Browsing Category

Dalam Negara

A
Agama, Berita Semasa, Dalam Negara,

Warga ILMI diseru mantapkan diri dengan ilmu dan profesionalisme

WARGA Institut Latihan dan Kefahaman Islam Angkatan Tentera Malaysia (ILMI ATM) perlu bersiap siaga sepanjang masa khususnya dalam memantapkan diri dengan  ilmu  dan profesionalisme sepanjang menjalankan perkhidmatan.

Perkara tersebut ditekankan oleh Komandan ILMI ATM, Lt Kol Ismail Wahab pada ucaptama beliau yang disampaikan pada majlis sambutan Hari Ulang Tahun penubuhan ILMI ATM Ke-20.

“Kebajikan kakitangan, warga ILMI dan penuntut juga perlu sentiasa dipelihara agar kerjaya anggota, pengurusan keluarga dan segala hal berkaitan kebajikan diambil perhatian oleh semua warga di ILMI dengan sikap yang terbuka dan berlapang dada,

“Demikian juga keselamatan prasarana dan peralatan di ILMI adalah tanggungjawab bersama dalam menjaga dan jangan sesekali terleka kerana ILMI adalah hak kita, selagi kita berada di ILMI ATM,” kata beliau lagi.

LT Kol Ismail Wahab menyampaikan ucaptama sempena Hari Ulang tahun ILMI ke 20 oleh Komandan ILMI ATM yg ke 7

 

Upacara Perbarisan Hari Ulang Tahun ILMI ATM Ke-20 dizahirkan di Padang Kawat ILMI ATM dengan penglibatan semua kakitangan dan penuntut di ILMI ATM yang diketuai oleh Pemangku Timbalan Komandan ILMI ATM, Mej Zainal Azira Ahmad Zabidi.

Perbarisan diserikan dengan acara penyampaian Sijil Anugerah Khas Komandan kepada  PW II Mohd Fakhrul Afizi Mohd Bakri daripada Cawangan Akademik, Kpl Mohd Fikri Adzeman dari Cawangan Peperiksaan & Validasi, Kpl Samsurih Sailin dari Sel Urus Tadbir dan Kpl Mohd Anas Syamil Isa dari Sel Logistik.

Cawangan Akademik ILMI dipertanggungjawabkan bagi memastikan setiap kursus yang dirancang dan dilaksanakan mencapai objektif yang digariskan kepada setiap penuntut Kursus Kerjaya KAGAT dalam melaksanakan tugas-tugas mereka di Pasukan / Formasi ketiga-tiga perkhidmatan ATM dengan jayanya.

Penuntut-penuntut Kursus Tiga Khidmat didedahkan panduan ilmu-ilmu agama yang betul serta berupaya beramal dengannya ke arah melahirkan warga ATM yang beriman, berilmu dan beramal sekaligus menyokong kekuatan tempur Spiritual Combat Power.

Dalam memastikan kursus-kursus di ILMI berjaya dilaksanakan, Cawangan Tadbir dan Logistik berfungsi sebagai tulang belakang ILMI ATM bagi menguruskan keperluan Sajian dan Penginapan serta Fasiliti di ILMI diselia, dirawat dan diselenggara pada sebilang masa dengan sempurna agar cogan kata I Love ILMI tercapai dan melekat di hati semua warga ILMI ATM.

Cawangan peperiksaan dan validasi ILMI juga memainkan peranan besar dalam memastikan setiap kursus dilaksanakan di ILMI berkesan dan dibuat analisa bagi meningkatkan kursus yang sedia ada berjaya serta meninggalkan kesan positif kepada semua warga ATM.

Upacara Perbarisan Hari Ulang Tahun ILMI ATM Ke-20 diteruskan dengan teriakan Berjuang Berilmu, bacaan doa dan perbarisan.

PERBARISAN bersempena Hari Ulang Tahun, Institut Latihan dan Kefahaman Islam Angkatan Tentera Malaysia (ILMI ATM) Ke-20

 

PARA pegawai meraikan Hari Ulang Tahun Institut Latihan dan Kefahaman Islam Angkatan Tentera Malaysia (ILMI ATM)

 

FORMASI Hari Ulang Tahun, Institut Latihan dan Kefahaman Islam Angkatan Tentera Malaysia (ILMI ATM) dalam huruf jawi

 

PERAJURIT negara sedang mengaminkan bacaan doa

 

PENUNTUT Kursus Penasihat Hal Ehwal Islam Siri 3/2023 merakam kenangan pada sambutan Hari Ulang Tahun, Institut Latihan dan Kefahaman Islam Angkatan Tentera Malaysia (ILMI ATM) Ke-20

 

PW ll Mohd Fakhrul Afizi Mohd Bakri daripada cawangan Akademik menerima Sijil Anugerah Khas Komandan

 

ARTIKEL ini disediakan oleh Kapten Mohd Firdaus bin Mohamad Yusof (Pegawai ICT ILMI ATM), dan disunting untuk siaran oleh Editorial Sinar Islam Plus.

mentega terbang
Berita Semasa, Dalam Negara,

“Tak salah kaji agama lain, tetapi…”, ini ulasan bekas Mufti Wilayah Persekutuan terhadap filem ‘Mentega Terbang’

TERBAHARU, filem Mentega Terbang arahan Khairi Anwar yang pernah disiarkan oleh platform penstriman, Viu hangat dibualkan umat Islam di negara ini kerana didakwa mempromosikan agenda liberalisme, pluralisme agama serta menggalakkan murtad.

Filem itu mengisahkan konflik keagamaan yang dihadapi seorang remaja Muslim, Aisyah yang mula mengkaji pelbagai kitab agama lain setelah tertarik dengan konsep kelahiran semula selepas mati.

Rata-rata masyarakat tidak berpuas hati dengan beberapa babak dalam filem yang seolah-olah mempersendakan agama, antaranya apabila bapa Aisyah berfikiran terbuka membenarkan anaknya menukar agama.

