Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
BERMULA pada 10 Ogos lalu, dua siri animasi bertajuk Habibullah dan Kalimullah telah mula dipertontonkan kepada umum.
Penerbit Eksekutif Nurflix Junior, Diana Amir berkata, pihaknya bersyukur kerana siri kenabian itu berjaya mendapat perhatian bukan sahaja daripada kanak-kanak, malah dalam kalangan orang dewasa juga.
Ujar Diana, animasi berbahasa Arab tersebut turut dilengkapi sari kata bahasa Melayu.
“Melalui animasi ini, secara tak langsung, penonton dapat mempelajari bahasa Arab dengan lebih mudah dan menyeronokkan.
“Visual yang menarik dan menghiburkan juga mampu membuatkan mereka memahami naratif cerita. Terdapat juga banyak fakta menarik yang jarang diketengahkan. Antaranya seperti kisah mengapa Abdul Muttalib digelar shaybah?
“Namun, paling penting apabila penonton memahami dan mengetahui perjalanan sirah nabi, kecintaan terhadap nabi dapat dipupuk sejak peringkat kanak-kanak lagi,“ katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Baca juga AHK Medan Bekalan Akhirat Mercu Tanda Syiar Islam Pertama
Secara ringkasnya, siri animasi Habibullah merupakan kisah perjalanan kehidupan Rasulullah SAW. Ia akan membawa penonton menelusuri Sirah Nabawiyah secara santai dan menghiburkan.
Bahagian pertamanya menceritakan tentang Nabi Muhammad SAW bermula dari era kelahiran, asuhan, hijrah ke Madinah sehingga penglibatan baginda dalam Perang Badar.
Sementara Kalimullah pula adalah mengenai salasilah kehidupan Nabi Musa AS. Kedua-dua siri animasi tersebut diarahkan oleh Ahmed Hassan.
Turut akan ditayangkan pada bulan ini adalah kisah nabi-nabi lain seperti Nabi Ibrahim AS dan Nabi Yusuf AS. Sementara itu, perjalanan hidup Nabi Sulaiman AS pula dijadualkan pada bulan Oktober.
Jangan lupa muat turun Nurflix di Apple AppStore dan Google Playstore atau layari https://nurflix.tv/ untuk menonton pelbagai program Islamik.