MESKIPUN diuji dengan bencana alam seperti banjir, namun perkara berkaitan kewajiban kepada Sang Pencipta tidak boleh dipandang enteng.
Lantaran itu, Pengarah Institut Fatwa dan Halal, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Dr Irwan Mohd Subri mencadangkan pegawai agama atau imam ditempatkan di pusat penempatan banjir untuk membimbing, sekali gus menghidupkan solat berjemaah atau aktiviti kerohanian.
“Andai pusat berkenaan tiada kemudahan surau, Jabatan Agama Islam Negeri boleh mengambil inisiatif mewujudkan kemudahan surau bergerak, khemah sementara dan sebagainya bagi tujuan tersebut.
“Walaupun sudah ada pegawai daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, kaunselor atau pegawai psikologi dan Persatuan Bulan Sabit Merah di pusat-pusat penempatan, adakalanya mangsa banjir memerlukan sokongan kerohanian untuk mengurangkan trauma yang dialami,” katanya.
Dr Irwan yang pernah terlibat sebagai penyelidik fiqh banjir menjelaskan, pihaknya mendapati banyak isu berkaitan fikah dilontarkan hasil kaji selidik yang dijalankan bermula 2014 hingga 2017.
Antara persoalan fikah berbangkit termasuk dalam perihal bersuci, solat, batasan aurat dan menggunakan harta bukan milik sendiri ketika banjir.
Baca juga Amalkan 2 Doa Ini Ketika Musibah, Lebih-Lebih Lagi Mereka Yang Terkesan Dengan Banjir
“Menerusi dapatan berkenaan, kami telah membangunkan satu garis panduan ibadah menerusi aplikasi Fiba (Fiqh Banjir) yang boleh dimuat turun di Play Store secara percuma.
“Ada antara isu berbangkit dalam hal ini sudah diaplikasikan, misalnya kemudahan khemah di pusat penempatan. Saya pernah terlibat dalam pengurusan pusat penempatan banjir di Sekolah Kebangsaan Kota Warisan tahun lalu. Dalam setiap kelas, terdapat empat khemah untuk kegunaan empat keluarga, jadi terpelihara dari segi pergaulan dan isu aurat,” katanya.
Mengambil contoh situasi bah yang menenggelami kampung, pusat pemindahan mahupun air banjir yang melimpah sama ada dari sungai atau longkang dan mengalir di jalanan, Dr Irwan berkata, penggunaan air banjir untuk bersuci ketika itu diharuskan andai ia tidak memudaratkan kesihatan dan keselamatan pengguna.
“Secara asasnya, air banjir kategori ini dianggap air mutlak kerana kuantitinya yang banyak (lebih daripada dua kolah) dan perubahan warna, bau serta rasanya berlaku dengan sendiri dan sukar dielakkan,” ungkapnya.
Baca juga Jumpa Harta Benda Tidak Diketahui Pemiliknya Ketika Banjir, Berikut Tatacara Menguruskannya
Tangguh pilihan raya jika kawasan banjir
Bagaimana pula dengan peranan pemerintah dalam pengurusan banjir jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan ketika negara dilanda banjir?
Menjawab persoalan itu, Pensyarah Kanan, Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali menjelaskan, kerajaan sementara ketika ini masih boleh menjalankan tugas pentadbiran seperti biasa termasuk pengurusan bencana.
Dalam hal itu, ujar beliau, jentera yang berkait rapat dalam persediaan menghadapi bencana seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia masih berfungsi.
“Cuma kita bimbang andai banjir berlaku dalam suasana pilihan raya bermula seperti kempen dan sebagainya, sepatutnya pihak keselamatan perlu memberi fokus padanya. Sebagai contoh, pihak polis mesti digerakkan untuk mengawal orang awam semasa berkempen.
“Apabila berlaku bencana, pihak keselamatan terpaksa dikerah menguruskannya,” katanya.
Pada masa sama, jelas Dr Mazlan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh menangguhkan pengundian bagi kawasan tertentu yang terjejas teruk akibat banjir sehingga keadaan pulih tetapi ia mestilah dijalankan sebelum tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen.
Baca juga Ibrah kisah Zulqarnain, pemimpin yang penuh sifat qawwam
Bagaimanapun, katanya, langkah itu akan meningkatkan kos jika pilihan raya kawasan berkenaan diadakan pada hari lain. “Sudah pasti akan menimbulkan masalah tidak fokus dan kurangnya keberkesanan pihak berkuasa bagi menangani pilihan raya serta bencana alam pada masa sama.
“Di situ mungkin akan berlaku kelemahan dan seumpamanya. Justeru, pihak berkaitan perlu meneliti lanjut dengan menambah pegawai dan pelan kontingensi. Ia penting kerana bencana alam melibatkan nyawa rakyat,” katanya sambil mengingatkan pihak terlibat agar sentiasa bersedia menghadapi segala kemungkinan.
Pada 3 Oktober lalu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid berkata, seramai 76,336 pegawai dan anggota agensi tindak balas di semua peringat termasuk daerah diarah berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut yang boleh mengakibatkan banjir.
Persediaan itu turut melibatkan sejumlah 22,622 aset meliputi darat, air, udara dan perubatan.
Bukan sahaja kerajaan yang memainkan peranan tetapi masyarakat juga perlu menggembleng tenaga bagi menghadapi situasi bencana kelak.
Ahli akademik itu mengingatkan mereka yang terlibat di kawasan diramal banjir perlu bersedia dan mendengar arahan pihak berkuasa.
Baca juga Musibah banjir tanda peringatan buat manusia
“Simpan dokumen penting di tempat selamat. Jika perlu berpindah segera, sila patuhi arahan pihak berkuasa.
“Dengan ini risiko kemalangan jiwa dapat diminimumkan,” ujarnya.