Tambahan pula, Aisyah digambarkan sebagai seorang Muslim yang menunaikan solat lima waktu, namun tidak kisah memakan babi dan sanggup minum air suci (holy water) penganut Kristian.

Baca juga Kebiadapan atas nama kreatif, filem ‘Mentega Terbang’ papar mesej buruk tentang Islam, dimana sensitiviti pembuat filem?

mentega terbang

Baca juga Ajaran Sesat Berselindung Di Sebalik Nama Agama

Islam benarkan perbandingan agama
Sebenarnya minat dan kesungguhan Aisyah terhadap agama lain secara asasnya tidak menjadi masalah.

Pendapat dikeluarkan bekas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam sebuah ulasan berkenaan filem terbabit setelah menontonnya bersama penyelidik lain pada Jumaat lalu.

Menurut agamawan itu seperti disiarkan di laman blognya, ini kerana Islam mengiktiraf ilmu perbandingan agama, malah ia bukan sesuatu perkara baru dan pernah disebut dalam al-Quran dan kajian oleh ilmuwan Islam.

Walau bagaimanapun persoalan yang timbul adalah rujukan Aisyah dalam hal agama Islam menerusi watak ‘bapanya’ yang memiliki keperibadian yang agak berbeza daripada Muslim lain, iaitu bertatu, berseluar pendek serta terbuka untuk anaknya murtad.

Turut mempersenda agama lain
Sementara itu, Zulkifli berkata, beliau turut menemui banyak unsur memperlecehkan agama Islam dan agama lain dalam filem berkenaan.

“Saya yakin, tidak ada penganut Kristian yang baik dan cakna dengan sensitiviti, sanggup membawa masuk anjing ke dalam kawasan rumah seorang Muslim yang baik.

“Saya juga yakin, seorang Hindu yang baik juga tidak akan memakan daging lembu sebagaimana perlakuan Suresh.

“Sebagaimana saya juga yakin, seorang Muslim yang baik dan menghormati mazhab setempat tidak akan menyentuh anjing tanpa sebab. Anjing adalah termasuk sebagai najis mughallazah iaitu najis berat pada seluruh tubuhnya, ” jelas beliau.

Turut disyorkan Walaupun sudah difatwakan haram, umat Islam masih dikesan sertai perarakan Thaipusam di Pulau Pinang

mentega terbang

DALAM filem itu, bapa kepada watak utama yang berfikiran liberal dan membenarkan anaknya menukar agama mengundang kritikan para netizen. Foto: Google

Memaparkan contoh buruk keluarga Muslim
Menurut Zulkifli, ‘Mentega Terbang’ adalah satu karya yang menzahirkan kegagalan sistem rumahtangga Muslim yang baik dari sudut tarbiyyah anak, pengajaran tanpa ilmu yang lebih menonjolkan logik dan akal.

Filem berkenaan bukan sahaja memberi gambaran buruk terhadap Islam dengan meletakkan beban kesalahan kepada watak Muslim berbanding agama-agama lain,

Malah, bagi agama lain juga kerana menampilkan watak penganut Kristian yang kelihatan baik tetapi tidak menghormati ajaran Islam dan seorang Hindu yang terang-terang melanggar ajaran agamanya.

Baca juga Berkarya biarlah mengikut hukum-hakam Islam

mentega terbang

INGATAN buat para seniman di luar sana, hendak berkarya biarlah mengikut acuan Islam. Foto: Pexels

Perlu ambil tindakan
Justeru, pendakwah tersebut menyarankan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia perkukuhkan kerjasama dalam aspek yang lebih luas.

Tidak mustahil katanya, meletakkan pra-syarat untuk mengambil kira pandangan JAKIM dalam penghasilan filem atau drama dan satu akta boleh diwujudkan untuk tujuan itu.

Di samping itu, Penerbitan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-bahan Penyiaran Berunsur Islam oleh JAKIM boleh diangkat sebagai rujukan yang mempunyai impak perundangan.

Selain memperluaskan peranan bahagian penapisan filem dan drama ke filem dan drama yang dimuatnaik ke penstriman video dalam talian, nasihat Zulkifli.

Sumber: Maktabah al-Bakri

Foto: Google

My #QuranTime 2.0
Berita Semasa, Dalam Negara,

Jom saksikan My #QuranTime 2.0 di TV9 mulai 5 Februari ini

TV9 di bawah Media Prima Berhad menjadi stesen televisyen pertama yang menayangkan program My #QuranTime 2.0 (MQT) setiap hari bermula 12 hingga 1 tengah hari mulai Ahad, 5 Februari ini yang diterbitkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) dan bersiaran dari Studio My#QuranTime di Shah Alam.

Program sebanyak 2,114 episod ini membawa misi meningkatkan penghayatan solat, memahami dan menghafal al-Quran serta membina tabiat infak. Ia program musim kedua setelah kejayaan MQT 1.0 yang bersiaran sebanyak 838 episod melalui saluran YouTube My#QuranTime Official dan TV Alhijrah.

Istimewa kali ini, dengan matlamat utama untuk menghayati al-Quran melalui hafalan dan pemahaman al-Quran melalui tadabbur serta bacaan yang mantap melalui tajwid serta tahsin, kajian yang dilakukan oleh WUI untuk MQT kali ini dilakukan secara lebih mendalam untuk setiap satu pertiga dari 604 halaman al-Quran modul Quran Al-Hafiz yang telah mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Seramai lapan orang pengkaji tetap yayasan WUI bersama para asatizah dan pakar al-Quran di Malaysia dan Indonesia, terlibat menasihati dan merujuk kepada 21 kitab utama dalam menghasilkan setiap episod MQT.

