BULAN lalu, Malaysia digemparkan dengan berita sebuah loji sembelihan di Australia, Thomas Foods International Lobethal yang didakwa melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) penyembelihan halal.
Susulan pendedahan tersebut, timbul isu mengenai status halal daging yang dieksport ke negara ini milik syarikat yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkenaan.
Lantas, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bersama Jabatan Veterinar Malaysia (JPV) termasuk pihak berkuasa Australia telah memulakan suatu siasatan menyeluruh bagi mendapatkan kesahihan mengenai dakwaan tersebut.
Dalam masa sama, pihak JAKIM menggantung kelulusan yang diberikan kepada loji sembelihan Thomas Foods International Lobethal berkuatkuasa serta-merta sehingga hasil siasatan diperolehi.
Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusoff, Supreme Islamic Council of Halal Meat in Australia Inc (SICHMA) selaku badan pensijilan halal yang bertanggungjawab dalam penyeliaan halal ke atas loji sembelihan tersebut juga akan diberikan surat tunjuk sebab.
Tambahnya, SICHMA juga berkemungkinan dibatalkan status sebagai badan pensijilan halal yang diiktiraf oleh Jakim sekiranya didapati tidak mematuhi keperluan standard dan prosedur halal Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad pula berkata, pihaknya memandang berat aduan yang diterima.
Tegas beliau, isu halal dan haram membabitkan pemakanan yang menjadi darah daging umat Islam adalah perkara yang sangat dititik berat dalam agama.
“Kita sama sekali tidak akan bertolak ansur dengan sebarang ketidakpatuhan kepada piawai dan prosedur yang ditentukan oleh JAKIM dan JPV.
“Selaku badan pensijilan Halal, JAKIM akan sentiasa menjaga amanah serta kepentingan umat Islam,” ujarnya dalam sebuah kenyataan.
Terdapat 16 loji penyembelihan yang telah mendapat pensijilan halal dari JAKIM di Australia. Pemantauan juga akan dilakukan di 15 pusat sembelihan yang lain.
Sebelum ini, media melaporkan, seorang bekas pekerja di pusat penyembelihan di Australia yang diiktiraf JAKIM, mendakwa berlakunya pelanggaran prosedur halal di tempat kerjanya.
Menerusi sidang media yang diadakan secara langsung dari Sydney, rakaman video menunjukkan beberapa ekor biri-biri yang direndam sehingga lemas dalam gumpalan darah.
Selain itu, loji sembelihan juga dilihat kotor dan terdapat anjing liar di sekitarnya.
Lelaki yang mahu dikenali sebagai ‘The Hood Man’ itu juga mendakwa diberhentikan kerja dalam tempoh 24 jam manakala ahli keluarganya turut diugut berikutan pendedahan mengenai isu berkenaan.
Mengulas perkembangan siasatan terkini, Datuk Idris Ahmad memberitahu sehingga kini, pihaknya masih gagal menghubungi individu berkenaan untuk tampil membantu siasatan dan terpaksa mendapatkan bantuan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Sumber: Berita Harian, Harian Metro & Sinar Harian
Foto: Unsplash