YAYASAN Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengajak seluruh umat Islam untuk menyertai Arafah #QuranHour bertema ‘Haji Membina Umat’ pada 9 Zulhijah 1443H bersamaan 8 Julai 2022.
Program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal kali ini mengangkat Surah as-Sajdah ayat 15 dan Surah al-Hajj ayat 18 dan 77.
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, Arafah #QuranHour mengambil momentum perhimpunan terbesar umat Islam menyelusuri Surah as-Sajdah, Surah al-Hajj dan ayat-ayat pilihan daripada al-Quran dalam membina karakter hamba ALLAH yang bersujud dan patuh.
Baca juga Rumah Ngaji Malaysia sasar bina legasi perjuangan al-Quran di seluruh negara
Arafah #QuranHour pertama kali diadakan adakan pada 2016, diiikuti pada 2017 dan 2018 dengan menggerakkan aktiviti berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal di padang Arafah, 9 Zulhijah. Kemudian ia terhenti berikutan berlaku pandemik Covid-19 pada 2020 dan 2021.
“Bertitik tolak dari sini, lahirnya nilai-nilai pembinaan sebuah tamadun bangsa God centered kesan daripada haji yang mabrur yang diformulasikan daripada al-Quran. Golongan sasaran ialah tetamu haji, alumni haji dan bakal haji dari seluruh dunia.
“Kita hendak menghayati semangat perjumpaan terbesar di dunia dengan harapan untuk membawa semangat haji dalam membina umat yang bertakwa. Mereka yang ada pengalaman dan latihan dalam melaksanakan ibadah haji diharapkan menjadi ejen perubahan masyarakat selepas kembali ke tanah air.
“Mereka boleh menyertai Rumah Ngaji untuk meneruskan pengajian al-Quran atau membuka Rumah Ngaji dengan mendaftar di https://quranhour.org/rumahngaji/.
“Sebenarnya kita mahu membina dan memfokuskan momentum sejam pada Arafah #QuranHour dengan merefleksi ayat dan surah pilihan tersebut untuk menjadi hamba ALLAH yang bersujud dan memecah kesombongan,” katanya.
Istimewanya pada tahun ini, kata beliau, pihak WUIF bekerjasama dengan pelbagai wakil agensi haji termasuk Tabung Haji.
“Pengisian berkaitan ibadah haji menjadi topik utama program enam episod Road to Arafah #QuranHour. Ia disiarkan di Facebook QuranHour dan Sinar Islam Plus pada hari Selasa dan Khamis pada 6 petang hinga 6.45 petang, bermula 21 Jun lalu,” ujarnya.
Baca juga Banyakkan Berdoa Pada Hari Arafah Ini, Antara Waktu Terbaik Doa Dimakbulkan
Antara tetamu jemputan bagi pengisian Road To Arafah #QuranHour ialah Datuk Mohd Zawawi Yusoh, Pengarah Urusah Eiman Travel & Tours Sdn Bhd; Sharul Azam, Ketua Pembangunan Sahsiah, Tabung Haji; Zuhdi Zakaria, MKM Ticketing Travel & Tours Sdn Bhd; Ahmad Nazmie Omar, Eksekutif Bimbingan Haji & Umrah, Felda Travel Sdn Bhd; Datuk Md Daud Che Ngah, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tour Sdn Bhd; Habib Syed Naqjamuddin Syed Othman Al-Khered, Wira Saujana Travels & Tours Sdn Bhd.
Orang ramai dijemput menyertai Arafah #QuranHour dengan mendaftar di https://bit.ly/ArafahQH. Mereka boleh mengadakan aktiviti baca dan tadabbur al-Quran selepas Subuh di lokasi masing-masing. Untuk perincian pengisian program sila klik pautan https://bit.ly/Arafah2022.
Sementara itu Kumpulan Media Karangkraf Sdn Bhd dengan kerjasama WUIF menganjurkan Arafah #Quranhour 1443H di Studio F, Kumpulan Karangkraf, Shah Alam, pada pukul 10 hingga 11 pagi, 8 Julai ini.
***Artikel ditulis oleh Fouziah Amir daripada Yayasan Warisan Ummah Ikhlas