UPAH atau badal haji bermaksud melakukan ibadah haji bagi pihak orang lain. Harus dilakukan sekiranya seseorang itu telah memenuhi syarat-syarat wajib menunaikan haji, tetapi tidak dapat melaksanakannya kerana sebab-sebab tertentu.
Haji boleh ditunaikan oleh warisnya atau orang lain. Di antara sebab yang mengharuskan haji diwakilkan kepada orang lain adalah seperti meninggal dunia, tidak mempunyai keupayaan fizikal, orang yang sakit tidak ada harapan sembuh, sudah lanjut usia dan sebagainya.
Di Malaysia, pelbagai agensi pelancongan haji atau umrah menawarkan perkhidmatan badal haji. Namun sedikit terkilan dengan isu yang terbit baru-baru ini, ramai yang mengambil kesempatan atau lebih dikenali sebagai ‘scammer’ dengan memperdaya mangsa untuk melakukan badal haji dengan menawarkan pakej-pakej yang tidak masuk akal.
Perkongsian di laman Facebook oleh seorang penulis buku ‘Embara Kasang Diselimuti Oasis’ Masnira Ramli mengenai isu badal haji yang berbeza setiap tahun. Beliau merupakan pemegang visa residen di Mekah.
Menurutnya, setiap tahun pasti akan menerima soalan tentang badal haji, untuk menerangkan tentang ibadah ini agak mencabar baginya kerana hanya yang menetap di Makkah sahaja faham bagaimana keadaan sebenarnya.
Baca juga Kekeliruan kaum ibu, daging korban tidak boleh disimpan melebihi 3 hari? Ini penerangan agamawan
Beliau mengulas isu ini kerana melihat ‘scammer’ semakin rancak menjalankan perniagaan yang berlandaskan penipuan dan semata-mata hanya mahu mengambil kesempatan makan duit komisyen ‘atas angin’ tanpa betul jujur dan amanah tentang bab ibadah ni.
Bagi memudahkan orang ramai memahami tentang upah haji, beliau kelaskan era ataupun zaman badal haji kepada empat zaman.
1) Zaman lapan tahun lepas dan sebelumnya
Zaman penduduk Makkah bebas untuk buat haji tanpa permit. Masnira menceritakan mengenai pengalaman menunaikan haji tanpa sebarang permit dan menggelarkanya sebagai haji koboi tanpa perlu risau tentang kelulusan permit. Bahkan pihak polis juga tidak mengambil sebarang tindakan kepada mereka.
Pada zaman itu, memang ramai penduduk tempatan Makkah yang ambil kos badal dengan harga yang murah, serendah 1000 Riyal atau paling tinggi pun 3000 Riyal. Itu pun ada yang lebih murah hanya untuk melepasi kos makan dan pengangkutan awam sahaja.
Tidak dinafikan, lapan tahun lepas juga sudah wujud manusia yang mengambil kesempatan laksanakan haji menggunakan dua atau tiga nama sekaligus. Disifatkan amat tamak kerana mahu mengambil untung yang lebih, namun ada juga yang jujur dan amanah melakukan badal haji terutama kepada warga tempatan yang susah.
2) Zaman polis semakin tegas untuk membanteras orang tempatan yang buat haji tanpa permit
Pada zaman ini pula, notis sudah dikeluarkan bagi sesiapa yang tertangkap mengerjakan haji tanpa permit dan boleh dikenakan tindakan sehingga maksimum 50k atau penjara atau kalau orang luar pemegang visa residen boleh dihantar pulang (deportasi) ke negara masing-masing.
Pada era ini, ramai yang tidak berani melakukan badal haji memadangkan kos yang agak tinggi dengan anggaran untuk membuat permit sahaja harganya bermula RM2,500 tidak termasuk sewa khemah, makanan, pengangkutan dan sebagainya.
Baca juga Cabaran umat Islam era pra-merdeka menunaikan ibadah haji.
Jelas Masnira lagi, masih ada yang berani melakukan haji tanpa keizinan kerana beranggapan pihak berkuasa Saudi pada waktu itu tidak terlalu tegas. Walaupun tidak diganggu ketika melaksanakan ihram namun secara rawak mereka akan menyemak untuk melihat permit jemaah haji.
Bagi sesiapa yang tidak mempunyai permit, tindakan tegas tidak akan dikenakan pada waktu itu, pihak polis hanya mengambil cap jari jemaah tersebut, kemudian barulah diambil tindakan ketika jemaah memperbaharui visa, sama ada disaman atau dihantar pulang ke negara asal terus.
3) Zaman covid-19 (tahun 2020 dan 2021)
Dua tahun ini memang sejarah tidak ada kuota haji dari negara luar Saudi. Namun, ada juga yang sudah mendapat sijil badal dan air zam-zam kerana harga badal yang ditawarkan pada zaman Covid-19 itu mencecah RM1800, RM2500 dan sehingga RM3000.
Tahun tersebut warganegara Malaysia yang menetap dalam Saudi dan dapat buat haji boleh dikira dengan jari jumlahnya. Majoriti adalah haji pertama. Ada yang buat badal haji berurusan terus dengan orang yang diupah. Harga pakej adalah bermula dengan 12k, dan memang ada yang sanggup membayar badal haji dengan harga tersebut.
Jelas Masnira lagi, sesiapa yang mendapat tempat untuk membuat badal haji pada tahun 2020 dan 2021 serta melalui mana-mana ejen dan bukan berurusan terus dengan pembuat badal, mereka sebenarnya telah ditipu oleh ‘scammer’ badal haji.
4) Tahun 2022
Kuota haji untuk seluruh dunia termasuk warganegara dan yang menetap dalam negara Saudi adalah sebanyak satu juta sahaja. Tabung Haji juga telah mengeluarkan amaran tentang badal haji. Kepada mereka yang menetap di Makkah dan ingin melaksanakan haji perlu berdaftar mengambil pakej haji. Harga pakej paling murah pada tahun ini adalah RM12,000 sehingga RM18,000.
Menurut Masnira, untuk warga tempatan Makkah yang ada niat untuk melaksanakan haji tanpa permit tahun ini juga belum tahu bagaimana khabarnya kerana sehingga ini, pihak polis amat tegas. Di bahagian sempadan, pihak berkuasa sudah mula membuat kawalan bagi memastikan pemegang visa haji dan penduduk tetap Makkah sahaja yang dapat keluar masuk. Jadi, kemungkinan besar agak sukar untuk masuki tanah Arafah tanpa permit.
Jadi bagaimana ingin memastikan pembuat badal telus dan amanah? Berikut merupakan cadangan dari Masnira agar tidak tertipu dengan ‘scammer’ badal haji.
1) Lebih baik ada hubungan terus dengan pembuat badal haji.
2) Elakkan menggunakan ejen yang tidak dikenali atau tidak mahu memberitahu secara terperinci siapa yang akan uruskan badal tersebut.
3) Membuat satu ‘group’ khas di telegram atau whatsapp utuk sentiasa update gambar-gambar mengenai badal haji terkini terutama kepada waris haji. Pembuat badal haji perlu rekod suara atau video lafaz niat yang menyebut nama. Walaupun cara ini agak tegas namun inilah langkah terbaik untuk menghapuskan ulat-ulat yang mengambil kesempatan ibadah badal haji ini.
Sebagai waris kepada badal haji, seharusnya rujuklah kepada yang lebih arif mengenai perkara ini kerana ia melibatkan ibadah rukun Islam kelima. Dan bagi agensi yang menjalankan perkhidmatan ini, janganlah mengambil jalan singkat dengan memperdaya mangsa yang kurang pengetahuan tentang bab ibadah ini.