TANAM haiwan sudah mati… Ini yang perlu kita tahu.
Perasaan sedih menyelubungi diri tatkala kehilangan insan kesayangan yang pergi menemui Pencipta-NYA. Begitu jugalah perasaan yang dilalui saat kehilangan haiwan kesayangan buat selama-lamanya.
Kadangkala emosi kita pula berlebih-lebihan ketika itu. Masakan tidak, haiwan berkenaan misalnya kucing sudah dibela sejak kecil hingga besar.
Justeru, apabila haiwan itu hilang sekelip mata, rasa sebak dan pilu sangat dirasai. Apatah lagi mengenangkan telatah comelnya yang tidak boleh lagi dilihat sampai bila-bila.
Disebabkan itulah kebanyakan daripada kita pasti akan menanam haiwan peliharaan yang sudah meninggal dunia.
Baca juga Tak Boleh Sakiti Haiwan, Sekalipun Ia Haram Dimakan Atau Disentuh
Dalam hal ini, adakah hukum pengurusan bangkai haiwan itu sama seperti jenazah manusia? Apakah pandangan Islam mengenainya?
Menjawab persoalan itu, pada dasarnya, tiada hukum khas dalam menguruskan bangkai haiwan sebagaimana kita menguruskan jenazah manusia.
Ia sama ada urusan mandi, mengkafankan ataupun pengebumiannya. Malah, tidak terdapat ayat al-Quran atau hadis yang jelas berkaitan dengannya.
Sekalipun urusan menanam bangkai haiwan berkenaan tidak disyariatkan kewajipannya dalam agama Islam, namun kita perlu melihatnya dari sudut manfaat kepada manusia juga.
Bayangkan jika bangkai haiwan itu dibiarkan begitu sahaja tanpa ditanam, ia boleh mengundang kemudaratan kepada manusia dan makhluk-makhluk lain.
Baca juga Organ dalaman haiwan tidak boleh dimakan? Ini hukumnya yang wajib kita tahu
Apa tidaknya, bangkai haiwan yang tidak ditanam akan mereput dan boleh menyebarkan kuman seperti bakteria ataupun virus. Natijahnya, ia boleh memberi mudarat penyakit kepada manusia, selain pencemaran bau dan pemandangan yang kurang menyenangkan.
Apatah lagi, jika semua itu berlaku di kawasan awam seperti masjid, kawasan perumahan dan sebagainya.
Mahu atau tidak, perkara yang mendatangkan kemudaratan kepada manusia itu mestilah dijauhkan.
Maka, dalam situasi berkenaan, hukum menanam bangkai haiwan tersebut jatuh kepada hukum wajib. Maka, perlulah ditanam haiwan tersebut atau dikebumikannya dengan baik.
Ketahuilah, perkara ini berkait rapat dengan salah satu kaedah usul fiqh iaitu menutup jalan yang membawa kepada kemudaratan atau kerosakan.
Justeru, disyariatkan agar ditanam bangkai haiwan atas sebab menghilangkan kemudaratan ke atas manusia dan bukannya semata-mata kerana kematiannya.
Begitupun, seandainya ia tidak mengganggu manusia atau memberikan kemudaratan kepada kita, maka tidak wajib untuk kita menanamnya.
Sebaiknya, menanam bangkai haiwan berkenaan adalah langkah yang terbaik kerana beberapa faktor yang sudah dijelaskan tadi.
Renungkanlah sabda Rasulullah SAW ini: “Iman itu ada 70 lebih atau 60 lebih cabang. Yang paling utama adalah perkataan La ilaha illallah (Tiada tuhan yang berhak disembah selain ALLAH) dan yang paling rendah adalah menyingkirkan gangguan-ganguan yang menyakitkan di jalanan. Sifat malu adalah sebahagian daripada iman.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Tidak kiralah sama ada bangkai haiwan berkenaan adalah haiwan peliharaan kita atau bukan, sebaiknya tanamlah demi kebaikan kita dan manusia di sekelilingnya.
Semoga ALLAH SWT menerima segala amal kebaikan yang kita lakukan dalam memudahkan urusan orang lain.
Tanam haiwan sudah mati… Ini yang perlu kita tahu
Sumber: Al-Kafi #1486: Hukum Menanam Bangkai Haiwan, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan