SELEPAS sebulan ditangguhkan buat sementara waktu, akhirnya umat Islam di Malaysia kembali dibenarkan untuk menunaikan ibadah umrah bermula 8 Februari ini.
Demikian berita baik yang diumumkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Video Kempen Dream Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.
Ujar beliau, keputusan itu diambil oleh Kabinet kerana kerajaan tidak berhasrat memanjangkan tempoh penggantungan perjalanan ibadah berkenaan sejak 8 Januari lalu ekoran penularan jangkitan varian Omicron Covid-19.
“Baru tadi (semalam) kami (Kabinet) sudah membuat keputusan. Kita tidak mahu memanjangkannya lagi (tempoh penggantungan), jadi apabila 8 Februari ini nanti, bolehlah ejen-ejen pelancongan umrah meneruskan aktiviti umrah masing-masing,” katanya sebagaimana dipetik daripada Bernama.
Baca juga 11 Amalan Yang Pahalanya Setara Seperti Tunaikan Haji, Umrah
Berhubung prosedur operasi standard (SOP) perjalanan menunaikan ibadah berkenaan, Nancy menjelaskan, ia masih lagi sama sepertimana sebelum ini. Antara lain, jemaah perlu mengambil dos penggalak sebelum berangkat ke tanah suci.
“SOP dari dulu sama. Tinggal (cuma) hanya ada beberapa SOP baharu untuk mereka (jemaah) dan itu akan dibincang bersama pihak ejen pelancongan umrah. Jadi SOP yang terperinci akan dibincang selanjutnya,” katanya.
Keputusan penggantungan ibadah umrah sebelum ini diumumkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada 1 Januari lalu.
Ia susulan penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan jemaah umrah yang membimbangkan.
Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan Malaysia, seramai 11,108 jemaah umrah telah tiba di Malaysia sehingga 30 Disember 2021 sejak kumpulan pertama berlepas ke Tanah Suci bermula 13 Oktober 2021.
Daripada jumlah itu, 1,306 orang atau 11.76 peratus telah dikesan positif Covid-19 yang 592 orang didapati positif pada ujian pertama semasa hari ketibaan di Malaysia, manakala baki 714 kes lagi positif pada ujian kedua yang dijalankan pada hari kelima kuarantin.