MELAKUKAN khidmat sosial atau kerja-kerja kebajikan dilihat berupaya menjadi pengajaran terbaik kepada kaki fitnah, selain membuat aduan kepada pihak polis.
Ya, demikian antara teladan yang boleh diambil daripada kes seorang lelaki yang diarah membayar ganti rugi RM10,000 gara-gara meninggalkan komen jelik di laman sosial Facebook pasukan Kelantan FC baru-baru ini.
Dalam kes itu, si pelaku merayu pengurangan penyelesaian sebanyak RM2,000 dan membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi Facebook miliknya.
Akhirnya, Pemangku Pengurus Operasi TRW Kelantan FC, Mohd Afiq Ab Manaf menjelaskan, pihaknya bersetuju dengan pengurangan berkenaan.
Apa yang menarik perhatian ramai adalah kenyataan beliau bahawa bayaran tersebut bukan diserahkan kepada kelab. Sebaliknya, semua itu perlu diinfakkan dengan membeli barangan keperluan harian dengan nilai yang sama untuk diserahkan kepada madrasah di sekitar Kelantan.
Ujar Mohd Afiq: “Tindakan ini bukan untuk mengaut keuntungan atau mencari publisiti, sebaliknya kelab ingin memberi pengajaran kepada mana-mana individu atau pihak yang sewenang-wenangnya menabur fitnah, menjatuhkan imej dan mengadu domba terhadap pasukan, pemain atau pihak berkaitan kelab.”
Menjengah tangkap layar pelaku di media sosial miliknya, lelaki itu didapati sudah membuat permohonan maaf kepada pihak kelab dan mengakui menyesal dengan perbuatan itu.
Turut disertakan gambar agihan makanan asas dibeli dan diberikan kepada madrasah terpilih.
Meskipun kes itu kelihatan kecil pada mata segelintir pihak, namun impaknya begitu besar. Ini kerana jarang sekali kita dengar ‘hukuman’ berbentuk sedemikian yang bersifat kebajikan.
Kebanyakan kes jari ‘lancang’ di media sosial berakhir dengan denda, permohonan maaf secara terbuka dan seumpama dengannya.
Barangkali hukuman itu wajar difikirkan semula. Sekurang-kurangnya ia boleh menjentik hati kita untuk kembali menjernihkan suasana ketegangan, di samping beramal dengan khidmat sosial.
Bahana fitnah
Sesungguhnya, media sosial pada hari ini begitu ‘berpengaruh’. Jika disalah guna dengan mematerikan komen yang berunsur negatif dan menjelikkan, ia mampu memberi dampak tidak baik sehingga boleh mengundang fitnah.
Namun, apabila platform berkenaan dimanfaatkan dengan sebaiknya, banyak ‘pelajaran’ yang boleh diraih daripadanya.
Firman ALLAH SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat 6 bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”
Pengarah Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor, Dr Mohd Ashrof Zaki Yaakob berkongsi mengenai bahana fitnah.
Ketahuilah bahawa perbuatan itu bukan sahaja tidak mengundang keberkatan di dunia, malah kita akan muflis di akhirat, ungkapnya.
Jelas beliau, fitnah termasuk antara dosa besar sesama manusia dan ia tidak akan diampunkan oleh ALLAH SWT melainkan selepas orang yang difitnah memberi kemaafan kepada pelakunya.
“Dalam al-Quran, perkataan fitnah mengandungi pelbagai maksud. Antaranya syirik, maksiat, bala, kesempitan, kerosakan, pembunuhan dan peperangan. Ia membawa konotasi negatif bagi setiap perbuatan dan situasi.
“Sungguh menyedihkan apabila perilaku hina berkenaan menjadi budaya dalam masyarakat kita hari ini. Mereka menganggap ia sebagai satu kepuasan jika dapat melakukan perbuatan itu.
Baca juga Bahana Fitnah! Bukan Saja Tiada Keberkatan Di Dunia, Malah Kita Akan Muflis Di Akhirat
“Sedarlah bahawa fitnah digolongkan sebagai antara dosa besar sesama manusia. Justeru, dosa itu sama sekali tidak akan diampunkan oleh ALLAH SWT, melainkan setelah orang yang difitnah itu memberi kemaafan,” ujar beliau.
Ia sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Huzaifah RA yang mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Penabur fitnah tidak akan masuk syurga.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Beliau turut menggambarkan perbuatan mungkar itu umpama api membakar daun dan ranting kering. Ia cepat merebak dan akan menjadi abu.
“Dengan erti kata mudah, ganjaran amalan baik yang dilakukan sebelum ini terhapus dan menjadi muflis di akhirat nanti.
“Bukan itu sahaja, kehidupan di dunia akan hilang keberkatan dan turut dilaknat oleh para malaikat,” tegas beliau.
Sama-samalah kita menghindari diri daripada sifat mazmumah itu. Sia-sia sahajalah amalan kebaikan kita selama ini andai sikap itu bersemayam dalam diri.
Foto : pexels