OLEH : DR HAJI HIDRIS SAHRI
DARIPADA Abdullah bin Amru, katanya, ” Telah bersabda Rasulullah SAW : Laknat ALLAH atas pemberi rasuah dan penerima rasuah.”
Peringatan di atas sangat jelas menyatakan bahawa rasuah didefinisikan sebagai ‘sesuatu yang diberi kepada seseorang untuk menidakkan yang hak atau membenarkan yang batil.’
Dr Yusuf al-Qardhawi dalam al Halal wal Haram fil Islam menyatakan, rasuah termasuk memakan harta orang lain dengan jalan batil.
Menurut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (ASPRM 2009) Akta 694, rasuah yang didefinisikan oleh SPRM adalah, ‘penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan boleh terjadi daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah atau diskaun.’
Dalam Surah Ali Imran, ayat 161: “Tidak mungkin bagi seorang Nabi menggelapkan harta rampasan perang (ghulul) dan barang siapa yang menggelapkan harta rampasan perang nescaya ia akan membawa bersamanya pada hari kiamat segala sesuatu yang digelapkan nya. Kemudian setiap orang dibalas dengan sempurna terhadap apa yang telah dilakukannya dan mereka tidak akan dianiaya.”
Ayat ini jelas mengingatkan agar semua pentadbir berhati-hati, bertanggungjawab dan jujur melaksanakan amanah.
Kehinaan pelaku rasuah
Imam Sayuti menjelaskan ayat tersebut diturunkan (asbabunnuzul ayat) kerana setelah perang Badar, kaum Muslimin memperoleh banyak rampasan perang. Ketika itu sebidang permaidani merah hilang dari tempat penyimpanan.
Ada yang mengatakan, mungkin Rasulullah yang mengambilnya. Lalu turunlah ayat itu bertujuan menafikan tuduhan tersebut. Mustahil Rasulullah melakukannya kerana telah nyata bahawa Nabi itu maksum, tetapi bagaimana dengan pengusasa lain?
Kehinaan orang yang melakukan rasuah dalam urusan pengadilan ditegaskan lagi oleh Syed Qutb yang mengkategorikan perasuah sebagai amalan as-Suht, sebagaimana firman ALLAH dalam Surah al-Maidah, ayat 62 dan 63.
“Dan engkau dapat melihat kebanyakan dari mereka (kaum Yahudi) berlumba-lumba melakukan dosa dan pencerobohan serta memakan harta haram. Sesungguhnya amatlah keji perbuatan-perbuatan yang telah dilakukan mereka. Mengapa rahib-rahib dan paderi-paderi tidak melarang mereka dari mengeluarkan perkataan-perkataan yang berdosa dan dari memakan harta haram. Sesungguhnya amatlah keji perbuatan yang telah dilakukan mereka”.
Ulama terkemuka Indonesia, Buya Hamka menyindir penerima rasuah ‘seolah mati disuap’ , gambaran bagaimana disuapkan mulut mereka terkatup mati tidak bicara lagi. Mereka tidak berani lagi menegur yang salah dan menegakkan hukum keadilan.
Ayat ini mengingatkan agar para ulama umat Islam tidak melakukan kejahatan yang sama sebagaimana yang dilakukan rahib Yahudi. Ingatlah pemberi dan penerimanya dikutuk ALLAH, pelaku kronisme ibarat mengkhianati ALLAH, dan perlunya undang-undang ditegakkan tanpa memilih bulu.
Pupuk rasa gerun
Dengan mengingati azab dari ALLAH, perasuah dan penerima rasuah sewajarnya dapat menghilangkan keingginan dan nafsu serakah terhadapnya.
Justeru dimana posisi kita? Adakah tugas kita sekadar terus mengutuk pelaku tersebut?
Peganglah firman ALLAH dalam surah Ali Imran ayat 110 yang bermaksud: “Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada ALLAH dengan sebenar-benar iman”.
Inilah syarat menjadi umat terbaik. Dua tugas wajib digalas iaitu menyuruh manusia melakukan kebaikan dan mengingatkan orang akan kemungkaran (mengajak mereka meninggalkannya).
Dek kerana rasuah itu perbuatan mungkar serta tidak memberi keadilan dalam masyarakat, maka kaedah membenteras gejala hina ini adalah sebagaimana hadis Nabi SAW. Ia juga sesuai dengan teori moden yang mengemukakan perlunya kerjasama antara masyarakat dan pihak kerajaan.
Contohilah ketegasan Saidina Umar al Khattab yang mengembalikan berlian pemberian ratu Rom kepada negara Rom kerana hadiah yang diberikan satu botol minyak wangi itu adalah berasal dari wang negara, balasannya juga menjadi hak negara.
Akhirnya, mari kita memulakan membenteras rasuah daripada diri kita dengan memikirkan kesannya sepertimana Umar Bin Abdul Aziz membanteras rasuah dengan memulainya daripada dirinya sendiri terlebih dahulu dalam mengembalikan hak orang lain dan hidup penuh kesederhanaan.
Baginda juga melarang para pegawainya menerima hadiah daripada rakyat dan melarang rakyat memberikan hadiah kepada pegawai kerana hadiah baginya adalah rasuah. Bagi memastikan rasuah tidak dilakukan di semua peringkat, baginda melakukan pengawasan langsung terhadap seluruh urusan negara dari penyelewengan yang mungkin dilakukan pegawainya.
Sama-sama kita membentuk sebuah negara yang sifatnya ‘baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur‘, dengan menjauhkan diri daripada sebarang bentuk rasuah dan membina jati diri dengan integriti yang unggul.