PENGERUSI Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan meninggal dunia pada usia 80 tahun awal pagi ini, Khamis.
Allahyarham, bekas rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) meninggal dunia disebabkan kompilasi berkait rapat dengan prosedur pembedahan yang dilakukan sebelum ini.
Dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan, Allahyarham memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dari Universiti Malaya pada tahun 1965 sebelum meneruskan pengajian di peringkat Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah di Columbia University, New York pada 1975.
Ketokohan Allahyarham diiktiraf sehingga ke peringkat antarabangsa dan menjadi cenedekiawan yang cukup disegani.
Mohd Kamal diamanahkan sebagai Rektor UIAM pada 1999 hingga 2006 selain turut berperanan sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (Lepai), sebuah lembaga ditubuhkan dengan perkenan Majlis Raja-Raja.
Allahyarham juga dinobat sebagai Profesor Ulung atas sumbangan bakti dalam dunia akademik. Sementara itu, solat jenazah telah disempurnakan pada pukul 11 pagi di Surau Al Mawaddah, Mutiara Bangi, Bandar Baru Bangi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Bangi.
Allahyarham juga merupakan penulis buku ‘Korupsi Dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika’.