PIHAK berkuasa perlu menyiasat individu yang mendakwa dirinya berketurunan Nabi Muhammad SAW bagi memastikan kesahihannya sama ada menerusi dokumen asli atau dengan penyaksian pihak yang boleh dipercayai.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, keraguan dan penipuan boleh berlaku di mana-mana dan dalam pelbagai bentuk serta cara termasuk dakwaan individu yang mengaku daripada nasab mulia.
“Saya harap pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama boleh menyiasat latar belakang individu yang mendakwa dirinya berketurunan Rasul yang mulia, malah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kedutaan Malaysia di negara individu berkenaan boleh diminta memberi bantuan dalam hal ini,” katanya dalam kenyataan pada 11 Oktober 2022.
Seperti yang dilaporkan Bernama baru-baru ini, tular seorang individu mendakwa dirinya keturunan ke-38 Nabi Muhammad SAW yang tiba di Malaysia bagi menyampaikan ceramah bersempena sambutan Maulidur Rasul.
Bagaimanapun, program individu yang dikenali sebagai Mawla Muhammad Amin Al-Idrisi gagal mendapatkan kelulusan daripada beberapa jabatan agama negeri seperti Kedah, Terengganu dan Kelantan sehingga menyebabkan ia terpaksa dibatalkan.
Menurut agamawan itu, pihaknya difahamkan penganjur program yang melibatkan individu tersebut di Universiti Sains Malaysia (USM) sebelum ini tidak memohon kebenaran daripada pihak berkuasa agama Islam di Pulau Pinang.
“Saya juga difahamkan, mana-mana pihak yang ingin membawa masuk penceramah agama dari luar negara dikehendaki mendapat kebenaran pihak Jakim dan polis terlebih dahulu.
“Sebenarnya saya memang dijemput hadir di majlis tersebut. Pada mulanya saya jawab akan hadir, tetapi telah membatalkannya setelah mendapat maklumat yang meragukan mengenai figura warga Maghribi tersebut,” katanya.
Baca juga Benarkah Ratu Elizabeth II berketurunan Nabi Muhammad? Hadam dulu penjelasan ini
Dalam pada itu, Dr Wan Salim turut mengingatkan umat Islam agar tidak memberi reaksi tergesa-gesa dan taasub sama ada menyokong atau menolak seseorang yang mendakwa berketurunan Rasulullah SAW.
“Cuma kita perlu tahu dan faham bahawa dalam pertimbangan Islam, keturunan yang mulia bukan kriteria bagi kemuliaan. Seorang hamba abdi yang beriman dan taat kepada ALLAH dan Rasul adalah lebih mulia daripada seorang berketurunan Rasul, tetapi jahat dan munafik,” katanya.
Keturunan nabi boleh masukkan kita ke dalam syurga?
Sementara itu, pendakwah bebas, Sheikh Mohib Khouli menjelaskan, ramai golongan yang akan muncul dari semasa ke semasa dengan membawa gelaran cicit nabi, sedangkan tiada seorang pun mengetahui bagaimana dirinya mendapat gelaran tersebut.
“Tidak susah pada zaman kita yang penuh fitnah ini untuk memperkenalkan diri sebagai cicit nabi atau keturunan Al-Hussain atau keturunan Fatimah RA kerana cara inilah paling berjaya untuk raikan sokongan orang awam yang tiada ilmu.
“Sebagai contoh, pada zaman pemerintahan Kerajaan Ubaidiyyah yang mengusai Kerajaan Mesir abad keempat, mereka juga pernah mendakwa mempunyai jalur keturunan Fatimah, lalu diberikan nama Kerajaan al-Fatimiyyah, sedangkan tiada sebarang bukti. Bahkan, asal usul golongan ini merujuk kepada seorang tukang besi yang datang daripada jalur seorang Yahudi,” ujar pendakwah berkenaan.
Lantaran itu, beliau mengingatkan bahawa seorang manusia itu tidak akan masuk ke syurga hanya kerana rupa paras yang menawan atau mempunyai keturunan mulia.
Ketahuilah, asbab utama manusia itu mendapat syurga adalah kerana keikhlasan, amal ibadah serta rahmat ALLAH yang menghadirkan hidayah.
Ia Sebagaimana firman ALLAH SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat 13 yang bermaksud: “…Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH ialah orang yang paling bertakwa…”