DOA zahril ghaib ialah mendoakan sesuatu yang baik tanpa pengetahuan orang tersebut atau menyembunyikan doa yang baik dari pengetahuan orang yang didoakan.
Dalam ungkapan yang mudah, seseorang tidak mengetahui bahawa kita sedang atau sentiasa mendoakan untuk kebaikannya. Doa jenis ini merupakan salah satu doa yang mustajab (diperkenan ALLAH).
Seringkali kita terdengar dan diperdengarkan
“Kami doakan awak bahagia hingga ke anak cucu”.
“Saya doakan awak dapat dean’s list semester nie”.
“Awak tolong doakan saya ya.”pinta A. “Awak jangan risau, saya selalu doakan awak”, jawab B.
Sebagai manusia, kita terbiasa dengan ucapan memujuk sebegitu. Mungkin juga bagi menzahirkan keprihatinan di tahap tertinggi dan supaya sahabat tidak kecewa dengan ujian hidupnya.
Apabila kita meminta orang lain doakan, dan orang itu mendoakan maka ia dinamakan sebagai doa zahril ghaib iaitu doa tanpa pengetahuan orang itu.
Doa zahril ghaib adalah mustajab. Ada kemungkinan orang yang mendoakan kita itu adalah dari kalangan orang yang soleh dan hati bersih serta dekat dengan ALLAH.
Malaikat mengaminkan doa zahril ghaib. Malaikat turut mendoakan yang sama untuk kita.
Daripada Ummu Darda’ RA, Rasullullah SAW bersabda “Doa seorang muslim untuk saudaranya yang tidak ada di hadapannya mustajab. Di dekat kepala orang tersebut ada malaikat yang ditugaskan untuk itu. Setiap kali seorang muslim mendoakan kebaikan untuk saudaranya, maka malaikat berkata, “amin dan untukmu seperti (doamu padanya).” (Hadis Riwayat Muslim)
Nabi SAW pernah menyuruh para sahabat RA jika bertemu dengan Uwais Al-Qarni RA agar meminta beliau mendoakan untuk mereka. “Akan datang kepada kalian (pada suatu saat nanti) Uwais Al Qorni, dia adalah seorang yang sangat berbakti kepada ibunya, maka siapa diantara kalian berjumpa dengannya mintalah beliau untuk mendoakan kalian.”
Mendoakan sahabat
Apabila kita mendoakan untuk orang lain, rasa mahabbah sesama saudara Islam itu akan timbul dalam diri. Begitu juga dalam bersahabat, doalah elemen yang paling penting untuk mengekalkan ikatan ukhwah itu.
Dalam hadis, Rasulullah ada meriwayatkan “Perumpamaan kaum mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi, seumpama tubuh, jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau merasakan demam”. (Hadis Riwayat Muslim)
Dalam hadis tersebut membuktikan, dalam bersahabat perlu ada kesamarataan. Di mana jika sahabatnya berada dalam kesenangan, maka dia juga akan turut berasa senang tanpa ada iri hati dan sebagainya, begitu juga sebaliknya.
Namun sebagai orang yang dipinta mendoakan, perlu kita meraikannya dengan tutur yang berlapik agar tidak menzahirkan doa kita untuknya. Sekadar sebagai contoh “Insya-ALLAH awak akan berjaya”, “Insya-ALLAH moga ALLAH permudahkan awak” dan seumpamanya.
Sama ada berdoa secara zahril ghaib atau tidak ia adalah pilihan bukanlah suatu kewajipan, seandainya kita menitipkan doa secara zahril ghaib dijanjikan oleh Nabi SAW kita juga akan akan memperoleh seumpamanya sebagai satu hadiah atas suatu keikhlasan.