KEWAJIPAN solat yang hanya mengambil masa kurang 10 minit untuk ditunaikan tidak akan jejaskan urusan seseorang.
Mana mungkin tempoh sesingkat itu akan mengganggu usaha atau apa-apa urusan seseorang jika dibandingkan dengan faedah yang bakal diperoleh daripada ibadah berkenaan.
Demikian reaksi Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor ketika diajukan persoalan berkaitan ibadah berkenaan yang didakwa mengganggu prestasi kerja.
Jelas beliau, sama ada orang Islam ataupun bukan Muslim, semua perlu tahu bahawa solat fardu lima waktu wajib ditunaikan oleh penganut agama suci itu yang berakal dan baligh (cukup umur dan matang).
“Berdosa jika kewajiban tersebut ditinggalkan.
“Hakikatnya, masa yang dihabiskan untuk berborak dan berbual-bual kosong lebih banyak daripada waktu untuk mengerjakan solat lima waktu. Ini sepatutnya yang perlu ditegur atau dikritik kerana boleh menjejaskan prestasi seorang atlet atau pekerja,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus pada Selasa.
Baca juga Wajib qada solat walaupun sudah puluhan tahun tinggalkan
Topik berkaitan solat menjadi hangat susulan kenyataan berbaur perkauman dan menyentuh perihal kewajipan umat Islam oleh bekas pemain pelapis percubaan badminton kebangsaan, Bong Guang Yik menerusi akaun TikTok miliknya baru-baru ini.
Bagaimanapun, bekas pemain tersebut sudah membuat permohonan maaf melalui akaun media sosial miliknya.
Kenyataan tersebut dibidas oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mengecam sekeras-kerasnya ucapan perkauman dan pertikaian agama yang dibangkitkan walaupun sudah memohon maaf.
Malah, beliau percaya bahawa ibadat agama tidak pernah mengganggu prestasi atlet dan sukan.
Dalam pada itu, Dr Wan Salim menegaskan, solat yang merupakan Rukun Islam kedua itu sebenarnya memberi manfaat kepada pelakunya dalam membentuk peribadi seseorang hasil daripada keakraban hubungannya dengan Tuhan MAHA PENCIPTA.
Andai ibadah itu dikerjakan dengan cara yang betul seperti yang disarankan dalam syariat, maka ia pasti meninggalkan kesan yang positif di dalam diri seorang Muslim, ungkapnya.
“Seorang yang tekun menunaikan solat tidak akan sanggup melakukan perkara-perkara yang boleh merosakkan dirinya dan orang lain.
Sebaliknya, mereka akan bersifat jujur, benar dan amanah.
“Sifat-sifat sedemikian adalah penting dan diperlukan untuk kejayaan dan kemajuan masyarakat dan negara,” katanya.
Malah, agamawan itu menjelaskan, solat juga mampu menjana semangat seseorang Muslim ke arah memacu kecemerlangan dalam bidang kerjaya yang diceburi.
“Pengalaman dan pemerhatian membuktikan bahawa seorang yang tekun menunaikan solat dan ibadah lain seperti disarankan dalam agama Islam, tidak menjejas prestasi pekerjaan yang dilakukan oleh seorang Muslim.
“Malah daripada ibadah inilah seseorang Muslim memperoleh semangat dan motivasi untuk terus berusaha dan berjuang bagi mencapai kejayaan dalam kehidupannya,” ujar beliau.
Sebelum mengakhiri bicaranya, Dr Wan Salim mengingatkan agar masyarakat berhati-hati dalam percakapan sama ada secara lisan mahupun tulisan. Lebih-lebih lagi ia diperlukan dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia.
“Pastikan setiap ucapan atau tulisan yang ingin dikeluarkan oleh seseorang perlu mengambil kira sensitiviti mana-mana kaum supaya tidak mengeruhkan kejernihan dalam hubungan antara sesama warganegara.
“Ingatlah peribahasa Melayu ada menyebut Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Justeru, berwaspadalah ketika ingin melontarkan pandangan dan mempertimbangkan semula impaknya sama ada memberi kesan baik atau buruk terhadap masyarakat di sekeliling,” titipnya.