Browsing Category

Agama

anil-xavier-xQwbmiCSAOg-unsplash
Agama,

[VIDEO] Jangan main petik buah daripada pokok tidak bertuan. Ini dia adab yang Islam ajar jika kita nak manfaatkan buah-buahan tadi

KADANGKALA di tepi jalan raya, kelihatan beberapa batang pokok sedang berbuah lebat. Umpamanya buah rambutan, mempelam dan ciku yang sering kali kita lihat di kebanyakan tempat.

Terdetik juga dalam hati siapalah pemilik tanaman berkenaan. Jika diketahui, pasti sudah lama buah itu dipetik dan dimakan.

Malangnya, pertanyaan itu adakalanya terbiar tanpa jawapan. Maklum sahajalah, mahu memetiknya takut pula orang melabelkan sebagai pencuri.

Apatah lagi ingin dimakan. Sudah terang dan jelas bahawa buah itu pasti milik orang. Bukahkah kita dilarang sama sekali untuk mengambil hak orang lain tanpa izin?

Begitupun, apabila difikir-fikirkan semula, lebih baik buah itu dimanfaatkan daripada dibazirkan begitu sahaja.

Apabila diajukan kepada orang di sekeliling, sedikit hampa kerana tiada tahu siapakah tuan kepada pokok berkenaan.

Andai kita dalam situasi itu, bolehkah kita memetik dan makan buah tersebut tanpa izin.

Menurut pendakwah selebriti, Dr Mohamad Fitri Mohamad Haris, terdapat tiga adab yang perlu dipenuhi jika kita ingin memanfaatkan buah daripada pokok yang tidak diketahui siapa tuannya.

DR MOHAMAD FITRI

Sekiranya satu-satu pokok berbuah dan tidak diketahui siapakah gerangan pemiliknya, jelas beliau, paling tidak pun bertanyalah kepada orang di sekeling kawasan itu sekurang-kurangnya (minimum) sebanyak tiga kali.

“Andai mereka mengatakan tidak tahu atau tiada jawapan dan seumpamanya, maka kita dibolehkan untuk memakan buah berkenaan.

“Begitupun, ada syarat yang perlu dipenuhi iaitu kita hanya makan buah berkenaan di situ sahaja. Ia tidak boleh dibawa balik atau dijual sama sekali,” ujarnya.

Pokok tidak bertuan

Dalam pada itu, Dr Mohamad Fitri yang juga Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Universiti Utara Malaysia berkata, paling penting pokok tadi mestilah tidak berada di dalam kawasan berpagar.

“Tempat sebegitu adalah simbolik kepada pemilikan seseorang.

“Apa-apapun, berwaspadalah dan jangan mengambil hak orang lain tanpa izin,” jelas beliau.

Baca juga Makanan Tidak Baik Jadi Punca Hati Gelap

Ingatlah, jagalah adab yang diajarkan oleh Islam. Jangan sampai kita termakan hak orang lain.

Foto: Freepik & Unsplash

yanal-tayyem-1h0eUfpaH-g-unsplash
Agama,

Jangan jadi hamba kepada diri dan nafsu, lakukanlah semua perkara ikhlas kerana ALLAH

SIFAT ikhlas begitu penting dalam kamus hidup kita. Jika tidak, sia-sialah apa sahaja yang kita lakukan termasuklah dalam perihal ibadah dan juga urusan lain.

Menurut Imam al-Jurjani dalam Kitab al-Ta‘rifat, dari sudut bahasa, ikhlas bermaksud meninggalkan riak apabila melakukan ketaatan. Dari sudut istilah pula, ia bermaksud membersihkan hati daripada bercampur dengan sesuatu yang memudaratkan kebersihannya dan dapat mengetahui sesuatu yang mencampurinya. Dengan itu, ia dapat dielakkan.

Dalam al-Risalah al-Qushayriyyah yang dikarang oleh Imam al-Qushayri, al-ikhlas bermaksud berniat semata-mata kerana Tuhan yang memiliki nama al-Haqq dalam ketaatan. Manusia mentaati ALLAH SWT adalah semata-mata kerana ingin mendekatkan diri kepada-NYA tanpa tujuan lain seperti pujian. Hakikat keikhlasan adalah terpelihara daripada belenggu riak dan hawa nafsu.

Menyelak lembaran dalam Kitab al-Arba‘in fi Usul al-Din, Imam al-Ghazali menukilkan satu fasal khusus tentang al-ikhlas. Beliau meletakkan fasal itu di bawah bahagian keempat yang bertajuk akhlak yang terpuji.

Jelas Imam al-Ghazali, al-ikhlas mempunyai tiga rukun iaitu asas, hakikat dan kesempurnaan. Rukun pertama merujuk kepada niat kerana dalam niat terdapat al-ikhlas.

