JIKA terlupa baca doa makan, jangan terus tinggalkan begitu sahaja. Sebenarnya, Islam ada solusi bagi menggantikan lafaz doa yang ‘terlajak’ tanpa disengajakan.
Ketahuilah bahawa Nabi Muhammad SAW begitu mementingkan adab dalam setiap tindak-tanduk yang dilakukan. Malah, baginda sering kali mengingatkan umatnya supaya melakukan semua perkara kerana ALLAH dan memuji-NYA.
Sabda Rasulullah SAW: “Setiap perkara yang tidak dimulai dengan memuji ALLAH, makan amalan tersebut akan terputus.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Baca juga Sunnah tutup makanan dan minuman walaupun dengan sebatang kayu, ini sebab-sebabnya
Melihat ungkapan hadis berkenaan, kita diingatkan untuk memulakan setiap perbuatan yang dilihat penting dengan kalimah ALLAH SWT terlebih dahulu.
Maka, tidak hairanlah apabila tiba waktu bersantap, doa makan akan didahului sebagai pembukaan aktiviti oleh umat Islam.
Namun, tahukah anda bahawa asal usul doa sebelum makan sebenarnya adalah doa yang dibaca selepas makan? Ini kerana ia mengandungi pujian kepada ALLAH SWT berkenaan nikmat dan rezeki yang dikecapi. Demikian fakta yang dipetik menerusi portal Tzkrh.
Seperti yang disiarkan oleh laman web berkenaan, para ulama mengatakan bahawa sanad daripada riwayat doa itu adalah sahih, namun ia adalah doa yang lebih sesuai dibaca selepas makan kerana ucapan pujiannya lebih sesuai dibaca selepas menjamah makanan. (Rujuk Ibnu ‘Abd al-Barr, Al-Istizkar, jilid 8, hlm. 387)
Sebenarnya, baginda SAW tidak pernah memberatkan umatnya untuk membaca doa khusus sebelum makan. Bahkan, memadailah dengan hanya membaca basmalah (Bismillahir Rahmanir Rahim).
Baca juga Makan berlebihan menyerupai orang kafir dengan 7 perut. Otak lemah, malas beribadah
Hal ini ada disebutkan dalam beberapa riwayat, contohnya Nabi SAW pernah bersabda, “Bacalah Bismillah, makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah makanan yang paling hampir denganmu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Begitu pun, tidak salah untuk mengamalkan bacaan doa makan sebagaimana yang biasa dilafazkan kerana ia mengandungi maksud yang baik.
Paling penting, kita mendahulukan perbuatan makan itu dengan nama ALLAH yang mengurniakan rezeki tersebut.
Baca juga Organ dalaman haiwan tidak boleh dimakan? Ini hukumnya yang wajib kita tahu
Pun demikian, bagaimana jika anda terlupa membaca basmalah ataupun doa makan? Apa yang boleh dilakukan?
Sabda Nabi Muhammad SAW: “Sekiranya seorang daripada kamu hendak makan, sebutlah nama ALLAH (Bismillah). Sekiranya dia terlupa (menyebut nama ALLAH) pada awal (mula makan), maka sebutlah ‘Bismillahi awwaluhu wa akhirahu’ (Dengan nama ALLAH pada awal dan akhirnya).” (Hadis Riwayat Tirmizi)
Jadi, melalui hadis di atas, dapat difahami bahawa ungkapan yang boleh diganti jika anda tertinggal doa makan atau basmalah sedangkan anda sudah makan hampir separuh daripada hidangan tersebut, bolehlah membaca:
بِسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ
Maksudnya: “Dengan nama ALLAH aku memulakannya dan mengakhirinya.”
Baca juga Apabila penghantar makanan hantar sajian tidak halal…
Oleh itu, jangan lupa membaca basmalah sebelum makan sebagai tanda pujian kepada Tuhan YANG MAHA PEMBERI REZEKI di samping menjauhkan syaitan daripada makan bersama-sama kita.
Diceritakan oleh salah seorang sahabat, “Rasulullah SAW pernah duduk dan ada seorang lelaki sedang makan tetapi tidak membaca nama ALLAH sehinggalah tidak tinggal daripada makanannya melainkan satu suapan sahaja.
Kemudian, tatkala dia mengangkat suapan terakhir tersebut ke dalam mulutnya, dia membaca, ‘Bismillahi Awwaluhu wa Akhiruhu’ (Dengan nama ALLAH pada awal dan akhirnya).
Nabi Muhammad SAW ketawa dan kemudiannya bersabda : “Syaitan terus makan bersamanya, kemudian apabila dia menyebut nama ALLAH, syaitan itu memuntahkan semula apa yang ada di dalam perutnya (yang dimakan).” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Sumber: Tzkrh & Irsyad al-Fatwa Siri ke-381: Memadaikah membaca basmalah al-Rahman al-Rahim sebelum makan?
Foto: Pexels & Freepik