‘Parti seks di JB…’, kerajaan wajib cakna dan cegah segera..
KERAJAAN khususnya Kementerian Komunikasi dan Multimedia diminta supaya memantau aplikasi Twitter kerana didakwa dicemari penyebaran pelbagai isu negatif yang boleh merosakkan moral dan akidah penggunanya.
Perkara ini disuarakan oleh pendakwah, Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau PU Syed terutama mengenai satu perbincangan terbuka yang tular di Twitter berhubung penganjuran pesta seks bebas, ‘Gang Bang JB Party’, yang dijadualkan berlangsung Jun ini.
PU Syed turut memuat naik keratan poster pesta berkenaan dan beberapa tangkap layar hantaran Twitter berhubung penganjuran terbabit.
Selain memaparkan tarikh berkaitan penganjuran, poster terbabit turut menyatakan mengenai terma dan syarat untuk mana-mana individu yang berminat menyertai parti seks berkenaan.
Baca Juga Muat naik video joget laki bini, pendakwah ini dikecam kerana tayang ‘maksiat’ secara terbuka
Antara syarat utama yang ditetapkan adalah menggalakkan jemputan untuk membawa kondom sendiri, selain menyatakan bahawa parti itu terbuka kepada semua bangsa.
Tambah beliau, antara isu lain yang pernah dibincangkan secara terbuka melalui Twitter adalah mengaku nabi, berzina dan murtad.
“Oleh itu, pihak berwajib yang mempunyai autoriti perlu memandang serius mengenai perkara ini dan pemantauan ketat perlu dilakukan.

PANTAU penganjuran yg bakal dibuat pada 20 Jun ini.. – PU Syed
“Alhamdulillah kita telah dedahkan dan dapat respon baik daripada Exco Kerajaan Negeri Johor. Mungkin mereka tidak tahu semua, apabila kita beritahu, respon dan tindakan yang diberi sangat positif, itulah yang dimahukan.
“Bukan bermakna kita salahkan kerajaan tetapi dengan adanya pendedahan itu diharapkan pihak berwajib dapat bertindak dan beri kerjasama walaupun berlainan ideologi serta parti politik,” katanya menerusi laman Facebook pada Selasa.
Hentikan normalisasi maksiat dan dosa
Seterusnya memetik perkongsian Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi turut menyokong tindakan agar pihak berautoriti mengambil cakna akan hal ini dan hentikanlah normalisasi maksiat dan dosa secara terang-terangan.
Jelasnya, adalah menjadi suatu perkara yang membimbangkan apabila seorang mukmin sendiri sudah tidak sensitif lagi dengan perkara kemungkaran. Sehingga mereka merasakan melakonkan atau menyaksikan elemen berunsur dosa sebagai perkara yang tidak mengapa.
Baca Juga Meski teruja dengan kemunculan AI, perhati juga kedudukan hukum dalam penciptaan imej manusia
“Rasulullah pernah memberikan indikator yang mudah tentang hati orang yang beriman. Suatu hari, seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW.
“Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan iman? Rasulullah SAW menjawab: Sekiranya engkau merasa tenang dengan amal solehmu dan engkau tidak selesa (sensitif) dengan kemungkaran yang kamu lakukan, maka sesungguhnya kamu adalah orang yang beriman.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Nasai’e)

PIHAK berwajib yang mempunyai autoriti perlu memandang serius mengenai perkara ini dan pemantauan ketat perlu dilakukan terutama di platform Twitter.
“Hadis ini menggambarkan bahawa salah satu ciri orang yang beriman adalah mereka sensitif dengan kemungkaran yang berlaku. Apabila mereka melihat kemungkaran, hati dan jiwa seorang mukmin seharusnya berasa tidak tenang.
“Seorang mukmin tidak seharusnya mengucapkan: “Biarlah, dosa masing-masing” atau “kubur masing-masing” kerana ungkapan ini seolah menggambarkan bahawa kita tidak peka atau sensitif dengan dosa dan larangan ALLAH.
“Dengan sebab itu dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya orang mukmin melihat dosa-dosanya seperti dia duduk di bawah gunung, dan dia takut sekiranya gunung itu akan menimpanya, sedangkan orang fajir (selalu melakukan dosa) melihat dosa-dosanya seperti lalat yang hinggap di batang hidungnya, kemudian dia mengusirnya lalu ia terbang.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Baca Juga DJ / MC, jagalah 3 batas ini supaya tugasan tidak jatuh haram
“Lalu bagaimana kita melihat dosa kita dan kemungkaran disekeliling kita? Apakah kita selesa dengan kemunculan elemen-elemen dosa yang dipersembahkan dalam industri lakonan tempatan? Atau apakah ini bekalan yang akan kita bawa bertemu dengan ALLAH nanti?,” katanya menerusi satu hantaran di laman media sosial.
Pesta seks atau apa jua kegilaan atas nama kebebasan perlu dipantau dan dicegah oleh pihak berkuasa agama Islam di negara ini. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) wajib menyegerakan pencegahan agar integriti, akhlak dan moral rakyat Malaysia terpelihara.