DJ / MC, jagalah 3 batas ini supaya tugasan tidak jatuh haram…
KERJAYA sebagai disc jockey/Deejay/DJ dan Pengacara Majlis / Master of Ceremony (MC) bukan sesuatu yang baharu di dalam industri pengurusan acara khususnya penyedia khidmat perkahwinan.
Peranan sebagai MC sedikit berbeza dengan DJ. MC mengendalikan acara di sebalik rostrum atau sesekali beraksi di pentas, memastikan susun atur majlis berjalan lancar bahkan turut bertindak memberikan konsultasi sebelum majlis bermula.
DJ pula menjalankan tugas yang hampir serupa tetapi posisi nya di sebalik konsol konti, dan lebih kepada memainkan lagu, menyelia pengadun bunyi (mixer), memastikan muzik, suara MC dan perucap lain sedap didengar.
Walaupun khidmat DJ dan MC dianggap penting pada masa kini, namun ia perlulah dinilai kembali dalam setiap aspek, adakah ia memenuhi hukum syarak yang digariskan oleh Islam.
Baca Juga Halal haram konsert hiburan… Hadam dahulu pandangan ulama tentang muzik dalam Islam
Ada situasi yang mana tugas itu boleh menjadi haram dan harus.
Pendakwah dan penulis buku agama, Datuk Syeikh Faisol Omar berkongsi selama mana DJ dan MC itu berperanan tidak melanggar syarak maka diharus dan perbuatan itu dibenarkan.
“Sementara jika mereka berbuat perkara yang bertentangan seperti memalukan tuan rumah, memainkan lagu tidak senonoh, menggunakan kata-kata kesat mahupun mengaibkan tetamu, maka kehadiran deejay itu haram,” jelasnya dalam sebuah video yang dimuat naik ke TikTok.

SELAMA mana DJ dan MC itu berperanan tidak melanggar syarak maka diharus dan perbuatan itu dibenarkan.
Bagi mengelakkan perkara itu berlaku DJ dan MC perlu mematuhi peranan yang ditetapkan.
Antara yang disebut oleh Syeikh Faisol ialah mengalukan kedatangan tetamu, memperkenalkan tetamu dan mengumumkan ketibaan pengantin.
“Deejay di acara majlis kahwin ini juga boleh dianggap sebagai satu kerjaya dan perlu dikenakan bayaran.
“Kehadiran mereka ini juga dapat memeriahkan suasana sambil memutarkan lagu yang bersesuaian dengan majlis perkahwinan,” ujarnya.
Baca Juga Meski teruja dengan kemunculan AI, perhati juga kedudukan hukum dalam penciptaan imej manusia
Kesilapan biasa DJ /MC perkahwinan
DJ /MC di majlis kahwin boleh diibaratkan seperti satu kemestian pada masa kini dan dianggap sebagai sumber mata pencarian bagi segelintir pihak.
Jika diberi amanah, lakukanlah tugas tersebut dengan sebaiknya agar tidak menimbulkan fitnah kepada pasangan pengantin, keluarga mahupun tetamu yang hadir.
Seperti dikongsi laman kahwinmall.com, berikut merupakan tiga perkara yang perlu dielakkan oleh DJ atau MC.

DJ tidak sepatutnya memainkan lagu terlalu kuat tanpa kawalan kerana ia boleh menggangu kententeraman tetamu yang hadir.
1.Memasang lagu terlalu kuat
Majlis kenduri adalah sebuah majlis yang dihadiri oleh ramai ahli keluarga, teman-teman lama dan jiran tetangga. Peluang berkunjung ke majlis perkahwinan biasanya menjadi ruang kepada tetamu untuk berbual-bual dengan tuan rumah.
Ada juga yang datang membawa anak-anak kecil mahupun bayi bersama. Jadi, deejay tidak sepatutnya memainkan lagu terlalu kuat tanpa kawalan kerana ia boleh menyebabkan semua tetamu berbual dalam nada yang tinggi kerana sukar mendengar apa yang sedang dibincangkan.
Jadi, kawallah kekuatan bunyi yang keluar dari pembesar suara mengikut keperluan dan sensitiviti tetamu.
Baca Juga Sambung ayat ikut urutan hijaiyyah, dua huffaz buktikan kehebatan
2.Bergurau tidak kena tempat
Ada deejay yang tidak prihatin dengan perasaan tetamu atau pengantin semasa berceloteh. Ada yang terus terang memperlekehkan kekurangan majlis contohnya memperkatakan tentang kehadiran tetamu yang tidak memberangsangkan dan ada yang memerli penampilan pengantin.
3.Tidak menghormati azan
Lagu harus dihentikan semasa azan berkumandang atau semasa masuk waktu sembahyang. Ini adalah tanggungjawab kita sebagai menghormati seruan azan. Pengacara Majlis yang prihatin akan selalu peka dengan sensitiviti masyarakat.