BERI ular peliharaan makan kucing? Kedengaran agak pelik, namun itulah hakikat yang berlaku dalam masyarakat hari ini apabila manusia sudah hilang kewarasan.
Tular sejak semalam menerusi satu ciapan di Twitter apabila seorang lelaki memaklumkan dia memberi ular peliharaannya makan seekor anak kucing.
Kegiatan lelaki itu terbongkar menerusi perkongsian tangkap layar di Twitter oleh akaun @vvnloll yang terkejut apabila seorang lelaki mendedahkan dia mengambil anak kucing atau arnab secara percuma untuk diberi makan ular peliharaannya.
Antara ciapan yang dimuatnaik oleh lelaki tersebut adalah “Saya dan kawan sentiasa pergi mendapatkan anak kucing percuma (atau arnab) untuk diberikan kepada ular kami…
“Betul diorang cakap diorang pencinta ular, tapi diorang langsung tak peduli hal ular. Kesian ular diorang makan benda sama ja. Ada sekali dapat adopt free kitten British shorthair, fuhh paling berselera ular saya,” kata lelaki itu di Twitter.

KEBANYAKAN warganet mengecam tindakan lelaki tersebut.
Malah, dia itu turut berkongsi perasaan teruja setiap kali melihat ularnya melahap anak kucing.
Menjengah ruangan komen, rata-rata warganet mengecam tindakan lelaki tersebut dan memohon pihak berkuasa mengambil tindakan kerana menganggap ia penganiayaan terhadap haiwan.
BACA JUGA Jangan eksploitasi kucing demi kepentingan peribadi
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengesahkan menerima aduan berhubung tindakan seorang lelaki di Twitter yang mencari anak kucing untuk dijadikan makanan kepada ular peliharaannya.
Ketua Pengarah JPV, Dr Akma Ngah Hamid, dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima aduan itu dan ia dipanjangkan ke Seksyen Kebajikan Haiwan.
“Saya ambil maklum. Aduan juga diterima melalui emel jabatan dan dipanjangkan ke Seksyen Kebajikan Haiwan. Sekiranya ada aduan melibatkan kebajikan haiwan, mohon membuat aduan terus melalui sistem MyAnimalWelfare,” katanya.

KETUA Pengarah JPV, Dr Akma Ngah Hamid, dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima aduan itu.
Jangan aniaya haiwan baik yang halal atau haram
Seterusnya memetik kenyataan Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad menjelaskan bahawa berdosa menganiaya haiwan sama ada binatang haram atau yang halal dimakan atau disentuh bagi orang Islam.
BACA JUGA Bela ular atau binatang liar, apakah hukumnya?
Menurutnya, semua haiwan perlu dikasihani melainkan yang membahayakan nyawa maka dibolehkan untuk membunuhnya.
“Tidak kira haiwan itu halal atau haram bagi umat Islam, asalkan ia tidak mengancam kita maka tidak boleh diseksa atau dicederakan.
“Hukum jika melakukan perkara tidak perikemanusiaan itu adalah berdosa kerana menganiaya binatang.
“Jika binatang berbahaya yang mengganas sehingga mengancam nyawa, lebih baik terus dibunuh tanpa mencederakan sehingga boleh menyiksanya,” katanya.