KES penculikan menjadi topik yang hangat di media sosial masa kini sehingga mencetuskan rasa bimbang kepada para ibu bapa kerana keselamatan anak-anak mereka terancam.
Seperti yang tular baru-baru ini, beberapa surat dari beberapa sekolah yang meminta supaya ibu bapa lebih peka terhadap keselamatan anak-anak dengan mengambil mereka tepat pada masa ekoran kejadian culik yang didakwa sering berlaku kebelakangan ini.
Namun perkara itu sudah dinafikan oleh Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, setakat ini pihak polis tiada menerima laporan daripada orang awam atau dari pihak sekolah mengenai insiden itu.
“Saya ingin menegaskan bahawa pihak sekolah tidak wajar mengeluarkan kenyataan bersurat atau menyebarkan maklumat melalui grup sosial yang akan memberikan kerisauan kepada ahli keluarga serta mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat”.
“Anggota masyarakat perlu bertenang dan pihak sekolah perlu sentiasa berhubung dengan pihak polis jika berlaku sebarang perkara berkaitan isu keselamatan melalui ketua polis daerah atau Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) masing-masing bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai situasi semasa,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Rohaimi berkata, pihak polis akan terus bekerjasama dengan pihak sekolah dalam memberikan maklumat terkini dan meningkatkan lagi rondaan di kawasan-kawasan sekolah di semua daerah di Terengganu terutamanya ketika tamat sesi persekolahan.
“Tiada masalah jika pihak sekolah mahu mengingatkan ibu bapa supaya sentiasa menitikberatkan isu keselamatan anak-anak.
Baca juga Ibu ayah amalkan doa ini agar anak terhindar daripada perkara sia-sia
“Apa yang menjadi isu ialah apabila isu keselamatan digunakan tanpa fakta yang benar sebab ia mendatangkan kegusaran kepada masyarakat kerana tiada berlaku kes penculikan setakat ini yang dilaporkan bukan seperti yang didakwa,” katanya.
Doa yang boleh diamalkan agar anak terhindar daripada segala bahaya
Pegawai Pejabat Pendidikan Islam Daerah Tangkak, Ustaz Fuad Osman berkongsi satu doa yang boleh diamalkan oleh ibu ayah agar anak-anak terhindar daripada segala bahaya dan musibah.
Menurut Fuad di laman Facebooknya, “Saya nasihatkan pada diri saya yang risau akan keselamatan anak-anak dari segala musibah dan perkara yang merisaukan seperti kes penculikan agar sering membaca doa ini pada waktu pagi”.
“اَسْتَوْدِعُ اللهَ الَذِي لاَ تَضِيْعُ وَدَائِعُهُ نَفْسِي وَأمَانَتِي وَخَوَاتِيمَ عَمَلِي وَبَيْتِي وَأَهْلِي وَأَحِبَّتِي وَمَالِي وَجَمِيعَ مَا أَنْعَمَ اللهُ بِهِ عَلَيَّ،
(Ya ALLAH daku titipkan sebagai suatu amanah, di mana KAU tidak pernah mensia-siakan barang yang diamanahkan kepada-MU, akan diriku, amanahku, segala bekalan baik amalanku, rumahku, keluargaku, insan kesayanganku, hartaku dan segala yang DIKAU anugerahkan kepadaku)
Orang yang membaca doa dengan dimulakan dengan perkataan استودع bermakna meletakan sesuatu yang berharga dalam hidupnya dalam pemeliharaan ALLAH.
Manakala bacaan ringkas boleh dibaca ketika melepaskan mereka dengan bacaan
أسْتَوْدٍعُكُمُ الله
Itulah antara ikhtiar yang boleh dilakukan oleh Ibu bapa dengan meletakkan sepenuh keyakinan dan kepercayaan kepada ALLAH SWT agar anak-anak sentiasa berada di bawah jagaan Ya Hafiz, YANG MAHA MENJAGA.