PROSES menukar kiswah baharu dengan kain sutera hitam bersulam benang emas asli untuk menutupi kaabah melambangkan bermulanya musim haji pada tahun ini.
Projek membina kiswah baharu setiap tahun adalah kerja yang rumit kerana ia akan mengambil masa hampir setahun dengan melibatkan lebih 200 pekerja khas dan menggunakan ratusan kilogram sutera hitam.
Kiswah di dalam bahasa Arab bermaksud pakaian yang dibuat untuk menutupi tubuh. Ia juga digunakan sebagai istilah untuk menutup kaabah dengan sutera. Kiswah akan dilekatkan pada dinding batu kaabah dan cincin tembaga di bahagian bawah pangkalan marmar sebagai pemberat.
Penghasilan kiswah diperbuat daripada 47 helai sutera semula jadi yang setiap satu berukuran 98 sentimeter (cm) kali 14 meter . Lapisan luar kiswah pula menggunakan sutera asli dengan sebarat 670 kilogram (kg). Di bahagian dalam lapisan kiswah dijahit dengan kapas yang kuat untuk membantu mengekalkan permukaan sutera di atasnya.
Benang emas menghiasi sutera hitam dengan ayat al-Quran yang membawa maksud “Tidak ada tuhan melainkan Allah”, dan “Kemuliaan bagi Allah”.
Kiswah juga mempunyai bahagian tali yang akan melilit keseluruhan kiswah bagi menahan berat. Panjangnya antara 46 meter dan lebar 95cm yang dibuat daripada 16 utas tali serta disulam dengan ayat-ayat al-Quran.
Salah satu daripada tali itu akan tertera tarikh pembuatan kiswah yang akan diletakkan pada setiap tahun.
Kiswa mempunyai tirai pada pintu kaabah. Tirai yang bersulam dengan ayat-ayat al-Quran yang disulam dengan benang perak dan emas mula kali pertama dipasang pada pintu kaabah pada tahun 1300 hingga 1396 bersamaan 819 mengikut kalendar Hijriah.
Di mana Kiswah dibuat?
Kilang kiswah Al Kaaba di Makkah telah membuat kiswah sejak hampir 45 tahun. Ia dimiliki kerajaan Arab Saudi dan beroperasi sepanjang masa untuk menghasilkan kiswah. Tempoh untuk kerja sulaman saja mengambil masa enam hingga lapan bulan.
Kilang kiswah mula dibuka secara rasmi pada tahun 1977 dan mempunyai kira-kira 200 pekerja, 114 daripadanya bekerja hanya untuk menyulam.
Empat langkah proses menghasilkan kiswah
Proses pertama, sutera mentah yang diimport dari Itali akan dicelup warna hitam selama 22 jam. Ia akan ditenun secara berhati-hati sehingga menjadi kepingan hitam polos. Kepingan yang siap akan dipisahkan beberapa bahagian untuk kerja sulaman menggunakan benang emas dan perak dan selebihnya akan dibiarkan berwarna hitam.
Selepas proses itu, bahan kain akan diuji ketahanan dan ketumpatannya, kemudian dicetak dengan corak untuk disulam oleh pekerja khas.
Secara keseluruhan, 54 helai kain diciptakan yang kemudiannya dijahit bersama agar sesuai dengan Kaabah. Proses ini dilakukan menggunakan mesin jahit terbesar di dunia dengan mampu menjahit kain sebesar 224 meter persegi.
Kilang ini juga menghasilkan lapisan kapas untuk kiswah dan penutup lain untuk digunakan semasa Haji.
Sepanjang 26 tahun, Ahmed Hussain Ba Anter bekerja di kilang itu, dia mengkhususkan diri dalam bidang sulaman, menjahit benang emas dan perak dalam tulisan jawi.
“Saya merasa sangat bersemangat dan dihargai ketika jari saya memegang jarum untuk menjahit kiswah,” katanya kepada The National.
Kini Ahmad Hussain dilantik sebagai penyelia di kilang kiswah itu. Selama berkhidmat sebagai pembuat kiswah, Ahmad Hussain tidak terlepas peluang untuk turut serta dalam proses pemasangan kiswah pada kaabah ketika musim haji.
“Saya telah berpeluang memasang kiswah sebanyak tiga kali iaitu pada tahun 2020, 2015 dan 2013. Saya berharap dapat memasangnya buat kali terakhir pada tahun ini memandangkan tahun ini juga saya akan bersara berkhidmat di sini,” katanya.
Cara Memasang Kiswah
Selepas subuh pada 9 Zulhijjah, kiswah baharu akan di bawa dari kilang ke masjidilharam. Empat bahagian kiswah baharu akan dinaikkan ke atas kaabah dan digantung satu persatu ke atas kiswah lama.
Semasa kiswah baharu dilampirkan, yang lama diturunkan dari bawah setelah melonggarkan tali sokongan.
Apabila kiswah yang baharu sudah siap, setiap potongan bahagian akan dijahit bersama untuk membentuk seperti kelambu yang lengkap.
Dari kulit hingga sutera
Kiswah tidak semuanya dibuat dari kain sutera sejak dulu. Pada era pra-Islam, Adnan bin Edd, iaitu moyang kepada Nabi Muhammad SAW, antara individu yang bertanggungjawab menghasilkan kiswah.
Pada tahun itu, penduduk Makkah membuat kiswah dengan bahan seperti kulit. Mereka mengumpulkan wang untuk membeli bahan dan membuat Kiswah.
Semasa zaman Nabi Muhammad SAW, tirai Yaman yang disebut burdah digunakan dan sutera diperkenalkan selepas itu. Warna hitam juga diganti hijau sebagai warna penutup.
Kiswah dulu dihasilkan di Mesir, pada tahun 1927 Raja Abdulaziz memerintahkan agar produksi kiswah itu harus dilakukan di Makkah. Ia kemudiannya diperbuat daripada kain baldu hitam berkualiti tinggi.
Pada tahun 1928 kilang pertama untuk pembuatan kiswah dibuka, di mana 12 alat tenun manual di bawa dari India termasuk 60 juruteknik pakar turut di bawa. Sejak itu hingga akhir 1950-an kiswah terus dibuat di Mesir atau Arab Saudi bergantung kepada keadaan politik. Dan akhirnya pada tahun 1958, kiswah terus kekal dihasilkan di Makkah hingga kini.
Sumber: The National News