SEMALAM tular menerusi laman sosial gelagat orang ramai membaca khutbah raya di kediaman masing-masing.
Pembacaan khutbah tersebut dilaksanakan selepas umat Islam menunaikan sunat Aidilfitri di rumah bersama keluarga pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pun begitu, yang menjadi perhatian warga net apabila segelintir individu cuba menggantikan barang lain sebagai tongkat khutbah.
Antaranya, kayu mop, kayu golf, mesin treadmill, tukul ‘Thor’ dan pedang mainan.
Namun begitu, situasi terbabit mendapat maklum balas daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Beliau menasihatkan umat Islam supaya tidak menjadikan tongkat khutbah sebagai bahan lawak.
“Mengenai gambar yang tular itu, tiada masalah ke atas solat sunat Aidilfitri dan khutbah yang dibacakan.
“Khutbah yang disampaikan adalah baik namun kalau boleh, apa yang hendak dipegang sebagai tongkat atau lain-lain biarlah melambangkan keseriusan dan bukan menjadi bahan lawak.
“Justeru, carilah tongkat walaupun hukumnya sunat memegang sesuatu ketika berkhutbah,” katanya seperti memetik Bernama hari ini.
Mengulas lanjut, beliau turut memberitahu, solat hari raya dan bacaan khutbah yang dilakukan di rumah adalah jawapan untuk penyelesaian bagi mereka yang tidak mampu solat di masjid atau surau.
Ia berikutan permulaan menjadi kebiasaan baharu dalam beribadah dan kehidupan bagi mengekang wabak Covid- 19.
Berdasarkan rujukan yang dilakukan di laman web rasmi pejabat mufti Wilayah Persekutuan, sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hakam bin Hazan menyatakan selain daripada beberapa syarat yang perlu dipatuhi bagi pembacaan khutbah, para ulama juga menetapkan beberapa perkara sunat lain yang boleh diikuti, antaranya memegang tongkat, pedang, atau busur anak panah.
Sementara itu, bagi pembacaan khutbah pula, disunatkan bagi mereka yang melakukan solat hari raya secara berjemaah di rumah.
Bagi imam mereka membaca khutbah raya selepas solat hari raya selesai dilakukan manakala ia tidak dituntut bagi yang melaksanakannya secara bersendirian kerana tidak ada faedah padanya.