BERSEMPENA sambutan Hari Kebangsaan negara kita yang ke-65 dengan tema keluarga Malaysia teguh bersama , ayuh kita semarakkanya dengan sajak kemerdekaan terbaik yang pernah dihasilkan oleh tokoh-tokoh hebat dan Sasterawan Negara.
Sajak kemerdekaan yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh ini penuh dengan maksud yang tersurat dan tersirat. Ia masih segar dan sesuai untuk dideklamasikan bagi anak-anak atau sesiapa sahaja yang cintakan tanah air tercinta.
SENJA HARI MERDEKA
Karya – Siti Zainon Ismail
Seluruh kota gemerlap cahaya
tak siapa sempat berdoa
bersama decip burung
kala perwira kehilangan kaki dan sebutir mata.
Tak siapa sudi membawanya ke dataran pesta
jalan sesak pemimpin segak berarak
tanyalah padang yang menyaksikan
Laungan pertama, Ogos basah
juga hampir kehilangan nama di peta
di mana muzium sejarah
menghimpun getar nyilu perjanjian
ucapan hilang di telan zaman
padang merdeka menjadi taman jerigi
tiang-tiang pualam tumbuh
hotel bintang lima
membakar tapak silam
sebuah keaiban peradaban memusnahkan warisan