Baca juga My #QuranTime 2.0 bakal menemui penonton mulai Rabu depan, ada 2,111 episod kesemuanya

Program MQT ini ditawarkan kepada TV9 dan semua stesen TV di dalam dan luar negara secara percuma hasil sumbangan orang ramai kepada Tabung Gerakan Al-Quran sejak tahun 2020 dalam misi wakaf konten iaitu kajian serta menerbitkan pelbagai program pendidikan berlandaskan al-Quran untuk perubahan kerangka fikir dan karakter ummah yang tersimpan secara online untuk dimasuki secara mudah oleh ummah di seluruh dunia.

My #QuranTime 2.0

MQT 2.0 telah ditayangkan secara atas talian di saluran Facebook dan YouTube My #QuranTime Official dari episod 1 hingga terkini, sejak 14 Disember 2022, setiap hari jam 12 hingga 1 tengah hari dan telah mengumpulkan sebanyak lebih 700,000 pelayar melalui tayangan 48 episod setakat ini.

Tayangan secara live mulai Ahad, 12 hingga 1 tengah hari, 5 Februari ini akan bermula dengan episod 5 seiring dengan tayangan di platform digital My#QuranTime Official.

Bagi episod ulangan iaitu episod 1 hingga akhir (2,114) di TV9 akan bermula pada 6 Februari sebanyak dua episod setiap hari mulai 4.30 pagi hingga 6.30 pagi.

Beberapa saluran TV lain juga akan bersama menyebarluaskan program ini. TV Alhijrah dan Astro Oasis sedang menyelesaikan sedikit isu teknikal sebelum mengumumkan tarikh tayangan mereka.

Untuk menonton episod terdahulu, sila ke pautan berikut: YouTube: https://bit.ly/ mqt2youtube. 

Facebook: https://bit.ly/ mqt2facebook. 

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

MOHD Na’im Mokhtar (tengah) bergambar bersama para hadirin selepas Majlis Perhimpunan Agensi di bawah Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) di Kompleks Islam Putrajaya.
Berita Semasa, Dalam Negara,

Pelan Transformasi Al-Falah menuju Malaysia Madani

JABATAN Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memperkenalkan Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani (Al-Falah) dalam usaha menjayakan visi gagasan ‘Membangun Malaysia Madani’.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata proses merangka pelan gerak kerja itu dilakukan melalui libat urus dan kesepakatan ketua agensi hal ehwal Islam serta wakil semua agensi berkaitan.

Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar

Katanya, pelan Al-Falah bagi tempoh lima tahun dari 2023 hingga 2027 itu mengandungi lima teras dan 10 fokus gerak kerja.

Beliau berkata, lima teras meliputi Pentadbiran Islam Mampan, Kesejahteraan Insan, Kemuliaan Syariah, Kepimpinan Berdaya Cipta dan Kehormatan Institusi Islam itu merupakan inisiatif utama yang sesuai serta praktikal untuk bersama-sama merealisasikan gagasan berkenaan.

“Pelan ini diharap dapat direalisasikan mengikut perancangan, dan penilaian pertama akan dilakukan dalam tempoh enam bulan selepas pelaksanaannya. Ia diharap akan memberi impak terhadap umat Islam,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perhimpunan Agensi-Agensi bawah Jabatan Hal Ehwal Agama, di Auditorium Kompleks Islam, Putrajaya pada Selasa.

Mohd. Na’im berkata, konsep Madani yang diperkenalkan kepimpinan negara bukan istilah asing malah bersumberkan falsafah kenegaraan menurut ajaran Islam.

 

Bina semula kegemilangan tamadun ummah

Menerusi pelan transformasi itu, beliau mengajak seluruh warga kerja agensi hal ehwal Islam itu berganding bahu bersama bagi membina semula kegemilangan tamadun ummah.

Baca juga: Menanti gagasan Islam kerajaan baharu Malaysia

Beliau merujuk teras pertama Al-Falah yang akan memfokus dua gerak kerja besar iaitu pengislahan dasar tadbir urus institusi serta pemantapan penyelidikan dan persuratan.

Begitu juga empat teras lain iaitu memperkasakan kesejahteraan insan, mengangkat kemuliaan syariah, kepimpinan berdaya cipta dan memelihara kehormatan institusi.

Media sosial

Pembinaan nilai insan

Mohd. Na’im malah optimis, Al-Falah dapat memastikan segala kemudahan hal ehwal Islam dalam keadaan terbaik sebagai pusat ibadah, tarbiah dan dakwah untuk masyarakat.

“Al-Falah bukan agenda peribadi saya atau sesiapa tetapi ia demi maslahah agama dan negara yang memerlukan dukungan serta iltizam dari seluruh petugas agensi,” tegasnya.

 

Pelan itu dirangka berasaskan falsafah dan semangat laungan azan ‘Hayya ‘Alal Falah’ bermaksud ‘mari bersama menuju kejayaan’ yang sentiasa lestari dalam jiwa serta minda umat Islam

 

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Pada 19 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan kerangka dasar baharu untuk negara dikenali sebagai ‘Membangun Malaysia Madani’ yang dirumus bagi mencipta lonjakan baharu kepada negara.

Baca juga: Khidmat Pusat Maklumat Penyelidikan Jakim untuk kepentingan ummah

‘Membangun Malaysia Madani’ menggantikan konsep ‘Keluarga Malaysia’ ketika pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sebelum ini, dengan terdiri daripada enam tonggak dasar, iaitu M (keMampanan), A (kesejAhteraan), D (Daya cipta), A (hormAt), N (keyakiNan) dan I (Ihsan).

Berteras semangat hayya alal Falah

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, pelan itu dirangka berasaskan falsafah dan semangat laungan azan ‘Hayya ‘Alal Falah’ bermaksud ‘mari bersama menuju kejayaan’ yang sentiasa lestari dalam jiwa serta minda umat Islam, khususnya pentadbiran jentera pengurusan Hal Ehwal Agama.

 

Gagasan Islam

PELAKSANAAN syiar Islam jelas tertegak di Malaysia apabila pembangunan material seiring penyuburan elemen kerohanian. -FOTO: 123RF

Beliau sekali gus mengajak seluruh warga Hal Ehwal Agama untuk berganding bahu membina semula kegemilangan tamadun ummah menerusi landasan konsep ‘Malaysia Madani’ yang diperkenalkan Anwar.

