ISLAM datang untuk memerdekakan jiwa manusia daripada menjadi hamba sesama manusia, kepada hanya menjadi hamba kepada ALLAH SWT.
Sebagaimana ucapan keramat Rib’i bin ‘Amir di hadapan Panglima Angkatan Tentera Parsi bahawa “ALLAH yang membangkitkan kami agar kami mengeluarkan sesiapa yang dikehendaki-NYA dari pengabdian sesama hamba menuju pengabdian kepada ALLAH, dari kekejaman agama-agama kepada keadilan Islam, dari dunia yang sempit kepada keluasan dunia dan akhirat”.
Ustaz Iqbal Zain Al-Jauhari, penceramah bebas berkongsi mengenai hakikat kemerdekaan yang sebenar adalah membebaskan dirinya daripada sesuatu, yang menghalang dari meningkatkan maqam dirinya, di mana dirinya bebas daripada godaan syaitan, bebas daripada hawa nafsu dan bebas daripada belenggu dunia.”
Mereka yang benar-benar merdeka adalah yang mengetahui destinasinya yang sebenar, mengenal hakikat dirinya, mengenal perjalanan kehidupannya dengan mengenal ALLAH SWT.
Seperti yang termaktub dalam sejarah, Saidina Bilal bin Rabah ialah hamba yang disiksa, tetapi hakikat sebenar Saidina Bilal bukan lagi hamba kerana beliau telah merdeka.
Baca juga 2 cara elakkan harta hilang menurut Islam
Merdeka dengan keteguhan aqidah yang mantap yakin kepada ALLAH SWT. Sehingga segala kesakitan mampu diharungi dengan kecekalan kerana jiwanya bebas mencintai Tuhan.
Mari bersama bebaskan diri daripada sifat ‘keakuan’ dan suburkan rasa kehambaan.
Bukan hamba kepada makhluk, tetapi kepada Tuhan yang Esa.
Semoga kita mampu menikmati sebenar-benar erti kemerdekaan dengan membebaskan jasad, jiwa dan pemikiran daripada terus dijajah dengan doktrin barat.