SETELAH hampir dua tahun melalui kes perbicaraan mahkamah, pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali telah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella.
Hakim Izralizam Sanusi membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Siti Bainun, 31, di akhir kes pembelaan.
Mengikut pertuduhan, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kini sedang mendengar hujahan mitigasi pendakwaan dan pembelaan berhubung keputusan itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria dan Shakira Aliana Alias manakala Siti Bainun diwakili peguam Mohammad Farhan Maaruf.
Islam tidak pernah menyisihkan golongan OKU
Islam merupakan rahmat buat sekalian insan. Islam tidak pernah menyisihkan golongan OKU atau mengasingkan mereka.
Bahkan terdapat banyak gesaan di dalam al-Quran yang memberikan perhatian kepada golongan yang kurang upaya.
Baca Juga Menipu namanya kalau mendobi atau main di funfair guna token yang dibeli di Shopee
Firman ALLAH di dalam Surah Al-Fath ayat 17 “Tidaklah menjadi salah kepada orang buta, dan tidaklah menjadi salah kepada orang tempang, dan tidaklah menjadi salah kepada orang sakit (tidak turut berperang, kerana masing-masing ada uzurnya). Dan (ingatlah), sesiapa yang taat kepada ALLAH dan Rasul-NYA, akan dimasukkan-NYA ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan sesiapa yang berpaling ingkar, akan diseksa-NYA dengan azab yang tidak terperi sakitnya”.
Seperti dikongsi Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (Hadi Almaghribi), penceramah bebas dan selebriti TV Al-Hijrah, anak-anak istimewa adalah rahmat daripada ALLAH, kita seharusnya santuni dan menabur kasih sayang bukannya menzalimi mereka.
Jelas beliau, ini kerana asbab kekurangan yang dia milikilah maka sewajibnya kita yang menjadi benteng bagi melindungi anak-anak istimewa daripada ditindas dan dipermainkan.
“Sebagaimana hadis yang diriwayatkan Rasulullah SAW “Bantulah saudaramu yang zalim dan juga yang dizalim” (Hadis Riwayat Bukhari)
“Dalam hadis di atas, kita sedia maklum bahawa Baginda menyuruh untuk kita membantu orang yang ditindas.
“Maka kita faham adalah sepatutnya kita membantu dan menolong orang yang dizalimi tetapi kenapa Baginda Rasulullah memerintahkan supaya kita juga membantu orang yang zalim?
“Rasulullah telah menafsirkan atau menjelaskan makna hadis di atas dengan menolong orang yang melakukan kezaliman di sini adalah dengan cara mencegahnya daripada perbuatan yang zalim. Ini kerana, jika dibiarkan begitu saja, ia akan terus melakukan kezaliman tersebut.
“Di samping itu juga, kita sebagai seorang Muslim dituntut untuk sentiasa memuliakan, menghormati dan menyayangi semua peringkat usia.
Baca Juga Wajarkah memaki diri bila diuji, nilai kembali respon anda tatkala berdepan cabaran kehidupan
“Tidak kiralah orang tersebut lebih muda daripada kita atau sebaliknya. Sama ada sihat atau sakit ataupun yang istimewa.
“Kesimpulannya marilah sama-sama kita memupuk sifat kasih sayang dan belas kasihan kepada anak-anak istimewa ini agar kita dirahmati dan diredai ALLAH,” katanya.