Niat akan menghasilkan pergerakan anggota badan. Ia bermula daripada ilmu, keinginan dan kekuatan. Ilmu menggerakkan keinginan, kemudian keinginan berperanan membangkitkan kekuatan untuk menggerakkan anggota badannya.

Contohnya, seseorang yang bangun daripada tidur lalu melihat makanan, maka ia memiliki ilmu tentangnya. Kemudian ilmu itu menggerakkan keinginannya untuk menjamahnya. Akhirnya, keinginan tersebut membangkitkan kekuatannya untuk bertindak dengan menggerakkan tangannya, lalu menikmati makanan tersebut.

Ikhlas

LAKUKAN setiap urusan termasuk pekerjaan dengan penuh keikhlasan.

Rukun kedua adalah hakikat yang merujuk kepada satu perkara yang membangkitkan niatnya. Jika ada dua perkara yang mendorongnya untuk melakukan sesuatu, maka ia bertentangan dengan hakikat keikhlasan.

Sementara, rukun ketiga pula merujuk kepada al-sidq iaitu keikhlasan yang sempurna. Al-Sidq bermaksud benar yang mana ia terdiri daripada enam pengertian.

Ia merangkumi pertuturan, sifat benar pada niat dan keinginan, sifat benar pada keazaman, menunaikan janji dengan penuh keazaman (lebih kuat berbanding pengertian ketiga), sifat benar pada perbuatan (merujuk kepada amal perbuatan zahir seseorang yang menepati aspek dalamannya) dan terakhir, sifat benar dalam merealisasikan maqammaqam keagamaan.

Baca juga Berpuluh-puluh tahun solat, tapi tak diterima. Ini sebabnya yang wajib kita ambil tahu

Al-Sidq tertinggi

Pengertian keenam itu merupakan al-Sidq paling tinggi umpamanya, takut kepada ALLAH SWT. Imam al-Ghazali memberi contoh bahawa seseorang yang memiliki sifat takut kepada ALLAH SWT, belum tentu ia benar-benar takut kepadaNYA berbanding sifat takutnya ketika berhadapan dengan pemerintah atau perompak yang zalim.

Pada permulaan perbahasan berkenaan tajuk al-Ikhlas dalam Ihya‘ ‘Ulum al-Din, Imam al-Ghazali menjelaskan kelebihan dan kepentingan keikhlasan.

Ilmuan Islam itu mengemukakan firman ALLAH SWT: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah ALLAH dengan mengikhlaskan ibadah kepada-NYA, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.“ (Surah al-Bayyinah, ayat 5)

Dalam Surah al-Nisa‘, ayat 146, ALLAH SWT berfirman: “Kecuali orang-orang yang bertaubat (dari perbuatan munafik itu) dan memperbaiki amalan mereka (yang salah), dan mereka pula berpegang teguh kepada (agama) ALLAH serta mengerjakan agama mereka dengan ikhlas kerana ALLAH.“

Menurut Imam al-Ghazali, sesuatu yang bercampur apabila bersih daripada campuran tersebut, maka ia dikenali sebagai khalis. Perbuatan untuk membersihkan atau mengasingkan antara kedua-duanya dikenali sebagai ikhlas.

Firman ALLAH SWT: “Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. KAMI beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dan darah, (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.“ (Surah al-Nahl, ayat 66)

Berdasarkan ayat itu, Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa susu yang khalis (bersih) ialah susu yang tidak bercampur dengan darah, farth (najis di dalam perut binatang) dan bahan-bahan yang lain.

Ikhlas

DIDIK dan pupuk anak-anak tentang sifat ikhlas sejak dari kecil lagi agar mereka dapat membiasakan diri dengan sikap sedemikian.

Sementara itu, lawan bagi kalimah ikhlas ialah ishrak (penyekutuan). Maka, pada sudut bahasanya bahawa sekiranya individu itu tidak ikhlas, maka ia dikenali sebagai mushrik (seseorang yang menyekutukan).

Namun begitu, syirik ada peringkat-peringkatnya yang tersendiri. Antaranya, syirik dalam akidah yang terdiri daripada syirik khafiyy (kecil/tersembunyi) dan jaliyy (besar/jelas).

Dari segi ikhlas dalam akidah, ia dikenali sebagai tauhid, manakala lawannya ialah tashrik apabila berhubung dengan hal ehwal ketuhanan.

Lawan bagi ikhlas adalah sesuatu yang bergilir-gilir berada dalam hati manusia yang mana ia berkaitan dengan niat. Apabila niatnya sudah bercampur-campur dengan sesuatu yang lain, maka ia tidak dianggap ikhlas lagi. Malah, ia dipanggil sebagai riak yang merupakan syirik khafiyy. Ia sebagaimana disebut oleh Imam al-Ghazali dalam kitab Bidayat al-Hidayah.