“Bagi mencapai matlamat itu, kita menggariskan tiga teras strategik, iaitu menjayakan gagasan Malaysia Madani, membentuk kesatuan fikrah dan gerak kerja seluruh kepimpinan agensi serta warga kerja Hal Ehwal Agama, dan memandu pembabitan serta sokongan umat Islam,” katanya.

Lima teras dan 10 Fokus Pelan Transformasi Al-Falah

memberus gigi bersiwak
Dalam Negara,

Samakah memberus gigi dan bersiwak?

SAMAKAH memberus gigi dan bersiwak?

Islam amat mementingkan kebersihan dan kesucian diri. Kesucian itu pula bukan sahaja disyaratkan ketika beribadah, malah perlu dipelihara setiap masa dalam kehidupan.

Dari sudut kesihatan jasmani, satu ajaran Rasulullah SAW berkaitan penjagaan diri yang mahsyur adalah amalan bersiwak. Bahkan, Nabi bersabda,

Kalaulah tidak menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak pada setiap sembahyang.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Baca juga ‘Contohi Rasulullah yang sentiasa amalkan kebersihan dalam setiap aspek kehidupan baginda’

Dalil berkenaan jelas menyebut tentang siwak atau bersugi. Pun begitu, kebanyakan orang zaman kini lebih biasa memberus gigi untuk menjaga kebersihan diri. Apalagi kayu sugi pula bukan didapati di semua tempat.

Persoalannya, adakah bersiwak sama dengan perbuatan menggosok gigi? Bolehkah kita mendapat pahala sunnah bersiwak walaupun bersugi tanpa kayu siwak?

Baca juga Makruh gosok gigi selepas waktu fajar ketika puasa? 

bersiwak

KAYU sugi berasal daripada pohon ‘Salvadora Persica’ yang juga dikenali sebagai pohon Arak (أراك) dalam bahasa Arab. Foto: 123RF

Apa itu siwak atau bersugi?

Ulama menyebut bahawa siwak adalah perbuatan menggosok dengan menggunakan alatan seperti kayu atau seumpamanya untuk menghilangkan perubahan (bau atau warna) disusuli niat kerana Allah SWT. (Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, 1/270)

Selain itu, hukum bersiwak adalah sunat setiap kali sebelum solat fardu berlandaskan hadis Rasulullah SAW yang disebutkan di atas.

Manfaatnya adalah untuk memastikan gigi dan mulut dalam keadaan bersih setiap kali menghadap Allah SWT.

Turut disyorkan Hilangkan kekotoran dulu sebelum istinjak, ini cara yang betul

ADAKAH memberus gigi dikira memenuhi tuntutan bersiwak dalam agama? Foto: Unsplash

Jika diamati, bersiwak adalah serupa dengan perbuatan menggosok gigi, iaitu membersihkan mulut daripada kotoran.

Perbezaannya hanya pada alat yang digunakan, iaitu siwak khusus menggunakan kayu siwak, manakala menggosok gigi tidaklah menggunakan kayu tersebut.

Namun, pandangan yang dikeluarkan pihak Mufti Wilayah Persekutuan adalah memberus gigi juga dianggap tuntutan sunnah kerana menepati maksud bersiwak.

Pendapat ini berdasarkan mazhab Syafie yang melihat perlakuan bersiwak sama seperti menggosok gigi kerana kedua-duanya mempunyai fungsi yang sama.

Baca juga Air Kencing Yang Menyumbang Azab Kubur, Berikut Penjelasannya

TUJUAN bersugi adalah supaya mulut kelihatan bersih dan berbau segar. Foto: Unsplash

Baca juga Bukan saja kena bersih daripada kekotoran, tetapi hati juga kena bersih. Itu cerminan orang bertakwa

Tatacara bersugi

Antara kaedah bersugi yang afdal adalah menggunakan tangan kanan ketika melakukannya.

Apabila menggosok, mulakan dari bahagian kanan gigi sebelum ke kiri dengan cara melintang. Manakala, berus gigi geraham hingga ke gigi kacip menggunakan gerakan atas dan bawah.

Seterusnya, berus pula bahagian sebelah dalam gigi pada bahagian atas serta bawah bermula dari kanan dan diikuti sebelah kiri. Setelah itu, lidah dgosok dari pangkal lidah ke hujung sama ada cara melintang atau membujur. (Rujuk al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 1/30)

Baca juga 12 amalan ringkas Rasulullah SAW. Rupanya senang nak dapat pahala

AMALAN bersugi dipercayai telah dipraktikkan sejak 7,000 tahun dahulu. Foto: Google

Selain itu, sebahagian ulama juga menyarankan membaca doa berikut ketika mula menggosok, iaitu:

اللَّهُمَّ بَيِّضْ بِهِ أَسْنَانِي وَشُدَّ بِهِ لَثَاتِي وَثَبِّتْ بِهِ لَهَاتِي وَبَارِكْ لِي فِيهِ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ

Ertinya: Ya ALLAH putihkanlah gigiku dengan sebab bersiwak ini, mantapkanlah gusiku, kukuhkan dengan sebab anak tekakku dan berkatilah aku padanya. Wahai TUHAN YANG MAHA PENYAYANG. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab, 1/283)

Bagi kayu sugi pula, penggunaan akar pokok arak ( أراك ) sangat digalakkan kerana ia digunakan oleh Rasulullah SAW dahulu.

Kesimpulan, daripada pandangan mazhab Syafie, fungsi menggosok gigi dan bersiwak adalah sama.

