Pihak berkuasa di Arab Saudi mengatakan mereka menyokong dasar mengehadkan kelantangan bunyi pembesar suara masjid-masjid di negara itu.
Kementerian Hal Ehwal Islam Arab Saudi mengumumkan minggu lalu bahawa semua pembesar suara mesti ditetapkan hanya sepertiga daripada maksimum kelantangannya.

Menteri Hal Ehwal Islam, Abdullatif al-Sheikh. Gambar- Al Arabiya
Menteri Hal Ehwal Islam, Abdullatif al-Sheikh mengatakan langkah itu adalah sebagai tindak balas kepada aduan orang ramai.

Laungan azan di Masjidil Haram mampu menggetar jiwa bagi yang menghayatinya.
Namun langkah itu mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial. Hashtag atau tanda pagar yang meminta muzik keras dilarang di restoran dan kafe mulai menjadi trend.
Beliau mengatakan aduan kelantangan azan diterima dalam kalangan ibu bapa yang mendakwa pembesar suara dari masjid mengganggu tidur anak-anak.
Bercakap dalam sebuah video yang disiarkan oleh televisyen Arab Saudi baru-baru ini, al- Sheikh mengatakan bahawa mereka yang ingin bersolat tidak perlu menunggu panggilan Azan.
Dia menyebut mereka yang mengkritik dasar itu menerusi media sosial sebagai ‘musuh kerajaan’ dan mendakwa mereka sekadar mahu mencari perhatian umum.
Sementara itu, beberapa lokasi terpenting bagi umat Islam telah dibuka semula selepas dua bulan tutup akibat wabak Covid-19.
Pembukaan semula rumah ibadah ini membolehkan para jemaah memasukinya dengan peraturan yang ketat dalam keadaan norma baharu.

Masjid Al Aqsa. Gambar: Muslim Hands
Ratusan umat Islam telah dibenarkan memasuki Masjid Al-Aqsa di Kota Tua Baitulmaqdis, tempat ketiga paling suci bagi umat Islam untuk solat subuh pada Ahad lalu.
Ada yang melaungkan “Allahuakbar”, sementara yang lain mencium lantai ketika orang ramai memasuki perkarangan masjid.
Di dalam masjid, langkah berjaga-jaga diambil untuk mengurangkan risiko penyebaran virus Covid-19 dengan pengukur suhu badan, penjarakan fizikal, mengenakan pelitup muka dan membawa sejadah sendiri untuk bersolat.
“Setelah mereka membuka masjid, saya merasakan kembali dapat bernafas lagi. Alhamdulillah,” kata salah penduduk Palestin, Umm Hisham yang kelihatan bersemangat ketika memasuki masjid.
Masjid Al-Aqsa dan beberapa tempat suci lain ditutup untuk para jemaah sejak pertengahan bulan Mac lalu. Jemaah tidak dapat menunaikan solat setiap hari sepanjang bulan Ramadan.
Walaupun ancaman wabak masih ada, banyak negara meredakan sekatan secara beransur-ansur setelah beberapa minggu ditutup, membuka tempat beribadah untuk para jemaah dan mengehadkan pengunjung.

Masjid Nabawi, Madinah
Situasinya sama seperti di Masjid Nabawi, Madinah di mana jemaah dilarang berkumpul bersolat. Masjid ini juga adalah salah satu daripada 90,000 masjid yang sudah bersiap sedia untuk dibuka semula oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
Menjelang pembukaan semula masjid ini, berjuta umat Islam dipercayai telah menerima pesanan bertulis dalam pelbagai bahasa yang memaklumkan kepada mereka mengenai peraturan baharu untuk solat berjemaah di masjid itu.
Mesej bertulis yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Islam, Arab Saudi memerintahkan para jemaah untuk solat secara terpisah dalam jarak dua meter, dan tidak saling menegur dengan pelukan atau bersalaman.
Orang ramai diminta untuk mengambil wuduk di rumah, kerana bilik wuduk di masjid akan tetap ditutup. Khutbah dan doa berlangsung tidak lebih dari 15 minit.
Masjidil Haram di Mekah masih ditutup dan akan dibuka sehingga diberitahu kelak. Lokasi terpenting bagi umat Islam itu sering menerima kunjungan berjuta-juta jemaah setiap tahun di mana kebanyakan mereka datang untuk melakukan ibadah umrah mahupun menunaikan haji.
Sumber: BBC News Indonesia