BAKAL jemaah haji perlu menjalani prosedur saringan sebelum menjalani ibadah haji bagi memastikan mereka bebas daripada Covid-19.
Seramai 14,306 jemaah Malaysia akan menunaikan ibadat haji di Arab Saudi pada tahun ini dan mereka dijadualkan tiba di Madinah serta Makkah secara berperingkat.
Terbaharu, penerbangan kumpulan ketujuh (KT07B) melibatkan 297 jemaah haji tempatan telah selamat tiba di Madinah semalam.
Ketika ini dianggarkan 1,172 jemaah haji sudah berada di Tanah Suci sejak penerbangan kumpulan pertama pada Sabtu lalu.
Sepanjang proses dijalankan, Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Idris Ahmad mengingatkan agar bakal jemaah haji sentiasa mematuhi kawalan kendiri dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, terutamanya ketika mengadakan kenduri doa selamat.
Seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian, beliau berkata demikian susulan tiga jemaah haji dalam kumpulan pertama yang didapati positif penyakit C ovid-19.
“Saya harap bakal jemaah haji lebih berjaga-jaga sewaktu penganjuran kenduri sebelum bertolak. Hendak buat kenduri tidak salah.
Tetapi perlu sentiasa jaga SOP, kita bimbang jadual penerbangan bakal jemaah akan terjejas. Ini kerana saya dimaklumkan terdapat bakal jemaah haji yang positif, disyaki dijangkiti sewaktu kenduri,” katanya pada Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Memanah Kejohanan Sukan Sekolah Menengah Agama (MESMA) Peringkat Kebangsaan pada Ahad lalu.
Baca juga 6 ciri dalam aplikasi Muslim Pro ini bakal bantu jemaah haji
Tambah Idris, bakal jemaah haji tidak perlu bimbang jika mereka didapati positif Covid-19 kerana masih berpeluang untuk mengerjakan haji pada musim ini memandangkan jadual penerbangan terakhir pada Julai.
“Jika mereka positif, mereka ada masa lagi (untuk mengerjakan haji) kerana penerbangan akhir kita (mungkin) pada 2 atau 3 Julai nanti. Sekiranya sudah sihat Insya-ALLAH mereka boleh terbang (ikut kumpulan lain).
“Tidak akan ada (penerbangan tambahan) kecuali satu kapal terbang positif (Covid-19), boleh buat (penerbangan tambahan). Jika seorang atau dua itu mungkin tidak ada masalah, TH (Lembaga Tabung Haji) boleh uruskan,” jelasnya.
Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman pula berkata, bakal jemaah haji yang positif hendaklah segera memaklumkan kepada pihak TH.
Prosedur terbaru Kerajaan Arab Saudi menetapkan bahawa jemaah yang mempunyai ujian PCR negatif sahaja yang dibenarkan untuk menunaikan fardu haji.
Baca juga Kos ibadah haji tahun ini dijangka meningkat
“Ini supaya kita boleh menasihati mereka dan membuat perancangan yang seterusnya supaya dapat membantu mereka juga untuk menunaikan fardu haji pada tahun ini,” ujarnya ketika ditemui media di Pusat Konvensyen Movenpick pada Sabtu lepas.
Selain itu, dalam situasi jemaah berpasangan di mana salah seorang dijangkiti Covid-19, pilihan diberikan sama ada mahu meneruskan secara solo atau menunggu giliran seterusnya untuk pergi bersama.
Sumber: Sinar Harian & Harian Metro
Foto: BERNAMA & Pexels