KETERLIBATAN wanita dalam kepimpinan bukanlah sesuatu yang janggal lagi, terutama apabila melibatkan pilihan raya masa kini. Penglibatan kaum Hawa tidak kurang ramainya berbanding lelaki.
Seperti yang dinyatakan oleh portal HarakahDaily baru-baru ini apabila seramai 187 calon wanita akan bertanding pada PRU15 kali ini. Perkara ini jelas dapat dilihat bahawa peranan wanita juga amat penting dalam menerajui sesebuah tampuk kepimpinan.
Mengambil perkongsian Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, Dr Azri Bhari menjelaskan, wanita turut mempunyai peranan yang penting dalam sesebuah kepimpinan.
Malah katanya, sejarah mencatatkan Khadijah binti Khuwailid RA ialah tokoh perniagaan sebelum berkahwin dengan Nabi Muhammad SAW. Bahkan selepas berkahwin, beliau tampil sebagai insan dan wanita pertama beriman serta berani membela perjuangan baginda SAW.
“Sementara itu, Aisyah binti Abu Bakar RA pula terkenal sebagai pemimpin keilmuan yang menjadi rujukan para sahabat sama ada lelaki atau wanita dalam menuntut ilmu dan belajar.
“Seterusnya, sahabiyah iaitu Nusaybah binti Ka’ab yang terkenal dengan keberanian di medan tempur untuk melindungi dan membentengi Nabi Muhammad SAW daripada serangan yang muncul melalui pelbagai sudut,” katanya.
Tidak dinafikan memang ada pandangan yang menghalang wanita menjadi pemimpin dengan mengaitkan ayat 34, Surah an-Nisa’ yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah kaum pemimpin kepada wanita. Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggung jawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana ALLAH telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka.”
Begitu juga dengan firman ALLAH SWT: “Wanita itu mempunyai hak sama seperti mempunyai tanggungjawab yang harus dilaksanakan dengan baik. Dan lelaki mempunyai kelebihan darjat ke atas mereka.” (Surah al-Baqarah ayat 22)
Dua bahagian kepimpinan wanita
Bagi mendasari isu tersebut, ahli akademik tersebut lantas memetik pandangan Imam al-Qurtubi dalam mentafsirkan ayat di atas.
Jelas beliau, ulama itu menjelaskan, perkataan ‘darjat’ membawa maksud kelebihan dan keistimewaan kaum lelaki dari sudut kekuatan fizikal, akal dan ketegasan yang menjadi tonggak kekuatan dalam urusan pemerintahan.
Bukan itu sahaja, terdapat juga hadis tentang anak perempuan Kisra iaitu Buran yang menjadi Raja Parsi selepas kematian ayahandanya.
Ia sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW bahawa: “Tidak akan mencapai kejayaan selama-lamanya sesuatu kaum yang melantik wanita untuk memimpin urusan mereka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Justeru, ujar Dr Azri, perbahasan berkaitan keharusan kepimpinan wanita perlu dilihat pada pandangan ulama yang membahagikan kepemimpinan kepada dua bahagian.
“Pertama, ‘wilayah ammah’ iaitu tampuk kepemimpinan yang sangat luas dan tertinggi. Contohnya, jawatan ketua nombor satu dalam sesebuah negara atau disebut sebagai khalifah.
“Kedua, ‘wilayah khas’ iaitu tampuk kepemimpinan di peringkat kecil daripada jawatan-jawatan tertinggi dalam sesebuah negara. Contohnya selain daripada jawatan utama dan penting,” katanya.
Menyambung hujah, pensyarah itu menjelaskan, majoriti ulama berpendapat bahawa larangan yang terdapat dalam al-Quran dan hadis seperti dinyatakan di atas hanya pada ‘wilayah ammah’ iaitu kepemimpinan tertinggi dalam pemerintahan sesebuah negara.
“Sementara itu, dalam konteks ‘wilayah khas’, tidak dilarang bahkan diharuskan.
“Islam tidak membenarkan wanita berada di tampuk tertinggi negara antaranya kerana ia merupakan suatu bentuk penghormatan supaya tidak membebankan dan memberatkan kaum Hawa yang mengandung dan melahirkan zuriat, yang mana tidak ada pada kaum Adam.
“Pada masa sama, Islam juga tidak menghalang atau menafikan hak keterlibatan wanita bersama-sama dalam soal kepemimpinan untuk memberikan maslahah atau faedah serta mengelakkan bencana atau kemudaratan,” ungkapnya.
Baca juga 6 Ciri kepimpinan gaya Rasulullah SAW