KEJAYAAN qari orang kurang upaya (OKU) dari Malaysia, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi menjadi johan kategori tilawah pada Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2023 menjadi bualan hangat di media sosial.
Rata-rata warganet dilihat begitu kagum dengan kehebatan pemuda berusia 25 tahun itu meskipun diuji dengan masalah cacat penglihatan.
Tinjauan Sinar Islam Plus menerusi laman sosial Facebook mendapati, ramai netizen bukan sahaja merakamkan ucapan tahniah atas kemenangannya, tetapi pencapaiannya turut menjentik hati mereka bahawa al-Quran sememangnya mencelikkan jiwa manusia.
Baca juga Qari Malaysia, Qayyim Nizar rangkul juara Tilawah Antarabangsa ke-63
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dilihat antara pemimpin yang tidak melepaskan peluang mengekspresikan penghargaan kepada qari asal Kelantan itu.
Menerusi perkongsian di laman sosial Facebook miliknya, susulan pencapaian tersebut, Kerajaan Negeri akan meneruskan usaha-usaha memartabatkan generasi al-Quran sebagai panduan hidup seharian.
“Kejayaan Muhammad Qayyim Nizar merupakan detik bersejarah kepada negara dan negeri Kelantan dengan keistimewaan membaca al-Quran menerusi naskhah Braille.
Baca juga Hilang penglihatan bukan halangan Qayyim jadi juara
“Ini menunjukkan ketinggian mukjizat al-Quran yang sentiasa dijaga oleh ALLAH SWT,” katanya.
Ia sebagaimana firman ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya KAMILAH yang menurunkan al-Quran, dan sesungguhnya KAMI benar-benar memeliharanya.” (Surah al-Hijr, ayat 9)
Seorang pengguna akaun Facebook Muhammad Nor Affandi berkata, cacat penglihatan bukan penghalang kepada Muhammad Qayyim Nizar meraih kecemerlangan.
Jelas beliau, manusia yang bisu sangat berharap untuk membaca al-Quran, manakala kelompok pekak pula begitu mengimpikan untuk mendengar bait-bait suci kalamullah itu.
“Orang buta pula sangat menginginkan untuk melihatnya, tetapi kita yang sempurna ini telah dilalaikan dengan kesibukan dunia,” tulisnya.
Sementara itu, pemilik akaun Facebook Siti Aini pula melahirkan rasa kagum atas kejayaan diraih qari OKU tersebut.
“Masya-ALLAH, OKU penglihatan juara qari antarabangsa. Dia buta penglihatan, tapi celik hati, masya-ALLAH Allahuakbar.
“(Ia) Jentik hati kita semua…celik sempurna penglihatan, al-Quran baca tak setiap hari?,” tulisnya sebagai muhasabah diri dan pedoman untuk semua agar bersyukur dengan nikmat kurniaan ALLAH SWT.
Bagi Syahr Musafir, dirinya seakan ‘kerdil’ apabila melihatkan kekurangan Muhammad Qayyim Nizar sebagai OKU, tetapi berupaya mengaji dengan baik dan begitu sedap pada halwa telinga.
“Rendah diri saya melihatkan qari Qayyim yang diuji masalah penglihatan ini boleh mengaji, masya-ALLAH sedap sangat. Malu saya,” tulisnya di laman sosial Facebook miliknya.
Sesungguhnya, benarlah al-Quran itu mencelikkan kehidupan manusia dan mendamaikan jiwa sesiapa sahaja.
Semakin dibaca, semakin bercambah cinta. Apabila ditelaah pula, bertambah banyak ilmu yang ditimba.