SAMA ada institusi masjid terlibat dikenakan tindakan atau tidak, semua itu terpulang kepada pihak berkuasa agama negeri.
Demikian respons Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad ketika ditanya tentang insiden sumpah laknat membabitkan seorang pemimpin di sebuah masjid di Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Itu bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri,” katanya ringkas ketika ditemui pada Majlis Amanat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Penyampaian Surat Tawaran kepada Pelajar Baharu Tajaan Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Bandar Baru Bangi, Selangor pada Khamis.
Dalam hal itu, isu sumpah berkenaan tidak mempengaruhi hakim dan badan perundangan.
“Sama juga dengan kita pihak eksekutif. Kita tidak campur tangan jika melibatkan soal badan kehakiman,” katanya.
Isu berkaitan sumpah hangat diperkatakan kebelakangan ini kerana ia dilakukan di masjid, tempat umat Islam beribadah.
Sementara itu, ketika ditanya tentang kes wanita tunai umrah sebagai lelaki, Idris berkata, pihaknya setakat ini masih belum menerima laporan tentang keberadaan individu berkenaan.
“Setakat ini, kami tidak menerima laporan di manakah individu itu duduk. Hanya kerajaan negeri atau pihak berkuasa agama negeri boleh bertindak kepada si pelaku kalau dia duduk di situ (negeri berkenaan). Misalnya, kalau (tinggal) di Selangor, (pihak berkuasa agama di) Selangorlah yang mengambil tindakan.
“Ia sepertimana apabila kita mendapat (aduan) kes (ajaran sesat) Hadi Minallah, kejadian itu berlaku di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, jadi kita minta supaya Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan yang mengambil tindakan,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, fahaman sesat itu memerlukan fatwa terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil.
“Kita tidak boleh ambil tindakan tanpa keputusan fatwa,” katanya.
Pada majlis itu, Idris menyampaikan surat tawaran tajaan SPH kepada 75 pelajar termasuk dua orang penerima Anugerah Perdana Menteri Darul Quran melibatkan peruntukan sebanyak RM1.061 juta pada tahun ini.
Jelas beliau, semua penerima yang melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda dan Sarjana itu terdiri daripada pelbagai bidang termasuklah pengajian Islam, qiraat, perubatan, farmasi, kejuruteraan komputer, foto media kreatif, ekonomi, matematik dan psikologi kaunseling di institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara.
“Pada tahun ini, seramai 334 pemohon skim SPH dan hanya 75 orang sahaja terpilih selepas menjalani saringan ketat termasuk temuduga. Malah, mereka yang mahu memohon skim ini diwajibkan supaya menghafaz 30 juzuk al-Quran.
“Kita mengharapkan mereka akan menjadi ulama dan huffaz profesional serta duduk bersama-sama dengan masyarakat dengan membawa al-Quran dalam diri mereka,” jelasnya.
Diperkenalkan pada tahun 2012, Idris berkata, SPH merupakan satu-satunya biasiswa khusus kepada para huffaz al-Quran dengan kepelbagaian bidang.
“Sehingga kini, seramai 1,252 penerima mendapat manfaat daripada skim berkenaan.
“Jakim membelanjakan hampir RM7 juta setiap tahun bagi membiayai para penerima SPH sedia ada dan penerima baharu,” katanya.