KEPIMPINAN yang berkesan diukur dengan bertambahnya yang makruf dan berkurangnya perkara mungkar di kalangan masyarakat. Menentukan dan memilih pemimpin adalah suatu perkara yang sangat penting dan wajib.
Ini dibuktikan dalam sejarah Islam apabila wafatnya junjungan besar Nabi kita Muhammad SAW, maka seorang khalifah terus dilantik menjadi pemimpin bagi mengantikan baginda sebelum pemakaman baginda dilangsungkan.
Buku ‘100 A Ranking Of The Most Influential Persons In History’ tulisan Micheal H. Hart telah memperakui ketokohan Rasulullah SAW sebagai penyebar agama Islam yang mentadbir dunia.
Bahkan Baginda Rasulullah SAW telah menggungguli carta pimpinan paling berpengaruh di dunia.
Memetik artikel Tuan Guru Ustaz Zulkifli Ismail (Ahli Jawatankuasa Fatwa negeri Melaka & Ketua Dewan Ulama PAS Melaka) mengenai ‘Enam Model Kepimpinan Rasulullah SAW’ yang wajar dicontohi setiap pemimpin.
1) Bersifat insaniah
Daripada Abu Mas’ud RA berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa menunjukkan suatu kebaikan, maka ia mendapatkan pahala seperti pahala orang yang melakukannya.” (Hadis Riwayat Muslim)
2) Bersifat tawaduk
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda “Sedekah tidaklah mengurangi harta. Tidaklah ALLAH menambahkan kepada seorang hamba sifat pemaaf melainkan akan semakin memuliakan dirinya. Dan juga tidaklah seseorang memiliki sifat tawaduk (rendah hati) kerana ALLAH melainkan ALLAH akan meninggikannya” (Hadis Riwayat Muslim)
3) Bersikap cerdik dan bijaksana
Sabda Rasulullah SAW “Tujuh jenis manusia yang dinaungi ALLAH pada hari yang tiada tempat bernaung (Hari Kiamat) melainkan naungan-NYA; pertamanya ialah Imam (pemimpin atau raja) yang adil…” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
4) Berintegriti tinggi
Hadis Riwayat Thaubah RA, Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantara antara kedua-duanya.
5) Mahabbah iaitu kecintaan
Firman ALLAH SWT “Sungguh telah datang kepada kalian seorang Rasul daripada kalangan kaum kalian sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), seorang yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kalian, seorang yang sangat tamak (inginkan) kebaikan untuk kalian, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman”. (Surah al-Taubah ayat 128)
6) Tanzim (tersusun)
Kepimpinan Rasulullah SAW mempunyai tanzim. Organisasi yang dibina oleh Rasulullah SAW merupakan sistem kepimpinan unggul. Sesebuah kepimpinan mesti dikemudi seorang ketua tidak boleh dua atau berbilang-bilang.
Baginda Rasulullah memimpin dengan saf yang kukuh dalam keadaan ketaatan dan kepatuhan diberi kepada Baginda Rasulullah SAW tanpa berbelah bahagi.
Baca juga Teruskan perjuangan Rasulullah, tanda cinta agung kepadanya. Apa peranan Muslimin sebenar?