MAJLIS Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-62, tahun ini kembali disambut dengan meriah selepas dua tahun tertangguh akibat pandemik Covid 19.
Selari dengan tema yang digunakan ‘keluarga Malaysia pemangkin kemakmuran’ berteraskan kepada tiga konsep utama iaitu keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.
Program yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) akan berlangsung selama enam hari bermula 19 sehingga 24 Oktober 2022 bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Penyertaan untuk Majlis Tilawah dan Hafazan Peringkat Antarabangsa pada kali ini disertai oleh 36 orang peserta dari seluruh dunia dan diwakili 28 buah negara yang akan memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran secara bertarannum.
Kebiasaannya penganjuran MTHQA melibatkan dua kategori iaitu pertandingan tilawah al-Quran secara tartil dan pertandingan hafazan al-Quran 30 juzuk, namun penganjuran kali ini berbeza apabila hanya mempertandingkan satu kategori iaitu tilawah al-Quran sahaja.
Program yang bertaraf antarabangsa ini juga telah menggunakan tiga bahasa utama iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan bahasa Arab yang dikemudi oleh Ustaz Ameer Azeezy Tuan Abdullah, Ustaz Majdi Mohamad Nor dan Ustaz Ahmad Nazri Mohd.
Turut hadir dalam majlis pembukaan MTQHA, YB Senator Datuk Haji Idris Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, YB Datuk Haji Ustaz Marzuk Shaary, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan YBhg. Datuk Hajah Hakimah binti Mohd Yusoff, Ketua Pengarah JAKIM.
MTHQA juga turut menampilkan kelainan pada kali ini dengan menggunakan teknologi sistem tiga dimensi (3D) grafik realiti diperkukuhkan iaitu (AR).
Menurut Penerbit MTHQA, Suhardi Said, teknik AR ini pertama kali digunakan untuk pertandingan di peringkat antarabangsa bagi meraih perhatian dan menyentuh jiwa penonton dalam mendalami tadabbur ayat-ayat suci al-Quran.
Istimewa tahun ini, selain menghayati bacaan Al-Quran oleh para Qari dan Qariah, JAKIM turut membuat inovasi persembahan penyampaian ibrah dengan teknik kesan visual augmented reality (AR) oleh Ustaz Mohd Hariri bin Mohammad Daud, Ustaz Mohd Radhi bin Abdul Ghani, Ustazah Nazirah binti Abu Bakar dan Ustazah Ayesha Ariffin.
Foto : JAKIMĀ