Oleh itu, jika anda menggosok gigi dengan menggunakan alatan yang kesat seperti kayu dan berus gigi dan disertai dengan niat, maka anda telah dikira mengikut tuntutan yang sama dengan bersiwak.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: 123RF, Google & Unsplash

Nahu ringkas
Berita Semasa, Dalam Negara,

Kaedah Nahu Ringkas hilangkan kegusaran belajar bahasa Arab dan al-Quran

YAYASAN Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan kerjasama Akademi Al-Quran Al-Bayan menganjurkan Bengkel Kaedah Nahu Ringkas (Bahasa Arab al-Quran) di Kumpulan Karangkraf pada awal Disember lalu.

Seramai 35 peserta daripada ahli Rumah Ngaji di seluruh negara dan warga kerja WUIF menyertai bengkel untuk mempelajari cara mudah belajar serta menterjemah bahasa Arab al-Quran agar mesej umumnya dapat diterima secara langsung.

Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, program empat hari (20 jam) itu memberi pendedahan untuk memahami al-Quran melalui Kaedah Nahu Ringkas yang dibangunkan oleh Akademi Al-Quran Al-Bayan.

Ia selari dengan kempen #QuranHour melalui baca, faham dan amal di bawah WUIF dalam membawa misi MengQurankan Bangsa, Mengikhlaskan Ummah.

Baca juga My #QuranTime 2.0 bakal menemui penonton mulai Rabu depan, ada 2,111 episod kesemuanya

“Surah al-Insan sebagai surah pilihan sepanjang kempen #QuranHour pada 2023, termasuk World #QuranHour, Arafah #QuranHour, Malaysia #QuranHour dan World #QuranConvention menjadi bahan latihan bengkel tersebut.

“Dengan memahami isi kandungan surah tersebut, ia mengajak orang ramai untuk memanusiakan diri, keluarga, masyarakat dan negara.

“Bengkel Kaedah Nahu Ringkas yang pertama kali diadakan di bawah WUIF memberi pendekatan untuk mengenali bahasa Arab al-Quran yang lazim dibaca untuk difahami,” katanya.

Mengupaya masyarakat

Sementara itu Mudirah, Nahuringkas. com, Norhaida Kasim berkata, Akademi Al-Quran Al-Bayan membangunkan modul Kaedah Nahu Ringkas untuk belajar bahasa Arab dengan tujuan mengupaya masyarakat Islam dengan kemahiran asas nahu bahasa Arab.

NORHAIDA

Kemahiran yang diperoleh dari bengkel tersebut, ujarnya, dapat menghilangkan kegusaran dan ketakutan belajar bahasa Arab.

Menurut Norhaida lagi, ALLAH pilih bahasa Arab untuk belajar dan memahami ayat al-Quran.

Justeru, ia memerlukan akal untuk menggali isi kandungan al-Quran.

Baca juga Jangan malu merangkak-rangkak baca al-Quran, insya-ALLAH dapat dua ganjaran pahala

“Untuk memahami kalam ALLAH, kita perlu tetapkan niat untuk belajar. Ia merupakan satu kewajiban agar ada kefahaman untuk mentadabbur al-Quran”, jelasnya.

ALLAH SWT berfirman: “Kitab (al- Quran) yang Kami turunkan kepadamu penuh dengan keberkatan agar mereka menghayati ayat-ayatnya dan agar orang-orang yang berakal sihat mendapat pengajaran.” (Surah Sad, ayat 29)

ALLAH SWT berfirman: “Dan sungguh, telah Kami mudahkan al-Quran untuk peringatan, maka adakah orang yang mahu mengambil pengajaran.” (Surah Al-Qamar, ayat 17)

Beliau memetik kata-kata Saidina Umar al-Khatab: “Pelajarilah bahasa Arab, sesungguhnya ia adalah sebahagian daripada agama kamu.”

Ia menunjukkan belum sempurna orang Islam tanpa mempelajari dan memahami bahasa Arab al-Quran.

“Akademi yang ditubuhkan bersama rakan kongsi, Shaziman Mohamad dan Zolkapli Ibrahim ini turut berusaha membangunkan mushaf per-kata yang disertakan dengan panduan i’rab serta saraf bahasa Arab.

“Disebabkan usaha tersebut, kami terdorong menghasilkan modul Nahu Ringkas ini.

Nahu ringkas

FASILITATOR membimbing peserta membuat latihan nahu ringkas.

“Hasil usaha bersama Munsyi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Zauwiyah Abd Shukur, kami membuat terjemahan mengikut kaedah nahu yang ringkas, padat dan berstruktur. Dengan izin ALLAH, kaedah tersebut berkesan untuk semua peringkat umur,” katanya.

***Artikel ditulis oleh Fouziah Amir daripada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas

Nilai kemanusiaan
Dalam Negara,

‘Retreat’ Pertubuhan Rumah Ngaji Pahang rapatkan penggerak legasi al-Quran

PERTUBUHAN Rumah Ngaji Pahang (PRNP) dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) buat julung kalinya menganjurkan program Retreat PRNP di Kem Akademi Azam, Kuantan, Pahang selama dua hari bermula 15 Oktober lalu.

Setiausaha merangkap Penyelaras PRNP, Ustaz Mohd Rozamli Mohd Razak berkata, seramai 42 peserta yang terdiri daripada penggerak, pengajar dan ahli dari 31 Rumah Ngaji di seluruh Pahang berhimpun untuk membugarkan hala tuju PRNP agar selaras dengan visi dan misi WUIF.

“Peserta diberi pendedahan mengenai maklumat terkini program dan aktiviti semasa Rumah Ngaji. Mereka juga berkongsi maklumat mengenai semua aktiviti yang dijalankan daripada setiap Rumah Ngaji di kawasan masing-masing.

Retreat ini juga menjadi platform kepada penggerak, asatizah dan ahli untuk mengeratkan silaturrahim serta bertukar pengalaman dalam menggerakkan aktiviti berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal.

Baca juga Rumah Ngaji Malaysia sasar bina legasi perjuangan al-Quran di seluruh negara

“Melalui kaedah tadabbur dan tazakkur, ia mampu membumikan al-Quran dalam kehidupan kita. Seterusnya, kita ingin mencapai visi MengQurankan Bangsa Mengikhlaskan Ummah menjelang 1500H,” katanya.