Imam al-Ghazali berpandangan, ikhlas yang sebenar-benarnya ialah individu tersebut tidak menjadi hamba kepada diri dan nafsunya. Sebaliknya, mengabdikan diri kepada ALLAH SWT dengan istiqamah dan mematuhi segala perintah yang diputuskan oleh ALLAH SWT supaya beribadah kepada-NYA.

Segala perbuatan itu menunjukkan bahawa seseorang itu telah memisahkan dirinya daripada segala yang selain daripada-NYA.

Maka, dapat difahami daripada pandangan Imam al-Ghazali bahawa antara ciri-ciri yang bertentangan dengan al-ikhlas adalah tidak ikhlas, riak, ujub dan mementingkan hawa nafsu.

Tuntasnya, keikhlasan melibatkan rukunnya iaitu asas, hakikat dan kesempurnaan. Semua itu berkaitan dengan niat dalam segala tingkah laku seseorang itu adalah bersih daripada selain ALLAH SWT yang mana perbuatan yang dilakukannya adalah semata-mata kerana-NYA.

Penulis: Dr Mohd Hasrul Shuhairi (Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin)

Foto: Freepik & Unsplash

 

bruno-martins--c9N9RgjOPU-unsplash
Agama,

Walaupun ibu bapa telah uzur dan nyanyuk, jangan culas jalankan tanggungjawab kepada mereka…

KEPADA mereka yang masih memiliki ibu bapa, bersyukurlah kerana ALLAH SWT masih memanjangkan usia mereka untuk kita mengecapi nikmat kebahagiaan.

Inilah masanya untuk kita berbakti dan berbuat kebaikan kepada insan yang telah mendidik serta membesarkan kita hingga menjadi insan yang berguna.

Walaupun kudrat mereka tidak lagi sekuat dahulu ketika zaman mudanya, namun sebagai anak, usah culas dengan tanggungjawab tersebut.

Meskipun ada dalam kalangan kita mempunyai orang tua yang mungkin sudah nyanyuk, bersabarlah melayan kerenah mereka sebagaimana kedua-dua ibu bapa melayan ragam kita sewaktu kecil.

Seandainya ibu bapa sudah nyanyuk, bagaimana kewajipan solat ke atas mereka? Berdosakah jika mereka tidak menunaikan solat?

Menjawab persoalan itu, pendakwah Datuk Ustaz Kazim Elias menjelaskan, antara satu syarat untuk melakukan ibadah yang difardukan adalah taklif berkaitan sesuatu hukum dan sempurna akal.

“Nyanyuk adalah kategori yang tidak lagi dikatakan sebagai taklif dan tidak sempurna akalnya.

“Jika disahkan oleh pihak yang pakar bahawa ibu bapa kita sudah nyanyuk atau tidak waras, maka bebaslah mereka daripada perkara-perkara (menunaikan kewajipan) tadi,” katanya sebagaimana dikongsikan menerusi video dalam Instagram miliknya baru-baru ini.

Ibu bapa nyanyuk

Bagaimana pula hukumnya jika kita tidak menjawab pertanyaan berulang-ulang daripada ibu bapa yang nyanyuk tadi? Adakah anak itu dikategorikan sebagai derhaka?

Merungkaikan jawapannya, Ustaz Kazim menjelaskan, tidaklah jatuh derhaka seandainya anak tadi tidak menjawab soalan sama yang berulang kali ditanyakan oleh kedua ibu bapa yang nyanyuk.

“Namun, itulah cabaran buat diri kita. Walaupun mungkin emak sudah nyanyuk dan akalnya sudah tidak cerdas macam dahulu, tetapi kita tetap kena berbuat baik dengannya dan berikan layanan terbaik.

“Inilah cabaran terbesar. Apabila ibu sihat, kita boleh jaga, apatah lagi mereka sudah uzur, tidak sihat dan akalnya pula sebegitu.

“Banyak-banyakkanlah bersabar andai ALLAH SWT menguji kita sedemikian. ALLAH SWT sudah menyatakan, siapa yang panjang umurnya, mereka akan jadi seperti awal-awal kejadiannya,” ujarnya.

Baca juga Jangan jadi anak tak kenang budi, jangan ambil kesempatan atas kebaikan, kemurahan hati ibu bapa

Beliau mengingatkan, ALLAH SWT memerintahkan hamba-NYA agar berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan mentaati mereka selagi mana perkara yang diperintahkan itu tidak bercanggah dengan syarak.

“Ini kerana ibu bapa telah mencurahkan jasa bakti yang amat besar kepada anak-anak sehingga mereka berkorban nyawa, tenaga dan harta.

Ibu bapa nyanyuk“Ketahuilah, berbakti kepada ibu bapa adalah akhlak yang ada pada semua nabi dan rasul.

