KADANG besar, kadang kecil. Ada yang berbentuk bunga, selebihnya dalam bentuk selimut.
Begitulah rupa karya sulaman yang sedang menghiasi dinding-dinding Pusat Kesejahteraan dan Kerohanian Amanah di Blackburn, United Kingdom (UK). Walaupun berbeza bentuk dan warna, semuanya disulam dengan terjemahan ayat al-Quran dalam bahasa Inggeris.
Individu di sebalik hasil kerja unik ini merupakan seorang artis pekak beragama Islam bernama Alex Tritton.
Mempunyai minat dalam menjahit sejak kecil lagi, Alex mula menghasilkan tekstil sulaman mengandungi frasa-frasa al-Quran pada tahun 2013.
Karya-karya beliau mempunyai reka bentuk rumit yang menyentuh pelbagai elemen Islam seperti mukjizat al-Quran dan hijab. Hasil sulaman yang kecil mengandungi frasa-frasa al-Quran manakala karya seni yang lebih besar meneroka aspek penting dalam kehidupan seorang Muslim.
Masa yang diambil untuk menghasilkan suatu sulaman boleh mencecah dua bulan. Hal ini kerana Alex perlu menyelidiki latar belakang dan makna di sebalik frasa al-Quran yang dipilih terlebih dahulu.
“Ia suatu proses yang memakan masa kerana saya perlu mengkaji dan merancang apa yang saya akan lakukan terlebih dahulu. Sulaman pula dihasilkan pakai tangan. Walaupun begitu, saya seronok melakukannya,” Alex memberitahu Lancashire Telegraph.
Alex yang dilahirkan sebagai seorang Kristian mula mengenali agama Islam apabila diperkenalkan oleh rakan-rakan pada tahun 1992. Sebelum itu, pengetahuannya terhadap Islam hanyalah berdasarkan apa yang digambarkan oleh pihak media. Alex memeluk Islam pada tahun 1994.
Baca juga Belia Islam UK belajar pengurusan jenazah berikutan pandemik
Mempunyai kelulusan dalam kursus Kraf, Reka Bentuk dan Teknologi, sulaman tersebut dihasilkan untuk menggambarkan keindahan ayat-ayat al-Quran.
“Saya berharap orang ramai dapat memahami latar belakang ayat al-Quran. Saya juga ingin mengubah tanggapan salah (tentang Islam) yang masih wujud dalam fikiran orang ramai melalui hasil kerja saya”, tambah Alex.
Menurut Alex lagi, dia ingin membuktikan bahawa masalah pendengaran tidak menjadi penghalang untuk melakukan sesuatu.
Dahulu, karya seni Alex pernah dipamerkan di masjid Al Rahma di Liverpool. Kini ia boleh dilihat di Pusat Kesejahteraan dan Kerohanian Amanah, yang berpusat di Sekolah Tabika Palm di Jalan St Silas, Blackburn.
Noreen Hameed dari Sekolah Tabika Palm berkata, “Alex bekerja keras menghasilkan sulamannya. Kami berharap orang ramai dapat datang dan melihat hasil kerjanya secara santai.
Ini cara kami untuk mendekati para Muslimin lain dan orang-orang bukan Islam yang ingin tahu lebih dalam tentang Islam.”
Jangan lupa untuk follow kami di Instagram!
Foto: Lancashire Telegraph