Terdapat pelbagai kempen yang digerakkan oleh WUIF dengan kerjasama Rumah Ngaji seperti World #QuranHour, Malaysia #QuranHour, Arafah #QuranHour, World #QuranConvention, Majlis Ayah, Majlis Ibu, MyHadithTime, Rahsia Insan Cemerlang Hidup (RICH), Soul Fitness dan Masuk Syurga Sekeluarga.

Retreat

PESERTA Retreat PRNP terdiri daripada penggerak, asatizah dan ahli Rumah Ngaji berhimpun untuk legasi al-Quran.

Tambah beliau, Retreat PRNP secara langsung dapat menyemarakkan semangat mereka dalam merealisasikan misi dan visi Rumah Ngaji Malaysia.

Turut bersama dalam pengisian program ialah Ketua Penyelidik dan Pembangunan WUIF, Ustaz Safri Muhammad Zein, manakala Majlis Perasmian Penutup Retreat PRNP disempurnakan oleh Ketua Pegawai WUIF, Marhaini Yusoff.

Antara pengisian program Retreat PRNP ialah Taklimat Rumah Ngaji Pahang, Berinteraksi dengan Alam di Pantai Cempaka, RICH dan teknik tadabbur al-Quran, Legasi My #QuranHour dan penyerahan Panji Rumah Ngaji.

Mohd Rozamli berkata, penggerak, pengajar dan peserta diharapkan terus istiqamah bersama Rumah Ngaji untuk membina legasi al-Quran ke seluruh ummah sehingga berupaya menjadi ejen perubahan dan pencorak gaya hidup berdasarkan al-Quran.

“Tidak dinafikan terdapat kekangan bilangan tenaga pengajar dan peserta dalam menggerakkan aktiviti Rumah Ngaji. Namun, dengan kesungguhan mereka untuk bersama bagi mencapai tujuan meletakkan nilai al-Quran menjadi realiti dalam kehidupan.

Baca juga Sepayah mana pun kehidupan, seberat apapun masalah, jadikan kalamullah sebagai teman paling setia

“Kita akan perbanyakkan pendedahan, kursus dan program Rumah Ngaji agar jelas penguasaan serta penglibatan lebih umum dan mesra pelanggan.

“Rata-rata peserta memberi maklum balas positif terhadap program yang disertai dan meluahkan keuntungan berada dalam gerakan Rumah Ngaji. Ini membuatkan mereka rasa sangat terisi apabila cahaya al-Quran dihidupkan dalam hati,” katanya.

PRNP bersinergi dengan Masjid Taman Temerloh Jaya, Universiti Malaysia Pahang, Jabatan Agama Islam Pahang dan Kem Akademik Azam bagi menjaya program Retreat ini.

“PRNP merancang menganjurkan Pahang #QuranHour dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk badan kerajaan dan korporat pada masa akan datang,” ujarnya.

WUIF menjalankan projek #Aktifkan Rumah Ngaji di seluruh negara untuk menjalankan program ilmu secara percuma termasuk berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal sejak 2014.

Untuk info lanjut mengenai Rumah Ngaji, layari https://quranhour.org/rumahngaji/.

***Artikel ditulis oleh Fouziah Amir daripada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas

WhatsApp Image 2022-09-06 at 17.10.15
Dalam Negara,

Khianat sang pengamal rasuah

OLEH : DR HAJI HIDRIS SAHRI

DARIPADA Abdullah bin Amru, katanya, ” Telah bersabda Rasulullah SAW : Laknat ALLAH atas pemberi rasuah dan penerima rasuah.”

Peringatan di atas sangat jelas menyatakan bahawa rasuah didefinisikan sebagai ‘sesuatu yang diberi kepada seseorang untuk menidakkan yang hak atau membenarkan yang batil.’

Dr Yusuf al-Qardhawi dalam al Halal wal Haram fil Islam menyatakan, rasuah termasuk memakan harta orang lain dengan jalan batil.

Menurut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM 2009) Akta 694, rasuah yang didefinisikan oleh SPRM adalah, ‘penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan boleh terjadi daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah atau diskaun.’

Dalam Surah Ali Imran, ayat 161: “Tidak mungkin bagi seorang Nabi menggelapkan harta rampasan perang (ghulul) dan barang siapa yang menggelapkan harta rampasan perang nescaya ia akan membawa bersamanya pada hari kiamat segala sesuatu yang digelapkan nya. Kemudian setiap orang dibalas dengan sempurna terhadap apa yang telah dilakukannya dan mereka tidak akan dianiaya.”

Ayat ini jelas mengingatkan agar semua pentadbir berhati-hati, bertanggungjawab dan jujur melaksanakan amanah.

Kehinaan pelaku rasuah

Imam Sayuti menjelaskan ayat tersebut diturunkan (asbabunnuzul ayat) kerana setelah perang Badar, kaum Muslimin memperoleh banyak rampasan perang. Ketika itu sebidang permaidani merah hilang dari tempat penyimpanan.

Ada yang mengatakan, mungkin Rasulullah yang mengambilnya. Lalu turunlah ayat itu bertujuan menafikan tuduhan tersebut. Mustahil Rasulullah melakukannya kerana telah nyata bahawa Nabi itu maksum, tetapi bagaimana dengan pengusasa lain?

Kehinaan orang yang melakukan rasuah dalam urusan pengadilan ditegaskan lagi oleh Syed Qutb yang mengkategorikan perasuah sebagai amalan as-Suht, sebagaimana firman ALLAH dalam Surah al-Maidah, ayat 62 dan 63.