“Ingatlah, antara nikmat yang ALLAH berikan kepada kita adalah dikurniakan ibu bapa. Jadi, berbakti kepada mereka tidak terhenti apabila mereka meninggal dunia, tetapi ia berterusan selepas ketiadaan mereka,” nasihat beliau.

Beruntunglah kita masih mempunyai ibu bapa lagi di dunia ini. Andai mereka telah tiada, titipkanlah doa buat mereka yang telah bersusah payah membesarkan kita.

Semoga doa anak yang soleh dan solehah akan menjadi ‘tabung akhirat’ buat ibu bapa.

Sumber: Instagram datoustazkazim

Foto: Freepik & Unsplash

Berhutang
Agama, Panduan,

Perlu ulang solat atau tidak jika tersalah arah kiblat?

Perlu ulang solat atau tidak jika tersalah arah kiblat?

Oleh USTAZ MUSTAFAR MOHD SUKI

 

APABILA pergi ke tempat yang asing dan ingin mendirikan solat, arah kiblat seringkali menjadi kekeliruan kita.

Sudahlah pertama kali ke tempat itu, malah bayangan arah kiblat langsung pula tidak kelihatan.

Ditambah pula, jika kebanyakan insan yang ada di sekeliling kita ialah orang bukan Islam.

Jadi, dengan penuh yakin kita menunaikan suruhan ALLAH SWT itu.

Ulangi solat atau tidak jika tersalah arah kiblat?

Baca juga Solat tak sah jika makmum baca al-Fatihah bersama-sama imam?

Namun, usai mendirikan solat, barulah diketahui bahawa solat kita tadi itu tersalah kiblat.

Perlukah solat itu diulang semula?

Dalam hal tersebut, satu daripada syarat sah solat adalah menghadap ke arah kiblat ketika solat fardu.

Oleh itu, seseorang yang ingin solat boleh bertanya kepada yang tahu, menggunakan kompas atau selainnya.

Namun begitu, jika selesai solat baru diketahui kita telah tersalah kiblat, maka para ulama terbahagi kepada dua pandangan.

Baca juga Jangan biarkan telekung, serban dan kopiah menutup dahi ketika sujud. Dikhuatiri tidak sah solat itu

Jika yakin selepas solat tersalah kiblat, maka wajib untuk mengulanginya seperti dinukilkan oleh Imam an-Nawawi.

Beliau berhujah dengan ayat al-Quran dan hadis yang mewajibkan solat menghadap ke arah kiblat.

Adapun Imam al-Ramli berpandangan, tidak perlu diulang semula kerana seseorang telah berijtihad kepada arah kiblatnya yang diyakini secara pasti sebelum menunaikan solat. Itu juga pendapat Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hanbal.

Kesimpulannya, untuk lebih berhati-hati, maka mengulangi solat itu adalah lebih utama jika diri benar-benar meyakini tersalah kiblat selepas mendirikan solat.

***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah dan penulis.

Foto: Pexels

Sambut Aidilfitri
Agama, Panduan,

Isteri tegur suami berbuat salah

Oleh USTAZ MUSTAFAR MOHD SUKI

SEBAGAI seorang isteri, mereka perlu patuh kepada suruhan suami masing-masing kecuali perkara yang dilarang oleh agama Islam.

Bagitupun, jika sudah namanya manusia, pasti tidak terlepas daripada membuat kesalahan.

Andai kata seorang suami berbuat salah, bolehkah para isteri menegur suami mereka?

Bagaimanakah cara yang sesuai untuk menegur suami agar lelaki itu tidak terasa dirinya seolah-olah direndah-rendahkan oleh isteri tadi?

Sebelum merungkaikan jawapannya, perlu diketahui bahawa setiap manusia tidak kiralah sama ada dirinya merupakan seorang ayah, ibu, suami, isteri mahupun anak-anak tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.

Jadi, menjadi tanggungjawab kita untuk saling menegur atau menasihati antara satu sama lain.

Suami merupakan tonggak kepada rumah tangga yang dibina, namun dalam sesetengah keadaan, tindakan atau perbuatan suami yang dilihat melakukan kesilapan, maka menjadi tugas isteri untuk menegur berdasarkan konsep umum disebutkan dalam hadis.

Antara hadis tersebut ialah agama itu nasihat, mencegah kemungkaran dengan kuasa dan nasihat pada tingkat teratas.

Namun, ada beberapa perkara yang mesti dijaga seperti nada dan cara menuturkan teguran. Begitu juga masa dan keadaan, jangan lakukannya di hadapan anak-anak.

Suami juga mestilah bersikap positif dan memberi respons dengan cara yang baik di samping menerima teguran jika benar telah terkhilaf.

***Ustaz Mustafar Mohd Suki merupakan pendakwah dan penulis.

Bercakap ketika berwuduk
Agama, Panduan,

Bolehkah keringkan anggota wuduk?

