Mengapa proses cerapan perlu dalam menentukan tarikh mula berpuasa dan hari raya?
TARIKH melihat anak bulan bagi menetapkan permulaan puasa tahun ini sudahpun dikeluarkan oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, menerusi satu kenyataan semalam.
Pasti ramai tertanya-tanya terutama golongan muda sendiri, mengapa proses cerapan melihat anak bulan itu penting walaupun dalam kalendar sudah tertulis tarikh bermulanya puasa atau syawal.
Menjawab persoalan itu, Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir menjelaskan, proses cerapan ini merupakan satu kewajipan fardu kifayah yang mesti dilakukan pemerintah dan dilakukan sehingga kini secara berterusan.
“Perlu satu pihak bertanggungjawab melihat hilal pada hari rukyah bagi menentukan kenampakan atau ketidaknampakan pada hari tersebut. Walaupun hisab falak dapat menghitung kedudukan hilal secara tepat tetapi syarak menetapkan cerapan hendaklah dilakukan.
“Bukan sahaja cerapan hilal Ramadan dan Syawal tetapi melibatkan semua bulan-bulan hijrah yang lain. Antara asas pelaksanaan cerapan awal Ramadan dan Syawal dari sudut syarak, ia merujuk kepada panduan yang diterangkan ALLAH SWT dan junjungan besar Nabi Muhammad kepada kita iaitu al-Quran dan Sunnah.

TARIKH permulaan puasa akan diisytiharkan pada malam 22 Mac melalui radio dan televisyen.
“Di Malaysia, kaedah untuk menentukan awal bulan hijrah ketika mencerap hilal adalah menggunakan kaedah Imkanur (kedudukan) Rukyah. Kaedah ini meliputi gabungan kedua-dua kaedah iaitu rukyah dan hisab.
“Melalui Imkanur Rukyah, hilal dianggap boleh kelihatan apabila memenuhi syarat-syarat berikut iaitu ketika matahari terbenam ketinggian bulan tidak kurang dari tiga darjah dan jarak lengkung bulan ke matahari tidak kurang dari 6.4 darjah,” katanya.
BACA JUGA 22 Mac 2023 – Tarikh melihat anak bulan Ramadan 1444H
Selain mengetahui mengapa ia penting kepada umat Islam, proses cerapan dijalankan dan jenis peralatan yang digunakan juga penting untuk kita ketahui.
Mufti Selangor menjelaskan lagi, terdapat kaedah baru dalam proses cerapan hilal iaitu penggunaan teleskop yang dihubungkan dengan kamera ‘Charge Couple Device ‘(CCD)’ yang lebih peka dalam mengesan cahaya hilal. Juga penggunaan teleskop radio yang dapat menentu kedudukan hilal secara tepat melalui gelombang radio berbanding kaedah semasa berdasarkan konsep visual.
“Penggunaan CCD dan teleskop radio ini mungkin tidak dapat dilihat dengan mata tapi dapat dibuktikan kewujudannya. Bagaimanapun, setiap teknik cerapan perlu disahkan kebolehgunaannya menurut syarak dan disabitkan kenampakannya.

TARIKH, lokasi dan waktu perlaksanaan cerapan hilal ini ditentukan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.
“Kebiasaanya, proses cerapan hilal dilakukan bersama Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia Negeri Selangor. Cerapan ini menggunakan beberapa peralatan termasuk teodolit, teleskop dan binokular. Ia peralatan yang seragam digunakan di semua negeri di Malaysia.
“Kos keseluruhan peralatan bagi proses cerapan hilal sekitar RM10,000 hingga RM50,000. Bagaimanapun, kemudahan peralatan di Balai Cerap Selangor lebih canggih dalam penjejakan hilal yang terletak dalam satu kubah cerapan.
BACA JUGA ‘Checklist’ Ramadan, jangan sia-siakan bulan mulia itu dengan perkara-perkara ini
“Tarikh, lokasi dan waktu perlaksanaan cerapan hilal ini ditentukan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Namun, pewartaan satu-satu tempat cerapan hilal khususnya di Selangor akan dibuat selepas dipersetujui Majlis Agama Islam Selangor dengan perkenan Sultan Selangor dan diperakui sah oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja,” ujarnya pada laman Selangor Kini.