PANIK dan sedih bercampur baur. Tidak dinafikan kekalutan terjadi saat ahli keluarga meninggal dunia.
Setiap yang bernyawa pasti merasai mati. Matinya manusia maka terputuslah hubungan antara jasad dan roh dan merupakan detik permulaan manusia menuju ke negeri akhirat yang merupakan garis permulaan bagi satu perjalanan yang sangat panjang.
Baca juga Ambillah peluang, tunaikan solat jenazah untuk saudara seagama kita. Ini sebab-sebabnya
Kematian datang tanpa diduga, manusia tidak boleh lari daripada kematian. Masa, tempat, keadaan kematian telah ditentukan dan hanya menunggu sahaja tanpa diketahui. Ia boleh terjadi pada hari ini, esok atau bila-bila sahaja.
Baca juga Mengapa jenazah meninggal di Makkah, wajah tidak bertutup dan diselimut kain berbeza warna?
Justeru, sekiranya kematian terjadi kepada orang terdekat, jangan panik sebaliknya lakukan lima langkah ini.
Terdapat adab-adab atau perkara yang perlu dipraktikkan dalam urusan jenazah seperti berikut;
1-Memejamkan kedua-dua belah mata.
2-Mengikat dagu ke kepala dengan perca kain yang agak lebar supaya mulutnya tidak ternganga atau dimasuki serangga kecil dan lain-lain.
3-Meletakkan jenazah pada tempat yang tinggi sedikit seperti katil.
4-Pastikan kaki jenazah dilunjurkan kaki ke arah kiblat.
5-Ikatkan kedua-dua belah ibu jari kaki dengan perca kain.
6-Tanggalkan pakaian dan tutup seluruh badannya dari kaki ke kepalanya dengan kain yang tidak begitu tebal.
7-Kedua-dua belah tangan jenazah hendaklah berada pada kedudukan seperti semasa solat.
8-Tangan kanannya diletakkan di atas tangan kiri dan sebaik-baiknya ia diikat dengan perca kain supaya tidak terbuka dan terkulai ke bawah.
9-Rapatkan kedua-dua belah lengannya ke badan dan kedua belah kakinya dengan perlahan-lahan supaya lembut sendi-sendinya dan mudah dimandikan.
10-Hendaklah diletakkan sesuatu objek yang agak berat sedikit di atas perut jenazah untuk mengelakkan perut si mati supaya tidak membesar dan buncit. Pun geitu, elakkan mengguna al- Quran atau kitab agama.
@kamiada_ Kematian tidak mengira usia mahupun masa, tidak dipercepat atau dilambatkan walau sesaat
Bertenang dan jangan panik. Maklumkan kematian kepada ahli jawatankuasa masjid terdekat bagi membantu pengurusan jenazah. Kemudian hubungi ahli keluarga bagi memaklumkan berita pemergian si mati.
Perkara seterusnya yang perlu dilakukan ialah mendapatkan pengesahan meninggal dunia daripada doktor dan buat laporan polis. Permit pengebumian akan diperolehi sebagai kebenaran urusan pengebumian jenazah.
Menurut Jabatan Mufti Pulau Pinang, terdapat empat perkara yang perlu dilaksanakan oleh orang yang masih hidup apabila saudara Islam meninggal dunia iaitu;
Memandikan
Mengkafankan
Menyembahyangkan
Mengebumikan
Keempat-empat perkara ini wajib dilaksanakan dengan sempurna dan segera kecuali orang mati syahid.
Bagi ahli keluarga yang mampu, hendaklah segera membayar hutang si mati jika beliau memiliki hutang sama ada dibayar menggunakan harta peninggalan si mati atau pertolongan ahli keluarga itu sendiri. Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA:
“Roh orang Mukmin itu, tergantung (tidak sampai ke hadrat ALLAH) kerana hutangnya hingga dibayar dahulu hutangnya itu (oleh keluarganya).” (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan al-Tirmizi)
Tambah pihaknya, sekiranya kaum keluarga tidak mampu membayarnya, maka terserahlah kepada ALLAH Yang Maha Pemurah dan Maha Pengampun mengikut tujuan dan maksud semasa orang itu berhutang.
Dari Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Hutang itu ada dua jenis. Sesiapa yang mati meninggalkan hutang. sedangkan ia berniat untuk membayarnya, maka akulah yang akan menjadi walinya (melindunginya), dan sesiapa yang mati, sedangkan ia tidak berniat untuk membayarnya, maka pembayarannya akan diambil dari amal kebajikannya, kerana di waktu itu tidak ada emas atau perak untuk membayarnya.” (Hadis Riwayat al-Tabarani)
Semoga dengan perkongsian ini dapat membantu anda semua membuat persiapan minda sekiranya berlaku kematian dalam kalangan ahli keluarga terdekat.
Sumber: Jabatan Mufti Pulau Pinang, TikTok @kamiada_
Baca juga Nasib Malang Jika Bawa Jenazah Dalam Kenderaan Persendirian?
The post Jangan panik, kalut, 10 perkara perlu buat apabila ahli keluarga meninggal dunia appeared first on Sinar Plus.