“Dan engkau dapat melihat kebanyakan dari mereka (kaum Yahudi) berlumba-lumba melakukan dosa dan pencerobohan serta memakan harta haram. Sesungguhnya amatlah keji perbuatan-perbuatan yang telah dilakukan mereka. Mengapa rahib-rahib dan paderi-paderi tidak melarang mereka dari mengeluarkan perkataan-perkataan yang berdosa dan dari memakan harta haram. Sesungguhnya amatlah keji perbuatan yang telah dilakukan mereka”.

Ulama terkemuka Indonesia, Buya Hamka menyindir penerima rasuah ‘seolah mati disuap’ , gambaran bagaimana disuapkan mulut mereka terkatup mati tidak bicara lagi. Mereka tidak berani lagi menegur yang salah dan menegakkan hukum keadilan.

Ayat ini mengingatkan agar para ulama umat Islam tidak melakukan kejahatan yang sama sebagaimana yang dilakukan rahib Yahudi. Ingatlah pemberi dan penerimanya dikutuk ALLAH, pelaku kronisme ibarat mengkhianati ALLAH, dan perlunya undang-undang ditegakkan tanpa memilih bulu.

Pupuk rasa gerun

Dengan mengingati azab dari ALLAH, perasuah dan penerima rasuah sewajarnya dapat menghilangkan keingginan dan nafsu serakah terhadapnya.

Justeru dimana posisi kita? Adakah tugas kita sekadar terus mengutuk pelaku tersebut?

Peganglah firman ALLAH dalam surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud: “Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada ALLAH dengan sebenar-benar iman”.

Inilah syarat menjadi umat terbaik. Dua tugas wajib digalas iaitu menyuruh manusia melakukan kebaikan dan mengingatkan orang akan kemungkaran (mengajak mereka meninggalkannya).

Dek kerana rasuah itu perbuatan mungkar serta tidak memberi keadilan dalam masyarakat, maka kaedah membenteras gejala hina ini adalah sebagaimana hadis Nabi SAW. Ia juga sesuai dengan teori moden yang mengemukakan perlunya kerjasama antara masyarakat dan pihak kerajaan.

 

GAMBAR HIASAN: Umar bin Abdul Aziz menggazetkan larangan kepada para pegawainya daripada menerima sebarang pemberian dan menegah rakyatnya memberi hadiah keapda kakitangan kerajaan kerana segala bentuk hadiah adalah rasuah

Contohilah ketegasan Saidina Umar al Khattab yang mengembalikan berlian pemberian ratu Rom kepada negara Rom kerana hadiah yang diberikan satu botol minyak wangi itu adalah berasal dari wang negara, balasannya juga menjadi hak negara.

Akhirnya, mari kita memulakan membenteras rasuah daripada diri kita dengan memikirkan kesannya sepertimana Umar Bin Abdul Aziz membanteras rasuah dengan memulainya daripada dirinya sendiri terlebih dahulu dalam mengembalikan hak orang lain dan hidup penuh kesederhanaan.

Baginda juga melarang para pegawainya menerima hadiah daripada rakyat dan melarang rakyat memberikan hadiah kepada pegawai kerana hadiah baginya adalah rasuah. Bagi memastikan rasuah tidak dilakukan di semua peringkat, baginda melakukan pengawasan langsung terhadap seluruh urusan negara dari penyelewengan yang mungkin dilakukan pegawainya.

Sama-sama kita membentuk sebuah negara yang sifatnya ‘baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur‘, dengan menjauhkan diri daripada sebarang bentuk rasuah dan membina jati diri dengan integriti yang unggul.

 

Untitled design (36)
Berita Semasa, Dalam Negara,

Empat pesanan Menteri Agama kepada ustaz selebriti

KONTROVERSI melibatkan ustaz selebriti meniti di bibir masyarakat beberapa hari ini. Ibarat nila setitik rosak susu sebelanga apabila isu yang terpalit ini menjejaskan imej kebanyakan pendakwah yang ada.

Tular baru-baru ini apabila seorang ustaz selebriti telah ditangkap susulan isu tidak bermoral yang dilakukan.

Isu yang masih hangat ini turut mendapat perhatian daripada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad. Beliau berkongsi pesanan dan garis panduan yang harus dilakukan sebagai seorang pendakwah.

Beliau memberikan empat nasihat kepada ustaz dan pendakwah selebriti negara, bertujuan untuk memastikan mereka tidak terjebak dengan perbuatan yang tidak bermoral seterusnya tidak lagi dipercayai masyarakat.

Beliau berkata, antara nasihat utama yang perlu direnungkan oleh golongan ini adalah sentiasa mengamalkan setiap dakwah yang sudah disampaikan kepada masyarakat.

“Kita kena sedar bahawa apa yang sering kita bercakap (dakwah) kita sering lupa, tetapi orang tidak akan lupa.

SEORANG pendakwah atau dai harus sering bermuhasabah diri sendiri khususnya mengenai apa yang dicakap (dakwah).

Kedua, setiap pendakwah, ustaz serta dai harus sering bermuhasabah diri sendiri khususnya mengenai apa yang dicakap (dakwah). Adakah kita sendiri beramal atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bijaktani Hidroponik Asnaf anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), hari ini.

Mengulas lanjut, Idris turut menasihati, seorang pendakwah atau ustaz juga perlu menyedari risiko menjadi seorang individu yang mempunyai pengaruh kepada golongan masyarakat.

“Mereka kena sedar selebriti ini mempunyai pengaruh yang tersendiri malah saya sebagai seorang ustaz juga mempunyai pengaruhnya.

“Disebabkan itulah anda perlu beringat dan walaupun kita bukan manusia yang sempurna dan mempunyai kesalahan, kita juga perlu meminimunkan hal-hal sebegini. Jika tidak ia akan menjatuhkan imej kita sebagai pendakwah,” katanya.

Terakhir, beliau turut menasihati agar mereka menjaga tingkah laku kerana tindakan buruk yang dilakukan pastinya akan memberi kesan negatif kepada semua pendakwah serta ustaz di negara ini.

