APABILA kita ditimpa penyakit, jalan penyelesaian yang terbaik adalah berikhtiar dengan membulatkan tekad dan keyakinan kerana segala penyakit dan kesembuhan datangnya daripada ALLAH SWT.
Vaksin merupakan salah satu usaha dan ikhtiar dalam rawatan perubatan. Kaedah ini merupakan suatu langkah awal pencegahan penyakit yang efektif di era moden.
Topik yang menarik disampaikan pada Khutbah Jumaat pada hari ini yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bertajuk ‘Vaksin Ikhtiar Terbaik’ sangat memberi penerangan yang khusus dan dituntut oleh Islam dalam kita melindungi daripada musibah yang tidak kita ketahui.
Pengambilan vaksin dapat menjadikan antibodi lebih kuat semasa berhadapan dengan Covid-19. Ini kerana, mencari ubat dan berubat merupakan amalan yang dituntut dalam ajaran Islam. Lebih-lebih lagi konsep ini selari dengan prinsip Maqasid al-Syariah dengan keutamaan memelihara nyawa.
Ia menjadi suatu tanggungjawab bagi seorang Muslim untuk mencari rawatan alternatif demi memelihara nyawa yang bertepatan dengan kaedah fiqh yang melarang perbuatan berbahaya dan memberikan kemudaratan kepada orang di persekitarannya, sama ada keluarga dan masyarakat.
Selaras dengan dasar kerajaan untuk memerangi wabak Covid-19 tindakan kerajaan pada hari ini komited mengutamakan keselamatan masyarakat agar tidak terdedah dengan bahaya wabak penyakit.
Ini dapat dilihat dengan usaha-usaha kerajaan mendukung sepenuhnya pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19. Ia adalah merupakan kempen vaksinasi kebangsaan yang dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung dan menamatkan penularan wabak Covid-19 apabila berjaya mencapai imunisasi kelompok.
Ini kerana, matlamat utama pengambilan vaksin untuk menjaga kebajikan dan “Setiap penyakit itu ada penawarnya. Maka apabila penawar itu kena pada penyakitnya, nescaya ia akan sembuh dengan izin ALLAH Azza wa Jalla.” (Riwayat Muslim).
Program vaksinisasi ini tidak boleh dianggap sebagai menyekat hak kebebasan individu semata-mata kerana ia merupakan usaha dan langkah mengekang penularan wabak Covid-19 agar masyarakat dapat kembali hidup secara normal. Secara tidak langsung ia dapat memulihkan negara yang terkesan dari sudut sosial dan ekonomi serta membina keyakinan dan jaminan keselamatan komuniti menjalani aktiviti kehidupan sosial pada masa akan datang.
Realitinya, sejak kebelakangan ini timbul pelbagai andaian dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat berhubung pengambilan vaksin dengan tohmahan dan fakta berita yang kurang tepat disebarkan di media-media sosial.
Ia seolah-olah menggambarkan pengambilan vaksin dianggap tidak selari dengan hukum dan syariat Islam. Pelbagai tuduhan yang dilemparkan oleh penghasut tegar anti vaksin secara emosi terhadap penggunaan vaksin menjadikan masyarakat mula terpengaruh dan mempercayai dakyah tersebut.
Akhirnya, timbullah persepsi kenapa perlu mengambil vaksin sedangkan virus masih boleh dijangkiti. Apa yang perlu diketahui, hukum penggunaan vaksin Covid-19 dalam kalangan masyarakat Islam diputuskan harus dan wajib diambil selaras dengan resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-10 yang telah bersidang pada 3 Disember 2020.
Ini kerana, keutamaan pencegahan sebelum penularan dapat dibendung dengan lebih menyeluruh. Selain itu, pengambilan vaksin dilihat dapat menjaga kebajikan dan kepentingan umum bukan individu tertentu.
Ia memerlukan sokongan dan kerjasama orang ramai untuk menjayakannya kerana sudah terbukti secara saintifik bahawa individu yang tidak divaksin boleh menyebabkan orang lain lebih mudah dijangkiti Covid-19.
Pengambilannya telah disarankan oleh pakar-pakar dalam bidang kesihatan yang mengetahui dan memahami bahaya dan cara pencegahan penyakit ini. Manakala, penolakan vaksin bukan sahaja membahayakan diri sendiri bahkan mencetuskan kemudaratan kepada orang lain. Selain itu, fakta kajian membuktikan pengambilan vaksin Covid-19 dengan dos lengkap memberi 83 peratus berkesan dalam mencegah kemasukan ke ICU. Manakala 88 peratus berkesan dalam mencegah kematian.
Begitu juga 88 peratus berkesan mengurangkan risiko jangkitan dan 86 peratus berkesan mengurangkan risiko jangkitan bergejala yang menjana lebih banyak kebaikan berbanding kemudaratan. Apa yang paling utama, pengambilan vaksin ini juga selari dengan ketetapan dan prinsip yang dipersetujui secara kolektif dan konsisten dari Jawatankuasa fatwa negeri-negeri di Malaysia.
Merujuk kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor kali 1/2021 yang bersidang pada 09 Februari 2021 dan telah diperkenankan oleh D.Y.M.M Sultan Selangor pada 28 September 2021 telah memutuskan, hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ianya wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh kerajaan. Khatib di dalam khutubnya juga berpesan kepada semua jemaah agar akur dengan perintah pihak berkuasa dalam menyertai Program Vaksinasi Covid-19.
Sebarkan pemahaman yang betul kepada masyarakat dengan berikhtiar melalui vaksinasi jangan sampai sudah kalah baru berkubu. Begitu juga, jauhilah perbuatan provokasi dan memanipulasi fakta di media-media sosial dengan mempertikaikan penyampaian maklumat kerajaan semata-mata untuk kepentingan agenda peribadi sehingga mempengaruhi orang lain.
Jadilah warganegara yang bertanggungjawab bukan penghasut untuk kesejahteraan ummah. Sudah pasti, dengan berikhtiar pasti ada penawar di sebalik setiap penyakit yang diturunkan oleh ALLAH SWT.
Kita dituntut untuk merawat penyakit namun perlu mengambil jalan pencegahan terlebih dahulu seperti suntikan vaksin sebelum terkena wabak atau sebarang penyakit. Hayatilah pesanan Rasulullah SAW melalui sebuah hadis daripada Jabir bin Abdillah Radiallahu’anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda;
“Setiap penyakit itu ada penawarnya. Maka apabila penawar itu kena pada penyakitnya, nescaya ia akan sembuh dengan izin ALLAH Azza wa Jalla.”
(Riwayat Muslim).