KADANGKALA selepas berwuduk, ada orang lebih selesa untuk mengeringkan anggota wuduknya sebelum menunaikan solat.

Ada segelintir orang pula terus mendirikan solat sebaik sahaja berwuduk.

Bagaimana pandangan Islam tentang hal itu? Bolehkah kita mengeringkan anggota wuduk dengan tuala selepas selesai berwuduk?

Menjawab persoalan tersebut, terdapat hadis yang sahih riwayat Muslim bahawa Nabi Muhammad SAW menyatakan, apabila seseorang berwuduk, ketika membasuh muka, tangan dan kakinya akan gugurlah dosa-dosanya bersama mengalirnya air sehingga ke titisan yang terakhir.

Itu menandakan kelebihan wuduk boleh menghapuskan dosa-dosa.

Adapun dalam perihal hukum mengeringkan anggota wuduk, para ulama terbahagi kepada dua pandangan dengan hujah masing-masing.

Pendapat pertama menyatakan, hukumnya adalah harus. Pendapat itu ‘dipegang’ oleh sahabat Nabi Muhammad SAW seperti Anas bin Malik, Usman bin Affan dan lain-lain.

Anggota wuduk

JANGAN berlebih-lebihan dan membazir ketika berwuduk.

Demikian juga pendapat Imam Ahmad dalam masalah itu kerana asalnya tiada hadis yang jelas melarang perbuatan tersebut.

Sementara itu, pendapat kedua berpandangan makruh menyapu atau mengeringkan anggota wuduk selepas berwuduk.

Ini kerana dalam hadis riwayat Saidatina Maimunah dalam Sahih al-Bukhari, Nabi Muhammad SAW menolak ketika diberikan kain untuk mengelap anggota wuduk baginda.

Imam al-Rafie juga menyatakan, sunat ditinggalkan perbuatan mengeringkan anggota wuduk.

Kesimpulannya, jika ada keperluan dan hajat, maka tidak menjadi masalah untuk mengeringkannya.

Sebaliknya, sekiranya tiada keperluan, maka eloklah dibiarkan sahaja. Demikianlah pendapat Imam An-Nawawi.

***Artikel ditulis oleh pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki

ff2a5f9f-e72a-4a3c-a218-574b019fd4e1
Agama, Panduan,

‘Merendah-rendahkan orang ibarat seperti makan bangkai saudaranya yang sudah mati’

Foto: MOHD IZARI ROSLI & Unsplash.com

SEORANG budak lelaki seringkali menjadi ‘mangsa’ ejekan rakan-rakannya. Tidak kiralah di sekolah atau kawasan kejiranannya, hampir semua kanak-kanak seusia dengannya enggan berkawan dengan budak lelaki berkenaan.

Dari segi peribadinya, kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu begitu tertib tatkala menyusun bicara. Apatah lagi jika berbual dengan orang yang lebih tua daripadanya. Beliau begitu menghormati orang tua. Perilakunya juga baik, cuma ada satu ‘cela’ yang dirasakan menjadi kekurangan pada kanak-kanak polos itu. Hanya kerana beliau berkulit gelap!

Boleh dikatakan, saban hari, ada sahaja orang yang memanggilnya dengan gelaran ‘legam’. Tidak kurang yang menggelarnya ‘bontot kuali’. Bayangkan budak sekecil itu sudah menjadi mangsa cercaan rakan-rakannya.

Jika diikutkan logik akal, mana mungkin budak seusianya mampu bertindak mendiskriminasikan sebegitu? Sudah tentu mereka ‘mempelajari’ sikap berkenaan daripada orang lain.

Apa jua panggilan yang digunakan, jelas sekali ia mempersenda fizikal manusia lain.

Ya, situasi itu kerap berlaku dalam dunia realiti. Ramai kini yang semakin menjadi-jadi dengan perbuatan mempersenda fizikal orang lain. Medium digunakan lazimnya di media sosial, seterusnya disebarkan dan menjadi tular.

Dalam kes terbaharu, gambar seorang lelaki menunggang motosikal membawa seorang kanak-kanak dengan kapsyen ‘Nak kesian dekat motor ke atau budak itu’, dimuat naik di media sosial sehingga menjadi tular.

Itu pun jelas ada unsur-unsur mempersendakan fizikal orang.

Benarkah mempersendakan fizikal orang lain itu sama seperti menghina ciptaan ALLAH SWT? Bagaimana pula jika kata-kata bernada ‘ejekan’ tadi hanyalah sekadar gurauan?

Larangan mencela

Pendakwah Ustaz Haslin Baharim menjelaskan, fizikal atau tubuh badan manusia merupakan ciptaan ALLAH SWT.

