SETIAP kali tiba Rabiul Awwal, hati umat Islam yang mengaku kasih kepada Rasulullah SAW, pasti akan bersemarak dengan rasa cinta terhadap baginda.
Benarkah cinta kita terhadap baginda terpahat di sanubari, atau sekadar menghayatinya ketika bulan kelahiran Baginda sahaja?
Menerusi Tausiah Habib Nael Ben Taher di Majlis Maulid dan Tausiah Perdana Di Surau An-Najah, Putrajaya pada 4 Oktober, beliau meninggalkan beberapa pesanan kepada umat Rasulullah ini.
Rasulullah SAW bersabda “Wahai Abu Hurairah, jadilah orang yang warak, maka engkau akan menjadi sebaik-baik ahli ibadah, jadilah orang yang qana’ah (selalu merasa cukup dengan pemberian ALLAH), maka engkau akan menjadi orang yang paling bersyukur, sayangilah manusia sebagaimana engkau sayang pada dirimu sendiri, maka engkau akan menjadi seorang mukmin yang sejati, berbuat baiklah kepada tetanggamu, maka engkau akan menjadi muslim sejati, kurangilah banyak ketawa, kerana banyak ketawa akan mematikan hati.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Menurut Habib Nael, Nabi di berikan ALLAH jawami’lkalim (iaitu kata-kata Baginda yang singkat dan padat, akan tetapi mengandungi makna yang luas dan mendalam).
“Nasihat yang padat ini boleh menjadi sebuah manhaj didalam kehidupan, menjadi garis panduan untuk mencapai kehidupan yang bahagia dunia dan akhirat.
Jelas beliau lagi “Jika tiada cahaya bimbingan Rasulullah SAW, hati kita akan mudah terpengaruh dengan kejahatan, mempunyai sifat rakus dan tamak mengejar dunia, hanya ingin bermain dan mensia-siakan umur di dunia yang bersifat hanya sementara ini”.
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) ALLAH dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Surah al-Ahzab ayat 21)
Baca juga Ini 7 makanan kegemaran Rasulullah SAW kita amalkan tanpa sedar
Akhlak nabi adalah al-Quran
Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menerusi laman Facebook miliknya berkongsi mengenai maksud akhlak nabi adalah al-Quran seperti yang dinyatakan dalam hadis.
Sa’d bin Hisham bin Amir telah datang ke Madinah dan bertemu dengan Saidatina Aisyah dan bertanya “Wahai Ummul Mukminin, ceritakan kami tentang akhlak Rasulullah. Lalu Aisyah menjawab dan bertanya kepadanya: “Apakah engkau tidak membaca al-Quran?” Sa’d menjawab: Bahkan aku membacanya. Lalu Aisyah berkata “Sesungguhnya akhlak Nabi SAW itu adalah al-Quran.” (Hadis Riwayat Muslim)
Menurut al-Imam al-Nawawi, yang dimaksudkan dengan akhlak Nabi itu adalah al-Quran ialah “(Iaitu Baginda) beramal dengan al-Quran, berhenti disempadan yang ditetapkan, beradab dgn adab al-Quran, mengambil iktibar darinya, bertadabbur dan tilawah yg baik.” (Syarah Muslim)
Manakala menurut Ibn Rajab pula, yang dimaksudkan dengan akhlak al-Quran itu ialah keredaan dan kemarahan Rasulullah adalah berteraskan kepada apa yang telah digariskan dalam al-Quran.
Kata beliau, baginda beradab dengan adab al-Quran, berakhlak dengan panduan al-Quran, maka apa sahaja yang dipuji oleh ALLAH dalam al-Quran maka itulah keredaan Baginda, dan apa sahaja yang dikeji oleh al-Quran, maka itulah kemarahan baginda. (Jami’ Ulum wa al-Hikam)
Al-Qadhi Iyad pula menjelaskan bahawa akhlak Nabi adalah setiap panduan yang boleh didapati dalam al-Quran. Kata beliau “Iaitu akhlak baginda itu adalah setiap apa yang dihimpunkan di dalam al-Quran. Apa sahaja yang dinilai baik, dipuji dan diseru oleh al-Quran, maka Rasulullah akan menghiasi dirinya dengan perkara tersebut.” (As-Shifa)
Oleh yang demikian, setiap panduan dan bimbingan ALLAH mengenai sifat amanah, memperjuangkan keadilan, ketegasan dalam hukum, bersifat berani dan menyantui seluruh makhluk, maka itulah akhlak Rasulullah.
Semoga bulan ini membangkitkan kita semangat dan cinta kepada Rasulullah SAW, agar hati kita bercahaya dengan bimbingan dan ajaran baginda.