LEBIH 70 juta permit telah dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi bagi jemaah menunaikan umrah di Masjidil Haram dan menunaikan solat di Rawdah Sharaf di Masjid Nabawi, Madinah pada musim terakhir tahun 1443 Hijrah.
Perkara itu diumumkan oleh jurucakap Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Hisham Saeed menerusi temu bual bersama saluran televisyen, Al–Ekhbariya, seperti yang dilaporkan oleh Astro Awani.
Menurut beliau, musim umrah pada tahun 1444 Hijrah pula dijangka akan menyaksikan keadaan kembali normal dari segi bilangan jemaah selepas perubahan positif dalam petunjuk kesihatan.
Ia termasuk pemansuhan dan pelonggaran banyak sekatan kesihatan yang wujud dua tahun lalu akibat penularan pandemik COVID-19.
Atas arahan Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, pengadang perlindungan yang ditempatkan sekeliling Kaabah di Tanah Suci Makkah sejak 2020 dialihkan semalam, sejajar dengan bermulanya musim baharu umrah.
Ujar Presiden Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Dr Abdul Rahman Al-Sudais, keputusan berkenaan menekankan kesungguhan kepemimpinan Arab Saudi untuk memudahkan jemaah dan pelawat Masjidil Haram menunaikan ibadah dalam suasana tenang serta selamat, terutama dengan peningkatan kehadiran mereka sempena musim baharu umrah.
Baca juga Sambut orang balik haji, antara sunnah yang dilupakan
Memetik portal Arab News, beliau turut menjelaskan, usaha sedang dijalankan dengan kerjasama semua sektor terbabit bagi menerima kedatangan jemaah di Masjidil Haram, sekali gus menyediakan segala perkhidmatan dan kemudahan diperlukan, seiring aspirasi pemurah kepemimpinan negara ini.
Sebelum ini, pengadang terbabit ditempatkan di sekeliling Kaabah bermula 1 Julai 2020. Ia selaras arahan Pusat Kebangsaan Untuk Pencegahan Coronavirus sebagai langkah mengekang jangkitan wabak berbahaya itu.
Langkah berkenaan secara langsung menghalang jemaah haji dan umrah serta pelawat daripada menyentuh mahupun mencium Kaabah dan Hajarul Aswad.
Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, jemaah dari luar negara yang mahu menunaikan umrah tidak lagi perlu mengemukakan keputusan negatif ujian saringan pantas antigen atau Polymerase Chain Reaction (PCR) untuk memasuki Arab Saudi.
Pada masa sama, individu tanpa vaksinasi juga dibenarkan menunaikan solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.
Baca juga LIMA amalan yang nilainya seperti menunaikan haji
Dari segi had jemaah, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengesahkan bahawa tidak ada angka khusus merangkumi jemaah dari setiap negara untuk menunaikan umrah.
Sebaliknya, kementerian itu menegaskan, sesiapa yang berhajat untuk mengerjakan ibadah berkenaan boleh memohon secara terus dan mengemukakan visa yang sesuai memasuki negara tersebut.
Sumber: Astro Awani, Arab News & Berita Harian
Foto: AFP, Pexels & Unsplash