USTAZ HASLIN

Apa sahaja cacat cela melibatkan tubuh badan manusia tersebut umpamanya masalah suara, sumbing, telinga dan sebagainya yang ditakdirkan oleh Sang Pencipta kepada seseorang, kita dilarang sama sekali untuk menghinanya.

“Jika badan seseorang itu gemuk, lantas kita menyebutnya; ‘Badan apa besar begini. Kerbau dengan awak sama saja’. Ini merupakan satu bentuk penghinaan.

Tidak kiralah penghinaan tadi dilakukan sama ada secara zahir ketika bertemu secara empat mata (dengan empunya diri) atau melalui media sosial sekalipun, kita dilarang berbuat demikian.

“Apatah lagi, jika penghinaan itu dilontarkan dalam laman sosial hingga menjadi tular. Sekurang-kurangnya fikirkan perasaan keluarga seseorang yang ada cacat celanya daripada segi fizikal,” katanya ketika ditemui Sinar Islam pada Majlis Pelancaraan Butik Haqqi 2020 di Bangi, Selangor baru-baru ini.

Kepada satu soalan, Ustaz Haslin yang terkenal dengan panggilan Ustaz Bollywood itu berkata, seandainya apa yang diungkapkan tadi hanya sebagai gurauan, ada ‘keringanan’ jika seseorang itu akrab dengan individu berkenaan.

Memberikan contoh, seandainya seseorang itu mempunyai hubungan rapat dengan rakannya yang bergigi jongang dan tidak kisah digelar sedemikian, itu bukanlah masalah kerana membabitkan mereka berdua, jelas beliau.

“Bagaimanapun, andai kata di hadapan orang ramai, kita berkata demikian sehingga menyebabkan orang ketawa dan menyakitkan hatinya, ia sama sekali tidak dibenarkan.

“Jika kita tidak mengenali individu tersebut atau mungkin kenal, tetapi ‘jauh’ dengannya, kemudian kita kata pula ‘badannya dengan gajah lebih kurang sahaja’ dan tulis (di media sosial) ‘ini akibatnya jika makan kuat sangat’, ia tidak patut. Tidak perlulah kita memalukan orang tersebut,” jelas beliau.

Bersyukur kepada ALLAH

Tiada insan yang mahu dirinya dilahirkan dalam keadaan cela. Justeru, Ustaz Haslin mengingatkan kita agar tidak mempersenda atau mempermainkan fizikal seseorang.

Merendah-rendahkan orang

USAH sebarkan ‘kecacatan’ orang lain menerusi media sosial kerana ia boleh memalukan mereka.

“Bagi mereka yang dijadikan ALLAH dengan kekurangan fizikal, maka terimalah dengan hati yang penuh pasrah dan reda. Semoga suatu masa nanti, ada kebaikan, manfaat atau ganjaran yang ALLAH berikan kepada kita.

“Mungkin dengan cara orang buat begitu (mempersendakan fizikal kita), dosa kita diampunkan oleh ALLAH SWT,” katanya.

Beliau sekali lagi mengingatkan bahawa Islam melarang sebarang bentuk penghinaan termasuklah tentang perihal rumah tangga atau keadaan seseorang itu.

“Kadangkala ada orang mengata ‘isteri cantik, tetapi suami pula sebaliknya’. Begitu juga dengan hinaan kepada seseorang apabila menyatakan ‘sudah tahu hidup di dalam rumah usang, tapi beranak ramai’.

“Tidak perlulah kita berasa seronok dengan kekurangan dan kelemahan orang. Sama ada seseorang itu gemuk, cacat, sumbing, sengau, pekak, bisu dan sebagainya, itu dah memang ditentukan oleh ALLAH SWT,” ujarnya.

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah ada suatu kaum yang mempermain-mainkan kaum yang lain, (kerana) boleh jadi kaum yang dipermaikan itu lebih baik daripada mereka, dan jangan pula ada golongan perempuan yang mempermain-mainkan perempuan yang lain, (kerana) boleh jadi perempuan (yang dipermainkan) itu lebih baik daripada mereka. Janganlah kamu saling mencela satu sama lain, dan janganlah saling memanggil dengan gelaran-gelaran yang buruk. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk (jadi fasik) setelah beriman. Dan barang siapa tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Hujurat, ayat 11)

Bagi mereka yang terlanjur mempersendakan fizikal orang lain, kata Ustaz Haslin, mohon maaflah secara peribadi kepada individu berkenaan atau keluarga tersebut.

“Jika penghinaan itu pernah tular di laman sosial Facebook atau Instagram contohnya, buatlah juga permohonan maaf melalui platform berkenaan,” nasihat beliau.

Sementara itu, pendakwah Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz turut menggulungkan hujahnya buat ‘si penghina’.

HASSAN MAHMUD

Apabila menyaksikan kecacatan atau kelemahan pada fizikal manusia, ujar beliau, seseorang itu seharusnya memanjatkan kesyukuran kepada ALLAH kerana tidak dijadikan sebegitu rupa.

