ISTERI kepada pendakwah Prof Madya Datuk Dr Mohd Ravi atau dikenali Ustaz Farid Ravi iaitu Datin Suziana Mohd Soyong dilaporkan meninggal dunia, petang Isnin.
Perkara itu dimaklumkan oleh pendakwah berkenaan menerusi hantaran dimuat naik di akaun Facebook miliknya jam 6.21 petang semalam.
Mohd Farid Ravi memaklumkan bahawa isterinya menghembuskan nafas terakhir pada jam 5.40 petang di Hospital Serdang.
“Kepada semua yang mengenali isteri saya mohon doakan kebaikan dan keampunan untuk Almarhumah. Juga mohon dimaafkan salah dan silap. Sekiranya ada berhutang, mohon dihalalkan atau tuntutlah hutang Almarhumah daripada saya.
“Perginya insan yang paling mengenali saya dan banyak jasanya. Abang doakan agar ummi ditempatkan bersama para solihin,” katanya.
Solat jenazah telah diadakan selepas solat Isyak di Masjid Bandar Seri Masjid Bandar Seri Putra, Bangi, malam semalam.
Baca Juga BELASUNGKAWA. Tokoh pemikir Islam, Tan Sri Mohd Kamal Hassan meninggal dunia
“Semoga abah kuat jaga hadiah ummi enam orang dengan baik. Tenanglah ummi di sana,” katanya.
Dalam pada itu, rakan seperjuangan dakwah, Ustazah Asma’ Harun juga mengucapkan takziah atas pemergian isteri tercinta Ustaz Farid Ravi.
“Allahyarhamah Ustazah Datin Hjh. Suziana Binti Mohd. Soyong merupakan seorang guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab di SMK Bandar Seri Putra, Selangor, telah berkhidmat lebih kurang 15 tahun. AllahuAkbar, besar jasa serta pengorbanan Allahyarhamah dalam bidang pendidikan. Semoga ALLAH memberkati arwahyarhamah,” katanya menerusi satu perkongsian di media sosial.
Jabatan Agama Islam Pahang juga turut merakamkan ucapan takziah kepada Ustaz Farid dan keluarga atas pemergian isteri beliau.
“Kami merakamkan ucapan takziah kepada Prof. Madya Dato’ Dr Haji Mohd Farid Ravi bin Abdullah, Ahli Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) merangkap Rektor Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS) dan keluarga di atas kembalinya ke rahmatullah isteri beliau, Datin Hajjah Suziana binti Mohd Soyong pada jam 5.40pm di Hospital Serdang.
Baca Juga Nikmati fasa kritikal dan kemuncak ujian kehidupan pada usia 30 hingga 39 tahun
“Semoga roh almarhumah dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para salafussaleh,” tulis JAIP menerusi satu hantaran di Facebook.