“Ibarat nila setitik rosak susu sebelanga, banyak lagi ustaz selebriti yang baik, dai yang baik juga pendakwah yang baik tetapi kerana seorang dua ini, kesannya ramai yang pandang tidak baik,” katanya.

GARIS panduan sudah pun ditetapkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk pendakwah selebriti setiap kali melakukan ceramah di mana-mana platform. 

Mengulas lanjut, Idris berkata, penahanan dua orang pendakwah selebriti dalam tempoh terdekat ini amat malang kerana ia sepatutnya tidak berlaku malah begitu dimurkai ALLAH.

“Amat malang ia terjadi sedemikian, ALLAH juga murka dan kemurkaan-NYA adalah lebih besar kerana kamu bercakap (berdakwah) tetapi kamu tidak buat.

“ALLAH juga akan murka dengan orang jahil yang melakukan kejahatan tetapi kemurkaan ALLAH adalah lebih dahsyat apabila orang yang mengetahui berbuat sedemikian rupa. Kalam di lidah tidak diterapkan sehingga ke dalam hati,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan untuk menetapkan garis panduan baharu untuk pendakwah selebriti yang akan ditetapkan oleh kementeriannya, Idris berkata, perkara itu sudah pun ada.

“Ia adalah soal hati, kita lihat seseorang itu baik tetapi hati kita tidak tahu. Kita sudah lihat kelayakan mereka tetapi kita lihat secara luaran sahaja, kita tidak tahu hati mereka.

“Bila jadi kes sebegini, kita akan tahu dan ambil tindakan. (Seandainya dibuktikan bersalah) selepas ini tidak boleh lagi dibenarkan untuk menyampaikan ceramah,” katanya.

Untitled design (31)
Berita Semasa, Dalam Negara,

Amalan seks songsang dorong peningkatan penghidap HIV baharu

STATISTIK Kementerian Kesihatan Sektor HIV/Penyakit Jangkitan Kelamin (STI), Bahagian Kawalan Penyakit pada 2017 menunjukkan 1,697 individu yang mengamalkan seks songsang seperti homoseksual dan biseksual ialah penghidap HIV baharu.

Mengikut pecahan kaum, 54 peratus mewakili 1,800 individu daripada 3,347 jumlah keseluruhan kes baharu penghidap HIV merupakan orang Melayu. Jumlah itu lebih dua kali ganda lebih tinggi berbanding kaum Cina iaitu sebanyak 725 dan lebih besar berbanding kaum India hanya 240 kes baharu.

Kementerian Kesihatan melaporkan golongan gay atau homoseksual direkodkan meningkat hampir 100 peratus, iaitu seramai 310,000 individu pada tahun 2018, berbanding 173,000 lima tahun lalu ketika itu.

Timbalan Pengarah Keluarga, Sosial dan Pembangunan Komuniti JAKIM, Dr Mohd Izwan Md Yusof, berpandangan kebanyakan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) bermula sejak mereka di sekolah berasrama, terutamanya bagi kanak-kanak dan remaja lelaki berusia 12 hingga 15 tahun kerana belum matang dan tak dapat membezakan jenis sentuhan ke atas mereka.

Trauma penderaan

ANTARA salah satu punca berlakunya komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) ini bermula sejak di sekolah berasrama. Oleh itu pentingnya pengawasan setiap masa pihak yang bertanggungjawab agar perkara ini dapat dicegah. 

Menurutnya, dalam beberapa kes, mereka (kanak-kanak dan remaja lelaki) diliwat pelajar senior ketika berada di sekolah berasrama, sekali gus mengakibatkan wujudnya faktor ketagihan kepada seks sejenis dan bertukar menjadi seorang gay.

Kurang penghayatan agama

Melalui kajian daripada Institusi Penyelidikan Pembangunan Malaysia, didapati terdapat dua pengaruh menyebabkan golongan belia di Malaysia khususnya di Kuala Lumpur terlibat dalam gejala gay iaitu pengaruh dalaman dan pengaruh luaran.

Antara pengaruh dalaman yang menjadi aspek perbincangan di bawah sub-tema kajian adalah mengenai kurangnya penghayatan agama.

Penghayatan agama adalah penting dalam memandu manusia bertingkah laku secara baik dan bermoral. Banyak masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat hari ini adalah disebabkan oleh kurangnya penghayatan kepada agama.

Malah, agama dan keimanan merupakan benteng yang paling kukuh dalam mengawal hawa nafsu serta mendidik individu untuk membezakan antara perkara yang baik dan buruk.

Dera anak angkat

IB BAPA memainkan peranan penting dalam memberikan didikan agama kepada anak-anak terutama ketika mereka masih kecil. 

Melalui kajian ini, penyelidik mendapati dua daripada enam informan mengaitkan isu agama dalam membincangkan masalah gay yang mereka hadapi iaitu:

“My mom and dad sendiri tak pernah jejak kaki ke Gereja, apatah lagi nak bawa saya pergi gereja… Jadi saya langsung tak peduli soal agama…” (Informan B)

“Saya memang lahir dari keluarga yang mempunyai pegangan agama yang kuat…Nak-nak ayah saya, ustaz kat sekolah…Saya pernah beberapa kali khatam al-Quran…hmm tapi, semua tu saya tak hayati dalam hidup… Solat pun kadang-kadang tak cukup…” (Informan D)

Berdasarkan kenyataan tersebut, jelas menunjukkan bahawa aspek keagamaan yang rendah dan lemah antara pengaruh yang menyebabkan informan terjerumus dalam gejala gay.

Baca juga Rasuah bukan sekadar duit kopi, ini realitinya

Penghayatan agama seharusnya menjadi satu perkara yang wajib dalam kehidupan. Individu yang berpegang dengan agama akan dapat memastikan baik dan buruk sesuatu perkara sebelum bertindak untuk melakukannya.

Hasil kajian menunjukkan bahawa informan yang kurang berpegang teguh kepada agama menyebabkan mereka terpesong dari batas kehidupan yang normal sebagai seorang manusia.