“Sama ada kurang sihat, gemuk, kurus, berkulit gelap atau wajah tidak cantik sekalipun, bersyukurlah. Kita kena ingat bahawa apa yang berlaku itu adalah kehendak ALLAH.

“Jangan kita mengejek-ngejek atau menghina orang lain walaupun individu itu musuh kita, bukan Islam dan sebagainya kerana mereka tetap makhluk-makhluk ALLAH,” ungkapnya.

Seperkara beliau mengingatkan, sekiranya menghina orang lain, bermakna seseorang itu menghina makhluk yang sama dengannya juga.

“Kalaulah yang dihina itu ayah, ibu atau anak kita, adakah kita sanggup berbuat demikian? Sebenarnya, menjadi tugas kita untuk membantunya. Sebab itu kita ada pakar perubatan dan rawatan Islam kerana hendak tolong-menolong dan bukannya caci-mencaci,” kata beliau.

Berdosa

Jelas tokoh pendakwah itu, menjadi tanggungjawab manusia untuk mengelakkan diri daripada kebinasaan. Seandainya ditakdirkan dengan kekurangan itu, sebaiknya lakukan ikhtiar seperti mendapatkan rawatan.

“Kita kena jaga diri kita sendiri daripada bahaya dan elakkan diri daripada mencemuh orang lain kerana kita sendiri pun ada kekurangan.

“Walaupun ada orang tidak boleh bercakap atau tempang sekalipun, percayalah setiap yang ALLAH ciptakan itu ada kelebihannya. Terimalah (kekurangan itu) sebab masa depan kita sendiri pun tidak tahu apa yang akan berlaku kepada kita,” katanya.

Beliau mengajak kita ‘mendekati’ tentang hukum manusia yang menghina dan mengeluarkan perkataan tidak sopan sehingga menyakiti orang lain tentang fizikal mereka.

Agamawan itu menegaskan, barang siapa yang suka merendah-rendahkan orang lain, al-Quran menyebut, ia ibarat seperti memakan bangkai saudaranya yang sudah mati.

“Maka, jauhilah sikap-sikap itu. Jika tidak, boleh jadi berdosa. Ini bukan dosa kecil. Kita mengejek ciptaan ALLAH dan bukan dosa biasa yang memerlukan kita tunaikan solat sunat taubat sahaja (untuk bertaubat).

“Ini kerana ia sebenarnya meninggalkan kesan yang mendalam. Orang yang menghina itu, (sebenarnya) penghinaan tersebut akan berbalik kepada dirinya sendiri. Ia akan mengganggu fikiran, kehidupan dan emosinya. Semua itu akan datang balik kepada kita kerana berbuat sesuatu yang tidak baik. Jadi, jangan sampai ALLAH jatuhkan hukuman istidraj kepada kita,” katanya.

Tegas nasihat beliau. ALLAH akan memberikan hukuman secara berperingkat sama ada di dunia ataupun akhirat. Individu yang melakukan perbuatan itu akan merasainya sebelum dia meninggal dunia.

Perkara itu ada disebutkan dalam sebuah riwayat hadis, jelas beliau.

Apa yang dapat Sinar Islam simpulkan, hakikatnya, gemuk, kurus, hitam, putih, cantik atau tidak fizikal seseorang itu, semuanya adalah ciptaan ALLAH SWT.

Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memberi didikan sempurna kepada anak masing-masing sejak kecil agar tidak merendah-rendahkan orang lain.

Ketahuilah bahawa Islam melarang keras umatnya mempersendakan fizikal orang. Perbuatan itu mendatangkan natijah yang tidak baik bukan sahaja kepada diri sendiri, bahkan orang yang dipersendakan itu.

Boleh membawa kepada perbuatan syirik kecil

Gelaran fizikal yang diberikan kepada anak seperti putih, lebar atau debab sejak kecil perlu dielakkan. Ia tidak boleh dipandang enteng kerana ia dikhuatiri memberi impak kepada pembentukan karakter anak-anak.

Menurut perunding motivasi dan kaunseling keluarga, Dr Robiah K Hamzah, didikan awal bermula dengan pemberian nama. Justeru, nama panggilan begitu penting kerana ia merupakan penanda kepada sahsiah seseorang.

ROBIAH

Ketahuilah bahawa memberi nama yang baik dan memanggil anak dengan nama yang baik itu satu doa, terangnya.

“Ibu bapa jangan gelarkan anak dengan panggilan yang buruk. Usah ambil mudah perkara ini. Gelaran seperti itu boleh jadi ia menghina orang tersebut jika maknanya buruk.

