Trend mansuh ‘bin’ dan ‘binti’ pada nama anak, sila hadam penjelasan mufti
BAGI ibu bapa di luar sana, pilihlah nama-nama yang elok untuk anak anda kerana ia termasuk salah satu sunnah Nabi Muhammad SAW yang sangat dituntut.
Daripada Abu Darda RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya pada hari kiamat kelak, kamu semua akan dipanggil (mengadap ALLAH SWT) dengan nama-nama kamu nama-nama bapa kamu. Oleh itu, perelokkanlah nama-nama kamu.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Dalam pada itu, pemilihan nama yang baik begitu disarankan kerana boleh mempengaruhi sifat peribadi dan akhlak anak kecil tersebut apabila dia membesar sebagai seorang Muslim.
Pun begitu, tular di media sosial terkini tentang trend ibu bapa sekarang yang tidak mahu meletakkan ‘bin’ atau ‘binti’ pada nama anak ketika mendaftarkan kelahiran.
Jika dilihat kepada syarat permohonan dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara, sebenarnnya tidak ada syarat yang mewajibkan untuk ‘bin’ atau ‘binti’ ini diletakkan dalam nama anak.
Namun, jika penjaga mahu menggugurkan perkataan ‘bin’ dan ‘binti’ pada nama anak, mereka perlu mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara.
Terbaharu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjelaskan perkara berkenaan dalam sebuah penulisan di portal milik pihaknya, iaitu Bayan Linnas, Siri Ke-267.
Menurut laman web tersebut, dari aspek adat setempat memang sejak dahulu di Malaysia, setiap nama bagi individu muslim akan diletakkan ‘bin’ atau ‘binti’ berpandukan tradisi perletakan nama dan nasab para Rasul, Sahabat dan seluruh ulama Islam.
Jadi, tidak benar tanggapan sebahagian masyarakat yang mengatakan bangsa Arab sendiri tidak menggunakan perkataan tersebut dalam nama mereka sedangkan ianya masih ada sehingga hari ini kerana bangsa Arab merupakan bangsa yang amat mementingkan asal usul keturunan mereka.
Jaga sistem sosial
Jelas pihak Mufti, apa yang diamalkan oleh masyarakat Islam di Malaysia adalah selari dengan amalan bangsa Arab dan dikira sebagai ‘uruf (adat setempat).
Namun, dalam konteks Islam, nasab dan keturunan merupakan perkara penting yang perlu dipelihara dengan baik demi menjaga sistem sosial dalam masyarakat.
Jika tidak, ia boleh menyebabkan kerosakan terhadap institusi kekeluargaan kerana boleh mengelirukan susur galur keturunan selain ia juga akan menimbulkan fitnah dan masalah terhadap pembahagian harta pusaka.
Meskipun tanpa meletakkan ‘bin’ atau ‘binti’ tidak akan merosakkan institusi kekeluargaan dan tidak jejaskan nasab, namun akibat normalisasi amalan ini kelak akan mengakibatkan penyalahgunaan sebahagian individu yang ada berniat jahat.
Dalam konteks ini, contoh yang diberikan adalah sekiranya tiada ‘bin’ atau ‘binti’, seseorang boleh membuat helah bagi menyembunyikan status anak angkatnya.
Sebagai kesimpulan, tidak meletakkan ‘bin’ atau ‘binti’ pada nama anak ketika pendaftaran adalah sah di sisi undang-undang, namun dari segi syarak meletakkan ‘bin’ dan ‘binti’ adalah penting.
Hal ini adalah bagi menjaga institusi kekeluargaan masyarakat Islam daripada sebarang kerosakan seperti yang disebutkan di atas.