SEDEKAH Subuh begitu sinonim pada halwa telinga kita. Masakan tidak, saranan tersebut sering kali diungkapkan oleh masyarakat di sekeliling sehinggakan ramai yang membuat perkongsian di media sosial masing-masing bercerita tentang kebaikannya.
Justeru, tidak hairanlah jika ramai dalam kalangan kita memilih untuk melakukan sedekah Subuh.
Ya, tidak salah memberikan galakan dan motivasi sedemikian supaya ramai yang berlumba-lumba untuk menginfakkan harta pada jalan ALLAH SWT.
Namun begitu, apa yang khilafnya apabila ada pihak yang menganggap seolah-olah Subuh adalah waktu paling afdal untuk bersedekah berbanding masa lain.
Ketahuilah bahawa tiada satu pun nas waima dalam al-Quran mahupun hadis yang menyebutkan istilah khusus ‘sedekah Subuh’.
Demikian fakta yang dipetik daripada laman web Konsultasi Syariah.
“Dalil-dalil tentang sedekah yang kami ketahui mengandungi motivasi untuk berinfak dan bersifat umum. Pendek kata, ia tidak menyebut secara langsung waktu khusus untuk bersedekah,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Konsultasisyariah.com.
Antara hadis yang menganjurkan amalan tersebut adalah anjuran supaya menyegerakan bersedekah kerana bala bencana tidak mampu mendahuluinya. Meskipun Hadis Riwayat Imam at-Tabarani dalam Mu’jam al-Ausath itu berstatus dhaif jiddan (lemah sekali), namun ada satu hadis sahih yang hampir sama maknanya dengan riwayat tersebut.
Hadis sahih yang dimaksudkan diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tiada satu pagi (hari) pun yang dilalui seorang hamba melainkan akan ada dua malaikat turun dan berdoa, ‘Ya ALLAH! Berikan kepada pemberi sedekah ganti (sedekahnya)’, manakala malaikat satu lagi berdoa, ‘Ya ALLAH! Berikan kepada orang yang menahan (sedekah dan kedekut) kemusnahan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Portal Konsultasisyariah.com menjelaskan, hadis tersebut tidak menunjukkan anjuran yang mengkhususkan sedekah dilakukan pada waktu Subuh.
“Ia hanya menyebut bahawa dua malaikat berdoa pada waktu pagi bagi orang yang bersedekah pada hari berkenaan. Tidak sekadar memfokuskan kepada orang yang bersedekah pada waktu Subuh,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web berkenaan.
Baca juga Utamakan sedekah pada keluarga dahulu, berikut 10 fadilat melaksanakannya
Infak pada bila-bila masa
Pandangan yang sama turut dilontarkan oleh pendakwah, Ustaz Muhammad Fahmi Rusli menerusi Twitter miliknya.
Merujuk kepada hadis doa malaikat pada waktu pagi itu, sebenarnya tidak terdapat sebarang petunjuk jelas yang mengekhaskan amalan sedekah waktu Subuh.
Ujar beliau, kenyataannya adalah dua malaikat itu turun pada waktu Subuh dan salah satunya mendoakan gantian yang baik daripada ALLAH kepada orang bersedekah.
“Ini sebenarnya meliputi orang yang bersedekah pada bila-bila masa baik Subuh, petang atau malam. Doa itu tidak terkhusus kepada mereka yang melakukan sedekah pada waktu Subuh sahaja.
“Ia juga dapat difahami dengan melihat kepada doa yang berikutnya. Apakah mereka yang menahan hartanya daripada bersedekah pada waktu Subuh sahaja yang termasuk dalam doa malaikat agar ALLAH binasakan hartanya?
“Ini menunjukkan bahawa (sifat) kedekut dan bakhil dengan harta tidak dianggap mempunyai keburukan yang lebih pada waktu Subuh berbanding waktu-waktu lain.
Baca juga Ini Kelebihan Sedekah Secara Sembunyi Yang Ramai Mungkin Tidak Sedar
“Sama juga halnya bahawa bersedekah harta tidak dianggap mempunyai keutamaan yang lebih pada waktu Subuh, berbanding dengan masa-masa lain,” katanya menjelaskan tentang isu sedekah Subuh.
Menyambung hujahnya, Ustaz Muhammad Fahmi yang juga Pegawai Hal Ehwal Islam, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan menjelaskan, selain waktu Subuh, malaikat juga turun pada waktu Maghrib.
Ia sebagaimana dinyatakan dalam hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Dan tidak terbenam matahari melainkan pada dua sudutnya terdapat dua malaikat yang menyeru: ‘Ya ALLAH, berikanlah gantian kepada orang yang menginfakkan (hartanya). Dan berikanlah kebinasaan kepada orang yang menahan hartanya (kedekut dan bakhil).” (Hadis Riwayat Ibn Hibban dalam Sahih Ibn Hibban)
Meskipun demikian, riwayat berkenaan sama sekali tidak mendatangkan satu istilah baharu iaitu ‘sedekah Maghrib’.
Secara tuntasnya, pendakwah itu menegaskan, infak merupakan suatu kebaikan yang besar dan boleh dilakukan pada bila-bila masa.
Baca juga 6 kehebatan iringi Muslim yang bersedekah
“Tidak ada waktu yang mengatasi fadilat waktu yang lain dari sudut ini.
“Adapun, dari sudut bersedekah dalam bulan Ramadan atau bulan-bulan haram atau di dua tanah haram, maka ada perbezaan di sini kerana telah sabit nas bahawa ganjaran beramal soleh menjadi lebih besar apabila dilakukan dalam waktu berkenaan,” ungkapnya.
Kepada mereka yang berhajat untuk bersedekah, lakukanlah sekarang. Ini kerana kita sendiri tidak tahu apa yang bakal terjadi selepas ini.
Usah melengah-lengahkan amal kebaikan. Barangkali ini sahaja saat dan kesempatan yang ada sebelum kita dipanggil menemui Sang Pencipta.
Rasulullah SAW pernah didatangi oleh seorang lelaki bertanyakan tentang sedekah yang paling besar pahalanya.
Baginda SAW bersabda: “Kamu bersedekah ketika kamu dalam keadaan sihat dan kikir, takut menjadi fakir dan berangan-angan jadi orang kaya. Maka janganlah kamu menundanya hingga tiba nyawamu berada di halkum. Lalu kamu berkata, yang ini milik si polan dan yang itu milik si polan. Padahal harta itu sudah menjadi milik si polan (ahli warisnya).” (Hadis Riwayat al-Bukhari)