BINTANG TikTok nombor satu Khaby Lame yang mempunyai pengikut paling ramai di dunia akhirnya mendedahkan anutan agamanya dalam satu temu bual dengan media Itali. Apabila ditanya mengenai agama dan kepercayaanya, Tiktoker yang berusia 22 tahun mendedahkan bahawa dirinya seorang Muslim yang taat.
Menerusi perkongsian daripada TheIslamicInformation, temu bual yang sama juga mendedahkan bahawa dia merupakan seorang hafiz al-Quran. Khaby menceritakan bahawa dia dilahirkan di Senegal pada 9 Mac 2000, namun keluarganya berpindah ke Itali ketika umurnya satu tahun.
Pada usia 14 tahun, Khaby dihantar oleh ibu bapanya ke sekolah al-Quran berhampiran Dakar, Senegal, untuk mempelajari al-Quran dan menjadi seorang hafiz.
“ Di sekolah itu kami diajar pengajian Al-Quran, dan saya menghafaz setiap surah. Setiap maksud dalam al-Quran sangat menyentuh hati, dan saya sendiri mengamalkan ajaran Islam sejak kecil.”
Pengakuan Khaby sudah pasti menjawab persoalan yang sering timbul berkaitan kepercayaannya, ia juga menjadi pemangkin semangat terutama kepada generasi muda yang mengikutinya di media sosial TikTok.
Baca juga Sunnah basahkan badan ketika hujan yang ramai tak tahu
Malah sebelum mendedahkan agamanya, Khaby telah mendapat banyak sokongan daripada khalayak Muslimin selepas secara terbuka menunjukkan sokongan terhadap perjuangan Palestin.
Dalam satu ciapan di akaun Twitternya pada Jun 2021, dia menunjukkan sokongan terhadap rakyat Palestin berhubung pencerobohan Zionis Israel. Tulisannya menyatakan bahawa Baitulmaqdis akan sentiasa menjadi milik rakyat Palestin.
Khaby mula meraih populariti apabila dia kehilangan kerja sebagai pekerja kilang di Itali akibat pandemik COVID-19 pada Mac 2020. Apabila bapanya menggesa dia memohon kerja lain, dia menghabiskan masa berjam-jam setiap hari menyiarkan video di aplikasi TikTok.
Kandungan Khaby yang menarik perhatian pengguna Tiktok ialah video reaksi lucunya yang menggambarkan “life hacking” yang terlalu rumit, di mana dia melakukan perkara yang sama tanpa berkata apa-apa.
Hasil video yang dimuat naiknya, bintang TikTok dengan 145.6 juta pengikut itu kini dilaporkan mempunyai nilai bersih USD$2juta.
Menurt LADbible, 15 dari hantaran Khaby di TikTok, dianggarkan memperoleh purata ‘engagement rate’ 0.10 peratus untuk setiap satu. Ia bermaksud, anggaran jumlah yang diperolehi dari tajaan TikTok itu antara USD$13juta (RM 56,637.54) dan USD$22juta (RM 94,395.90).
Pada 22 Jun 2022, Khaby menjadi pempengaruh TikTok yang paling ramai pengikut, mengatasi Charli D’Amelio dengan 142.1 juta pengikut.
Itulah kisah seorang Khaby Lame seorang pempengaruh hafiz al-Quran dan Muslim berjaya yang perlu dicontohi oleh ‘YouTuber’ terutama di Malaysia.