MUZIK dan konsert merupakan salah satu cabang seni yang sebati dalam kehidupan manusia sejak zaman dahulu sehingga ke hari ini.
Baru-baru ini agak kecoh di laman media sosial apabila pendakwah bebas, Syed Mohd Bakri Syed Ishak atau lebih dikenali sebagai PU Syed lantang bersuara mengenai satu kumpulan muzik ternama dari United Kingdom, Coldplay yang bakal mengadakan konsert di Kuala Lumpur pada 22 November depan.
Terbaru pula, PU Syed turut menegur penyanyi dangdut Baby Shima yang dikatakan telah mengeluarkan fatwa sendiri mengenai halal haram konsert.
Dalam satu hantaran, penyanyi itu berkata tiada masalah konsert diadakan di Malaysia. Masyarakat mempunyai pilihan sama ada nak menonton atau duduk di rumah sahaja bagi yang merasakan ia haram.
PU Syed meluahkan rasa bimbang apabila seseorang yang tak faham agama sewenang-wenangnya berbicara tentang halal dan haram. Tindakan itu dikhuatiri akan menjerumus seseorang ke golongan Ruwaibidhah (seseorang yang lemah dan tenggelam di dalam hal-hal keduniaan dan sentiasa menginginkannya).
Jelasnya lagi, hukum menyanyi dan penganjuran konsert telah dibahaskan oleh ulama, ia dibenarkan jika jaga adab dan patuh syariat. Tetapi jika sebaliknya, mohon dihentikan.
Merujuk laman web Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan jumhur ulama dan fuqaha’ mengharamkan alat muzik.
Namun ada sebahagian mereka yang mengharuskan alat muzik dalam keadaan tertentu.
Berikut beberapa fatwa dan pandangan ulama kontemporari;
1. Fatwa Dar al-Iftaa’ Misriyyah
Nyanyian dan muzik secara amnya terbahagi kepada dua, iaitu yang diharuskan dan yang diharamkan. Ini kerana nyanyian itu satu bentuk komunikasi dan susunan perkataan. Perkataan yang baik maka ia baik, perkataan yang buruk maka ia menjadi buruk.
Adapun pandangan para ulama yang mengharamkan sebahagian alat muzik adalah kerana alat muzik itu dimainkan untuk menggalakkan aktiviti maksiat, dan bukan kerana sifatnya sebagai alat muzik semata-mata.
Baca Juga Islam mencela pasangan yang suka mendedahkan aib
Mendengar muzik dan nyanyian serta menghadiri konsert adalah harus jika lagu-lagu yang dimainkan berunsur keagamaan dan menyeru kepada patriotisme dan semangat kenegaraan.
Ataupun bagi menzahirkan kegembiraan sempena perayaan dalam keadaan mengelakkan percampuran bebas lelaki dan perempuan.
Selain itu, nyanyian berkenaan juga haruslah bebas daripada unsur jelek, dosa dan perkara yang diharamkan seperti arak dan kelucahan, tidak menimbulkan nasfu syahwat serta tidak melalaikan daripada perkara-perkara yang wajib.
Nyanyian dan muzik yang haram pula ialah tidak memenuhi syarat-syarat di atas, serta menimbulkan fitnah, menghilangkan sifat malu dan meruntuhkan akhlak.
2. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-2 yang bersidang pada 12 hingga 13 Mei 1981 membuat keputusan seperti berikut:
– Nyanyian yang senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah adalah harus;
– Jika nyanyian senikatanya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah haram;
– Pancaragam yang melalaikan hukumnya haram;
Baca Juga Isu kalimah ALLAH, pihak berwajib perlu lebih prihatin
– Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap, tidak bercampur lelaki dan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah; dan
– Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus.
3. Fatwa Syeikh Dr. Yusof al-Qaradhawi
Menurut Syeikh al-Qaradhawi, isu ini menjadi khilaf yang hangat diperdebatkan dalam kalangan ulama. Nyanyian yang disepakati haram ialah yang melibatkan maksiat atau mempunyai unsur mengajak ke arah maksiat.
Adapun yang disepakati harus pula ialah nyanyian yang menjurus ke arah naluri fitrah yang dialunkan untuk dirinya, nyanyian sesama suami isteri atau sesama kanak-kanak. Selain daripada jenis-jenis ini termasuk di bawah ruang perselisihan para ulama.
Beliau mentarjihkan pandangan yang mengharuskan muzik dan nyanyian dan ia merupakan hukum asal bagi perkara-perkara baik dan dan indah. Namun, terdapat beberapa unsur luaran yang terpalit padanya yang menyebabkan hukum boleh berubah kepada haram atau makruh tahrim.
Beliau turut meletakkan beberapa peringatan dan garis panduan bagi sesiapa yang mendengar nyanyian dan mempraktikkannya:
– Sesiapa yang berniat mendorong diri untuk melakukan maksiat melalui nyanyian, maka dia seorang fasik. Jika bertujuan merehatkan jiwa, membantu untuk taat kepada ALLAH SWT dan menyegarkan diri, maka ia dikira perbuatan yang baik. Jika tidak berniat baik atau buruk, maka ia dikira perbuatan al-lahwu/ al-bathil (sia-sia) yang tidak berpahala mahupun dosa.
Baca Juga Komposer, Penulis Lirik Disaran Hasilkan Lagu Patuh Syariah. Elak Umat Islam Lalai Dan Alpa
– Lirik mestilah tidak mengandungi unsur menyalahi akidah, hukum-hakam dan kewajipan Islam.
– Gaya penyampaian penyanyi mestilah menjaga batas-batas syarak.
– Agama Islam menolak sebarang unsur keterlaluan dalam setiap perkara, meskipun dalam isu ibadah. Keterlaluan dalam perkara harus akan menghabiskan masa yang sepatutnya digunakan untuk melakukan kewajipan.
– Setiap pendengar mestilah menilai dan menentukan sendiri nyanyian yang boleh didengar. Mereka lebih mengetahui bentuk-bentuk nyanyian yang mampu merangsang nalurinya, menggodanya kepada fitnah dan melupakan unsur rohani dalam dirinya.