PERDANA Menteri Israel, Naftali Bennett yang mengeluarkan kenyataan menolak campur tangan pihak luar dalam pengurusan hal-ehwal Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis telah mengundang kemarahan Jordan dan Palestin.
Pendirian beliau dilihat menafikan perjanjian damai Israel-Jordan pada 1994 yang memberikan peranan kepada Jordan untuk menguruskan dan menyelia kesucian Islam dan Kristian di kota lama tersebut.
“Kami tolak sebarang campur tangan asing,” katanya ketika beliau menarik balik perjanjian tersebut yang turut melarang pencerobohan bangsa Yahudi di pekarangan al-Aqsa (Haram al-Sharif) yang menjadi punca utama konflik di kota suci itu.
Menurutnya, sebarang keputusan tentang al-Aqsa dan Baitulmaqdis akan ditentukan oleh rejim Tel Aviv.
Menerusi ucapan pembukaan sesi Kabinet pada Ahad, Bennett juga menyatakan Israel akan terus mengekalkan layanan hormat terhadap semua agama di Baitulmaqdis.
Sebagai respons, Jawatankuasa Palestin Parlimen Jordan bertindak menyelar kenyataan perdana menteri berkenaan yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.
“Anda jangan cuba untuk menguji kesabaran dua bilion orang Islam di seluruh dunia. Ia adalah cubaan untuk mencetuskan konflik agama dan satu bentuk ‘rampasan’ terhadap realiti bersejarah al-Aqsa dan Baitulmaqdis,” jelasnya.
Melalui perjanjian damai Israel-Jordan, kerajaan Amman tersebut bertanggungjawab ‘menjaga’ kompleks tersebut. Malah, kedua-dua pihak juga seharusnya bekerjasama untuk mengeratkan hubungan serta mewujudkan sifat toleransi dan keharmonian sesama agama berlainan.
Namun, pihak Badan Agama Wakaf Islamik Jerusalem biayaan Jordan yang menguruskan pentadbiran Masjid al-Aqsa berkata, campur tangan rejim Tel Aviv dalam urusan seperti pelantikan pengawal keselamatan telah menyukarkan usaha keamanan tersebut.
Turut difahamkan, pegawai Jordan dan Israel bersetuju untuk mengadakan pertemuan selepas Ramadan untuk membincangkan pengaturan sekitar al-Aqsa, namun tiada tarikh atau butiran tentang mesyuarat itu telah ditetapkan sehingga kini.
Tegas Menteri Luar Negeri Jordan, Ayman Safadi, “Ini adalah tempat ibadah untuk umat Islam dan hanya pihak Wakaf Jordan yang mempunyai kuasa penuh menguruskan kompleks.
Israel tiada kuasa daulat ke atas Masjid al-Aqsa”
Sumber: Sinar Harian, Arab News, The Jerusalem Post
Foto: Pexels