidun memberi cadangan kepada orang ramai memilih pakej korban dari pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang sah.

“Sebaiknya jika kita nak elakkan tertipu, pilihlah pakej korban dari pihak NGO yang berwibawa serta mempunyai maklumat lengkap pada poster yang dipaparkan seperti harga pakej, nama NGO, nombor akaun (bank) yang tepat dan lebih baik jika ada nombor telefon untuk dihubungi,” ujarnya.

Baca juga Boleh Wakilkan Orang Lain Untuk Sembelih Haiwan Korban Sendiri, Tetapi Ini Yang Perlu Kita Tahu

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan pula berkata pengguna perlu melihat sama ada harga yang ditawarkan untuk pakej korban itu relevan dan tidak tertipu dengan alasan pihak pengeluar.

“Penipuan (seperti) ini bukan sahaja berlaku pada ibadah korban, orang pergi haji pun ada penipuan, umrah pun ada penipuan, jadi kita kena lebih bijak, kalau tidak kita akan jadi mangsa kepada kebodohan dan kejahilan kita sendiri,” katanya.

Foto: Pexels