JABATAN Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memperkenalkan Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani (Al-Falah) dalam usaha menjayakan visi gagasan ‘Membangun Malaysia Madani’.
Menterinya, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata proses merangka pelan gerak kerja itu dilakukan melalui libat urus dan kesepakatan ketua agensi hal ehwal Islam serta wakil semua agensi berkaitan.
Katanya, pelan Al-Falah bagi tempoh lima tahun dari 2023 hingga 2027 itu mengandungi lima teras dan 10 fokus gerak kerja.
Beliau berkata, lima teras meliputi Pentadbiran Islam Mampan, Kesejahteraan Insan, Kemuliaan Syariah, Kepimpinan Berdaya Cipta dan Kehormatan Institusi Islam itu merupakan inisiatif utama yang sesuai serta praktikal untuk bersama-sama merealisasikan gagasan berkenaan.
“Pelan ini diharap dapat direalisasikan mengikut perancangan, dan penilaian pertama akan dilakukan dalam tempoh enam bulan selepas pelaksanaannya. Ia diharap akan memberi impak terhadap umat Islam,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perhimpunan Agensi-Agensi bawah Jabatan Hal Ehwal Agama, di Auditorium Kompleks Islam, Putrajaya pada Selasa.
Mohd. Na’im berkata, konsep Madani yang diperkenalkan kepimpinan negara bukan istilah asing malah bersumberkan falsafah kenegaraan menurut ajaran Islam.
Bina semula kegemilangan tamadun ummah
Menerusi pelan transformasi itu, beliau mengajak seluruh warga kerja agensi hal ehwal Islam itu berganding bahu bersama bagi membina semula kegemilangan tamadun ummah.
Baca juga: Menanti gagasan Islam kerajaan baharu Malaysia
Beliau merujuk teras pertama Al-Falah yang akan memfokus dua gerak kerja besar iaitu pengislahan dasar tadbir urus institusi serta pemantapan penyelidikan dan persuratan.
Begitu juga empat teras lain iaitu memperkasakan kesejahteraan insan, mengangkat kemuliaan syariah, kepimpinan berdaya cipta dan memelihara kehormatan institusi.
Mohd. Na’im malah optimis, Al-Falah dapat memastikan segala kemudahan hal ehwal Islam dalam keadaan terbaik sebagai pusat ibadah, tarbiah dan dakwah untuk masyarakat.
“Al-Falah bukan agenda peribadi saya atau sesiapa tetapi ia demi maslahah agama dan negara yang memerlukan dukungan serta iltizam dari seluruh petugas agensi,” tegasnya.
Pelan itu dirangka berasaskan falsafah dan semangat laungan azan ‘Hayya ‘Alal Falah’ bermaksud ‘mari bersama menuju kejayaan’ yang sentiasa lestari dalam jiwa serta minda umat Islam
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff.
Pada 19 Januari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan kerangka dasar baharu untuk negara dikenali sebagai ‘Membangun Malaysia Madani’ yang dirumus bagi mencipta lonjakan baharu kepada negara.
Baca juga: Khidmat Pusat Maklumat Penyelidikan Jakim untuk kepentingan ummah
‘Membangun Malaysia Madani’ menggantikan konsep ‘Keluarga Malaysia’ ketika pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sebelum ini, dengan terdiri daripada enam tonggak dasar, iaitu M (keMampanan), A (kesejAhteraan), D (Daya cipta), A (hormAt), N (keyakiNan) dan I (Ihsan).
Berteras semangat hayya alal Falah
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, pelan itu dirangka berasaskan falsafah dan semangat laungan azan ‘Hayya ‘Alal Falah’ bermaksud ‘mari bersama menuju kejayaan’ yang sentiasa lestari dalam jiwa serta minda umat Islam, khususnya pentadbiran jentera pengurusan Hal Ehwal Agama.
Beliau sekali gus mengajak seluruh warga Hal Ehwal Agama untuk berganding bahu membina semula kegemilangan tamadun ummah menerusi landasan konsep ‘Malaysia Madani’ yang diperkenalkan Anwar.
“Bagi mencapai matlamat itu, kita menggariskan tiga teras strategik, iaitu menjayakan gagasan Malaysia Madani, membentuk kesatuan fikrah dan gerak kerja seluruh kepimpinan agensi serta warga kerja Hal Ehwal Agama, dan memandu pembabitan serta sokongan umat Islam,” katanya.