TIDUR dan mimpi adalah sesuatu yang tidak boleh dipisahkan dari kehidupan seharian manusia sama ada secara sedar mahupun tidak. Ketika tidur, ada kalanya mimpi itu membuatkan seseorang bahagia dan ada kalanya pula mimpi yang hadir itu menakutkan.
Islam merupakan agama yang sempurna dan menyeluruh untuk setiap aspek kehidupan masyarakat. Agama yang pasti akan ada jalan penyelesaian untuk setiap perkara yang diperlukan oleh manusia.
Perkara mimpi, memang tidak akan habisnya untuk dibahas, berdasarkan tafsir mimpi menurut Ibnu Sirin (salah seorang tokoh ulama ahli feqah dan perawi hadis dari golongan tabi’in) di dalam bukunya tafsir mimpi menurut Islam, “Tidak semua mimpi dapat ditafsirkan makna yang terkandung di dalamnya”.
Baca juga Ibn Sirin pelopor ilmu tafsir mimpi sanggup dipenjara demi keredaan ALLAH
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya mimpi itu mempunyai tiga jenis. Mimpi yang baik itu merupakan berita gembira itu yang datang daripada ALLAH SWT. Mimpi yang buruk dan membawa kesedihan itu adalah daripada syaitan dan mimpi yang disebabkan oleh apa yang berlaku ke atas seseorang itu. Jika sekiranya sesiapa dalam kalangan kamu bermimpi sesuatu yang buruk, hendaklah dia berdiri dan mendirikan solat sunat, serta janganlah dia memberitahu mimpinya itu kepada orang lain”. (Hadis Riwayat Muslim)
Terdapat beberapa fakta menarik berkaitan dengan mimpi :
1. Secara purata, ketika tidur setiap orang akan bermimpi sebanyak 3 hingga 6 kali.
2. Kebiasaanya durasi mimpi seseorang adalah selama 5 hingga 20 minit setiap satu mimpi.
3. Hampir 95 peratus orang yang bermimpi tidak akan mengingati mimpinya setelah bangun dari tidur.
3 JENIS MIMPI DALAM ISLAM
1) Mimpi dari diri sendiri (haditsun-nafsi)
Mimpi yang berasal dari fikiran atau khayalan. Seseorang individu yang sering memikirkan hal yang sama akan lebih cenderung untuk bermimpi perkara yang difikirkanya. Ketika seseorang sedang memikirkan sesuatu yang tertentu, kemudian muncul di alam mimpi kerana kecenderunganya terlalu memikirkan benda tu.
2) Mimpi yang buruk dan dusta (al-ru’ya al-sayyi’ah)
Mimpi buruk yang datang dari gangguan syaitan, antara cirinya adalah mimpi itu menakutkan dan menyedihkan, ketika seseorang terbangun dari mimpi itu hatinya gelisah dengan mimpi tersebut.
Mengambil perkongsian di laman sosial daripada Pengarah Urusan Murtadha Dakwah Centre (MADAD) Ustaz Mohammad Yaakub Yusra, antara contoh mimpi bila seseorang terkena sihir adalah seperti mimpi jatuh dari tempat yang tinggi dan kotor, mimpi menyusukan bayi, mimpi haiwan berbisa dan sebagainya.
Jika ingin mengenal pasti mimpi itu sama ada daripada gangguan biasa atau sihir adalah kekerapan mimpi yang sama, jika mimpi itu berulang maka ia adalah sihir yang dihantar seseorang untuk menganggu hidupnya.
3) Mimpi yang baik dan benar (al-ru’ya al-hasanah)
Mimpi yang baik. Mimpi ini datangnya dari ALLAH SWT. Cirinya, mimpi tersebut membahagiakan dan menggembirakan tanpa perlu difikirkan atau dilamunkan selepas mimpi itu hadir. Ketika bangun daripada tidur, hatinya tenang dengan mimpi tersebut.
Jelas beliau lagi, untuk membezakan setiap mimpi itu bukanlah kepakaran kita untuk mentakwilkan mimpi, maka rujuklah kepada orang yang baik ilmunya dan pakar dalam bab itu.