Penguasa agama perlu lebih tegas pertahankan Islam agar tidak dipandang lemah
ALLAH berfirman di dalam Surah an-Nahl Ayat 125 yang bermaksud “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik.”
Islam adalah agama yang mempunyai hukum-hakam. Setiap perkara yang termaktub dalam al-Quran dan hadis ada penjelasan dan hikmahnya tersendiri.
Bagi golongan yang tidak menyukai Islam atau digelar Islamofobia, mereka menganggap agama Islam itu jauh ketinggalan dan gemar menyusahkan penganutnya, walhal setiap perkara itu adalah demi menjaga kemaslahatan umatnya.
Eksekutif Dakwah Kanan Multiracial Reverted Muslims, Adam Tan Jian Yang menjelaskan di laman media faceboknya mengenai isu yang tular baru-baru ini apabila portal berita tempatan China Press mengkritik tindakan Jabatan Agama Islam berkaitan isu berkhalwat.
Adam Tan berkata, golongan ini menganggap, menghalang maksiat itu ibarat menceroboh hak asasi manusia manakala melakukan hubungan luar nikah itu adalah sesuatu yang bermoral.
“Dakwah dengan hikmah bukan bermaksud kita lemah lembut sehingga kita jadi lemah dan nampak terlalu berlembut, tetapi dakwah dengan hikmah adalah kita bercakap pada orang yang sesuai dengan perkataan yang sesuai.
BACA JUGA Semak sebelum beli perhiasan ayat al-Quran, berat azab menanti orang yang permainkan kalamullah.
“Apabila berdepan dengan golongan yang suka menyindir dan memerli agama Islam, dakwah dengan hikmah bukanlah kita perlu menjawab persoalan atau tuduhan yang dikemukakan, tetapi kita perlu bertegas dan menjawab dengan hujah rasional supaya orang awam boleh nampak kejahilan hujah yang digunakan itu dan betapa rasionalnya agama Islam.
“Sebagai perkongsian, China Press begitu prihatin (dengan cara negatif) dengan agama Islam sehingga mereka suka melaporkan berita yang berkaitan dengan hal ehwal agama Islam. Sebagai contoh, apabila dilaporkan satu berita tentang Jabatan Agama Islam Melaka menangkap seorang duda yang tinggal sebumbung dengan sepasang ibu dan anak.
“Ruangan komen dipenuhi dengan sindiran netizen yang suka ‘jaga tepi kain’ agama Islam. Saya sempat untuk menjawab beberapa komen yang memerli dan menyindir agama Islam. Namun berita ini mencecah lebih 200 komen dalam masa 17 jam.
“Dan ini hanyalah satu berita. Para sahabat boleh bayangkan betapa banyak media hari ini yang melaporkan berita untuk memburukkan Islam dan berapa banyak lagi komen yang ada di luar sana.
“Jadi, tanggungjawab siapakah untuk mempertahankan agama Islam?,” tegasnya.
Pengajaran Surah al-Nahl ayat 125
Menyeru manusia kepada agama ALLAH SWT merupakan satu ibadah yang sangat mulia. Tugas ini telah digalas oleh Nabi Muhammad SAW dengan penuh hikmah dan bijaksana serta sabar sehingga nur hidayah Islam itu kita nikmati kini.
Memetik laman edakwah Kelantan, antara intipati pengajaran di dalam surah al-Nahl mengenai dakwah bilhikmah, pertama ia merupakan tugas utama para rasul dan anbia’. Disebabkan itu tugas dakwah ini sangat mulia. Melaksanakan dakwah Islamiah ini merupakan sebahagian tanda kita mencintai Baginda Nabi Muhammad SAW.
“Kedua, kaedah dakwah pelbagai sebagaimana yang diterangkan dalam ayat ini iaitu dengan penuh hikmah, peringatan atau nasihat baik dan berbahas dengan cara yang lebih baik adalah bergantung kepada siapa sasaran dakwah kita, maka gunakanlah pada tempat dan masa yang sesuai.
“Ketiga, setiap pendakwah mestilah melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan pelbagai kemahiran serta kepakaran bagi menyampaikan risalah Islam kepada seluruh lapisan masyarakat dengan baik dan berkesan,” jelas artikel berkenaan.
Ikuti kami di Tiktok, Instagram, Facebook, Twitter dan Youtube Sinar Islam Plus