SELEPAS ditunda tahun lepas atas faktor Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan cuaca, Konsert Garis Masa Raihan akhirnya berjaya diadakan dengan jayanya di Stadium Malawati Shah Alam, pada Sabtu.
Kejayaan ini didorong pengalaman Raihan yang sudah bertapak dalam industri seni sejak 27 tahun lalu, selain jenama yang sudah sinonim dengan konsert di luar negara.
“Terima kasih sudah menyokong Raihan selama 27 tahun ini.
“Seronok juga melihat ada penonton yang hadir membawa anak-anak kecil ke konsert kami. Paling terharu ada golongan muda kenal dan meminati kami,” kata salah seorang anggota Raihan, Abu Bakar.
Pada acara tersebut, kumpulan yang dianggotai oleh Abu Bakar, Che Amran dan Amran Ibrahim itu mendendangkan sebanyak 21 buah lagu ketuhanan popular mereka kepada lebih 3,000 penonton yang hadir.
Kesemua lagu dinyanyikan berjaya membawa penonton kembali ke zaman kegemilangan Raihan suatu ketika dahulu sehingga ada yang sebak sepanjang konsert berlangsung.
Antara lagu popular disampaikan mereka ialah Puji-Pujian, Demi Masa, Peristiwa Subuh dan Allahu.
Kemeriahan konsert memuncak apabila mereka muncul dengan lagu Sifat 20, 25 Rasul, 10 Malaikat dan Sesungguhnya. Seperti melengkapkan persembahan, Raihan menutup konsert dengan menghadiahkan lagu Iman Mutiara yang popular sejak tahun 1996.
Sebelum program diadakan, Selawat Maulid oleh kumpulan Ahbabul Habib turut bergema dengan lantunan merdu qasidah dan selawat. Turut hadir pada malam Cahaya Israk Mikraj, pendakwah terkenal, Habib Ali Zainal Abidin selaku penceramah pada malam tersebut.
Di celah ribuan penonton itu, Sinar Islam Plus bertemu Kim Natasha, seorang penjawat awam yang hadir bersama suami memeriahkan konsert berkenaan.
Kim sangat terharu dan amat seronok kerana berkesempatan hadir menyaksikan kumpulan kegemaran beliau dan suaminya.
“Seronok, konsert yang hebat dan legend. Begitu teruja melihat persembahan mereka dan kalau boleh konsert ini diadakan lagi dan lebih eksklusif daripada ini,” katanya.
BACA JUGA Enam anugerah bernuansakan Islam ungguli anugerah BISA
Bukan sahaja penonton yang hadir rasa bersemangat, namun penulis turut terpukau dengan setiap baris lagu dan persembahan yang ditampilkan dari mula hingga tamat konsert. Ia seakan melayangkan kembali memori silam yang terindah tatkala di bangku tadika dan sekolah rendah rendah dahulu.