“Sebaiknya, berilah nama anak yang berkah, berkaitan agama, (ada kaitan dengan nama) Rasulullah SAW, sahabat dan tabi’in. Begitu juga dengan gelaran panggilan harian. Ia mestilah difahami maknanya dan digunakan secara baik,” katanya ketika ditemui Sinar Islam di pejabatnya di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Ujar Robiah, sesiapa yang mempersendakan ciptaan ALLAH, maka dia sebenarnya sedang mempersendakan ALLAH yang boleh membawa kepada perbuatan syirik kecil.

“Gurauan yang disebut di media sosial (tentang mempersendakan fizikal manusia) dianggap sebagai tidak sesuai. Ia lebih banyak terarah kepada penghinaan, mencaci, merendahkan dan memalukan orang lain.

“Hakikatnya, nilai cantik itu datang daripada sahsiah, iman, ibadah, komitmen, sumbangan yang kebaikan yang dilakukan oleh seseorang,” jelas beliau.

Siapa pun kita, beliau menitipkan pesan agar segala kekurangan atau kecelakaan ciptaan ALLAH SWT, kita tidak berhak untuk menghina, mencaci atau merendah-rendahkan orang lain.

“Ya, kadangkala kita punyai anggota (badan) yang sempurna, tetapi iman, perangai, kelakuan, akal dan agama tidak sempurna. Jangan sesekali melihat orang lain yang serba kekurangan jika dia kurang cantik atau putih. Sebenarnya, orang itu tidak terkurang apa-apa kalau imannya baik.

“Apa pun, kita dinasihatkan supaya tidak payah cari buruk atau cacat orang lain. Ini kerana cacat itu boleh jadi dalam bentuk fizikal, mental, amal ibadah, harta benda dan ilmu,” nasihat beliau.

Menurutnya, setiap yang ALLAH beri termasuklah kekurangan dari segi fizikal, DIA sebenarnya memberikan kelebihan lain. Justeru, jangan menghina atau mencaci sesiapa pun.

 

Agama, Berita,

Tunai haji, umrah penuh yakin dengan set kelengkapan kebersihan peribadi Tanamera

MENUNAIKAN ibadah haji dan umrah memang menjadi impian setiap umat Islam. Hidup terasa lengkap dan sempurna seandainya dapat menunaikan dua ibadah berkenaan.

Namun, untuk menjejakkan kaki ke Tanah Suci, bukan sahaja kemampuan menjadi ukuran. Persiapan ke sana juga sangat penting. Ia termasuklah kelengkapan penjagaan peribadi.

Menyedari agak sukar untuk mendapatkan produk penjagaan peribadi yang berasaskan bahan semula jadi dan mesra wuduk di pasaran, Tanamera Malaysia mencari penyelesaian dengan mengeluarkan set kelengkapan kebersihan peribadi berasaskan 100 peratus bahan semula jadi yang dikenali sebagai Set Kembara Haji dan Umrah Tanamera.

Menurut pengasas bersama jenama itu, Faridah Ahmad Fadzil, set lengkap tersebut merangkumi lima produk penting iaitu semburan air suling untuk wuduk; pembersih semua dalam satu untuk muka, badan dan rambut; krim pelembut kulit; semburan pembasmi kuman serta salap bibir Green Kisses Tanamera.

Menariknya, semua produk berkenaan didatangkan dalam saiz dan isipadu di bawah 100 mililiter yang boleh dibawa ketika dalam penerbangan, jelas beliau.

“Apa yang penting, semua set produk berkenaan disahkan halal dan 100 peratus menggunakan bahan semula jadi serta tidak menggunakan pewangi.

“Ia memang direka khas berdasarkan syarat-syarat haji dan umrah. Jadi, semua rangkaian produk ini boleh digunakan tanpa waswas. Untuk menunaikan ibadah, kita kena pastikan sebarang produk yang digunakan adalah sah untuk tujuan tersebut,” katanya pada majlis pelancaran Set Kembara Haji dan Umrah Tanamera di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya Selangor sebentar tadi.

Tanamera

SET Kembara Haji dan Umrah Tanamera direka berdasarkan syarat-syarat sah haji dan umrah.

Berdasarkan rekod, jenama Tanamera yang diasaskab sejak tahun 1993 di Malaysia terkenal dengan rangkaian produk yang diperbuat daripada bahan semulajadi dari hutan hujan tropika.

Sehingga kini, Tanamera mempunyai sebanyak 150 unit menyimpan stok di bawah jenama berkenaan.

Set Kembara Haji dan Umrah Tanamera dijual pada harga RM88 yang boleh didapati di tujuh cawangan Tanamera, selain dibeli menerusi platform e-dagang secara online.

Tanamera

DARI kiri, pengasas bersama jenama Tanamera, Mohamad Faisal Ahmad Fadzil dan Faridah melancarkan Set Kembara Haji dan Umrah Tanamera di Petaling Jaya pada hari ini.